Sunday, June 5, 2011

Kurus mahu elak penyakit

DULU kami obes,'' kata pasangan Dr. Nurhalina Azly Minhat dan Dr. Mahathir Mohamed. Hampir terpacul perkataan 'tipu' lantaran penampilan suami isteri itu langsung tidak menggambarkan bahawa mereka pernah obes atau mengalami lebih berat badan keterlaluan.

Sambil tersenyum Dr. Mahathir menunjukkan gambarnya. ''Berat badan saya dulu 110 kilogram. Inilah saya,'' katanya. Dr. Nurhalina mencelah: ''Dia memang sentiasa gemuk, kami kenal sejak sekolah rendah dan dia memang gemuk dari dulu.'' Pasangan itu mengimbau kenangan zaman persekolahan di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor. Kami tertawa.

Mata beralih ke gambar seorang wanita. ''Itulah saya,'' kata Dr. Nurhalina sambil menegaskan bahawa beliau bukan mengandung. Berat badannya ketika itu melebihi 70 kilogram. Biar pun kedua-dua bergelar doktor, namun tetap mengalami masalah berat badan berlebihan. 

Pemegang ijazah perubatan dari Kanada itu mengakui tanpa sebab tertentu mungkin mereka akan terus gemuk atau obes hingga ke hari ini.

Mungkin mereka tidak akan berusaha untuk mencapai berat badan ideal. Malah lebih menakutkan mungkin kedua-duanya ditimpa penyakit akibat gagal mengawal berat badan yang amat berkait rapat dengan penyakit-penyakit maut seperti jantung. 

Didorong dua faktor utama, Dr. Mahathir tergerak hati untuk mengubah penampilan susuk tubuhnya. ''Yang pertamanya pesakit yang datang ke klinik. saya terfikir bagaimana pesakit mahu meminta nasihat saya tentang masalah berat badan sedangkan saya sendiri obes,'' katanya.

Sejarah keluarga Dr. Mahathir yang mempunyai penyakit berbahaya termasuk kanser, jantung dan kencing manis, menjadi faktor seterusnya yang membawa kepada perubahan fizikal beliau.

Apatah lagi selepas kematian sepupu akibat penyakit jantung, tentunya kegusaran bapa kepada dua cahaya mata itu semakin meningkat.

Sepupunya meninggal dunia ketika berusia awal 40-an.

Katanya, faktor genetik tidak boleh diabaikan. ''Kalau memang kita ada keturunan yang mengidap penyakit berbahaya tetapi kita menjaga kesihatan, mengawal pemakanan dan bersenam, mungkin kita akan terselamat daripada mendapat penyakit tersebut.

''Pendek kata menyalahkan faktor genetik semata-mata adalah tidak betul,'' kata Dr. Mahathir.

Mengakui tidak mudah menurunkan berat badan, beliau memerlukan kira-kira lapan bulan (dua pusingan) untuk mencapai berat ideal. 

Kerisauan tersebut turut menjangkiti Dr. Nurhalina apabila mendapati paras kolesterolnya terlalu tinggi. 

''Bukan saja berat badan meningkat, malah ujian darah menunjukkan paras kolesterol saya sangat tinggi, lebih teruk daripada orang yang berusia 60 tahun,'' katanya.

Keputusan ujian darah yang mengejutkan itu menyebabkan Dr. Nurhalina menyertai misi suaminya menurunkan berat badan. Katanya, kegemukan berpunca 90 peratus daripada pemakanan dan hanya 10 peratus akibat tidak bersenam. 

Bagaimanapun ketidakstabilan hormon juga dikenal pasti menyebabkan seseorang itu sangat sukar menurunkan berat badan biar pun separuh mati menahan lapar.

Lantas usaha Dr. Mahathir dan Dr. Nurhalina tertumpu kepada mengenal pasti rawatan yang mampu menstabilkan hormon dan penjagaan pemakanan menjadikan proses menurunkan berat badan berkesan.
Bermula daripada situ, kedua-dua pengamal perubatan itu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. 

Mereka mendalami rawatan terkini Human Chorionic Gonadotropin (HCG). Kaedah tersebut sememangnya bersesuaian untuk menurunkan berat badan, pada masa yang sama memelihara otot-otot daripada menggeleber. Dr. Nurhalina dan Dr. Mahathir yang berjaya menurunkan berat badan mahu membantu pesakit obes yang inginkan rawatan dengan membuka Timeless. Kedua-duanya juga mengekalkan klinik perubatan di Taman Datuk Harun untuk membantu penduduk di kawasan tersebut. 

RAWATAN HCG DI TIMELESS 

1. Sesi konsultasi pertama selama dua jam bagi mengenal pesakit secara mendalam dari segi gaya hidup, sejarah penyakit dan amalan pemakanan. 

2. Pesakit akan menjalani ujian fizikal (seperti tekanan darah, tiroid, jantung, berat dan BMI). Ujian darah juga dijalankan untuk mengetahui kandungan lemak, gula, hormon dan hemoglobin dalam darah.

3. Sekiranya ada keputusan yang tidak bagus, doktor akan memastikan hormon atau faktor-faktor lain diperbetulkan dahulu.

4. Rawatan HCG memakan masa dua bulan, pada masa itu, pemakanan rendah kalori perlu dipraktikkan. Senaman ringkas juga akan diajar supaya tulang dan otot menjadi kuat. 

5. Sekiranya pesakit belum turun ke tahap normal BMI, rawatan perlu diulang sehingga normal untuk mengelakkan kejadian yo-yo, di mana berat akan naik semula. Ini disebabkan hipotalamus yang masih tidak distabilkan.

Sekiranya rawatan HCG digabungkan dengan Zerona dan radiofrekuensi, kesannya lebih cepat. Zerona merupakan low level laser yang tidak invasif, tidak sakit, tidak melibatkan bius dan tiada pembedahan.
Pesakit disinarkan lampu laser ini selama 20 minit di bahagian depan dan 20 minit di bahagian belakang pada setiap sesi. Hanya 6 sesi diperlukan selama 2 minggu untuk mendapat kesan pelangsingan.

 

Penawar resdung






AZEAN Suhaili, 31 mempunyai masalah resdung yang serius sejak usia awal 20-an lagi. Lebih membimbangkan, dia mempunyai kulit sensitif dan jerawat yang agak serius.

Kadang-kadang keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia takut timbul tanda alahan seperti gatal-gatal pada wajah.

Menerusi sebuah laman web yang menceritakan tentang rawatan tradisional resdung, Azean mengambil keputusan untuk mencuba rawatan ini.

Dia menghubungi pemilik Darul Irsyad, Gadafi Mohd Zuki tentang prosedur rawatan tradisional resdung.
Gadafi memberi penerangan secukupnya dan Azean yakin untuk membuat satu temu janji pada hari berikutnya.

Hasil rawatan ini, resdung yang dihidapi Azean semakin berkurangan. Dengan penjagaan sendiri di rumah seperti menggunakan sabun pembersih wajah khas, titisan air dan menjaga pemakanan, Azean dapat mengawal masalah resdungnya. Kesan jerawat yang dialaminya kian berkurangan. Bahkan Azean lebih yakin ketika bergaul dengan orang lain.

Menurut Gadafi, resdung merupakan satu penyakit yang agak sinonim dengan orang Melayu kerana kaum itu sering dibelenggu dengan penyakit itu.

Perubatan moden menyifatkan resdung atau sinus sebagai radang atau jangkitan kuman dan alahan pada saluran pernafasan, telinga serta mulut.

Orang Melayu pula percaya ia berlaku akibat cara pemakanan terutama mereka yang selalu makan makanan laut dan belacan.

Resdung boleh membuatkan seseorang itu mempunyai nafas berbau, bersin, muka berjerawat, gatal atau bengkak di hidung, mulut dan telinga.

Simptom yang lebih teruk melibatkan nanah di telinga atau kecacatan pada hidung akibat kerosakan pada bahagian rongganya.

Pengewapan muka

Justeru, ramai yang mencari penawar atau rawatan secara tradisional .

Mungkin ramai yang tidak mengetahui asal usul perkataan resdung . Ia sebenarnya berasal daripada dua perkataan 'resah hidung' yang telah digabungkan. Resdung adalah satu keadaan di mana seseorang menjadi alah kepada pelbagai agen persekitaran seperti habuk, debu atau biji-biji debunga dan tumbuh-tumbuhan.

Bagi rawatan secara tradisional di Darul Irsyad , pengewapan muka menggunakan asap adalah antara medium paling asas selain campuran beberapa bahan herba lain.

Pengewapan atau pengasapan dilakukan agar 'hama' yang hidup di sekitar rongga wajah, keluar sekali gus mengurangkan bendalir yang menyekat saluran pernafasan.

Selepas menjalani rawatan , wajah akan menjadi lebih 'ringan', bersih dan tidak lagi mengalami kegatalan. Malah punca jerawat di muka turut hilang.

Berbeza dengan tempat lain, Gadafi menggunakan corong kecil agar pesakit tidak berasa pedih pada mata.

Rawatan diteruskan pula menggunakan titisan herba untuk mengeluarkan lendir pada hidung.

Ia mengeluarkan segala cecair yang menyebabkan rongga hidung tersumbat.

Pesakit juga boleh melakukannya kaedah titisan herba di rumah.

Selepas melakukan proses mengeluarkan lendir, wajah pesakit akan dibersihkan menggunakan sabun khas yang boleh dibeli di Darul Irsyad.

Selain menjaga pemakanan di rumah, pesakit digalakkan meminum herba khas seperti teh pahit Kabiro yang diperbuat daripada herba hutan tropika.

"Namun ia perlu diikuti dengan proses penjagaan kulit wajah yang teratur dan berpantang daripada mengambil beberapa jenis makanan seperti udang, ketam dan kerang.

Individu yang mengalami resdung selalunya berasa rimas dengan keadaan hidung yang gatal-gatal dan mata berair yang menimbulkan keadaan tidak selesa.

Salah satu langkah mengurangkan ketidakselesaan akibat penyakit tersebut adalah dengan menjalani rawatan tradisional seperti yang dilakukan di Darul Irsyad. Pesakit tidak akan pulih sepenuhnya serta merta tetapi rawatan ini mengurangkan kesan resdung dan mengawal daripada berlaku secara serius," katanya yang ditemui di di Jalan 4/1, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi , Selangor baru-baru ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan resdung tradisional, orang ramai boleh menghubungi Gadafi di talian 013-3595036 atau layari http://darulirsyad-blog.blogspot.com.

Penglihatan bertambah baik

SEHINGGA kini, orang ramai masih lagi takut untuk menjalani pembedahan Lasik berikutan stigma ke atas penggunaan pisau walaupun pada hakikatnya prosedur itu kini jauh lebih canggih.
Pengarah Perubatan Pusat Mata lee (LEC), Dr Lee Mun Wai, teknologi terkini ini bukan sahaja kos efektof dan pilihan mudah kepada mereka yang mahu bebas daripada bergantung pada cermin mata dan kanta mata lekap. Ia juga sesuai bagi mereka yang tidak mahu dibebani dengan prosedur pembetulan berulang. Prosedur ini cepat hanya mengambil masa sepuluh minit.

Ia selamat, tidak sakit dan hanya menggunakan ubat titis mata sebagai anestetik. keputusannya pula serta merta.

"Seseorang pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mata selalunya bimbang dan khuatir tentang risiko yang perlu ditanggung. Tetapi kaedah ini bukan hanya mengurangkan komplikasi serius, tetapi juga mampu membantu menyelesaikan masalah bagi mereka yang gagal memperolehi keputusan memuaskan daripada prosedur konvensional lasik atau katarak. Teknologi canggih ini membolehkan rawatan laser mata dilakukan mengikut kesesuaian individu," ujar Dr. Mun Wai.

Wavelight juga dilengkapi dengan rangkaian komputer bersepadu yang dikenali sebagai WaveNet yang membolehkan pemindahan data pesakit dilakukan melalui peralatan diagnostik ke laser itu.

Ini membolehkan pakar bedah memberikan hasil pembetulan mata secara konsisten beserta hasil visual berkualiti tanpa kompromi dari segi tahap keselamatan ketika melakukan rawatan.

Dr Mun wai yang sebelum ini aktif dalam kajian klinikal optalmik berkata antara ciri menarik teknologi laser FS200 adalah kemampuannya merawat mengikut bentuk dan saiz kornea yang berbeza. Selain itu, ia juga mampu meminimumkan insiden lapisan gelembung yang kabur. Tambahnya lagi, FS200 juga merupakan laser femtosecond yang terpantas, mengurangkan masa untuk membuat lapisan nipis (flap) pada mata kepada enam saat.

Dalam pada itu, EX500 ialah laser eksimer paling pantas dalam pasaran dan boleh merawat 1.0 diopter (100 darjah kuasa cermin mata) hanya dalam masa 1.4 saat.

"Menerusi teknologi terbaru dari Jerman ini, saya yakin bahwa hasil keputusan daripada prosedur pembedahan yang lebih efisyen dan efektif ini serta kemampuannya, ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk memilih prosedur rawatan penglihatan melalui Wavelight," ujarnya.

Menggerutu berubah jadi licin

HARI ini suasana agak santai di Marissa Esthetic. Selepas mengadakan senam pagi saya menyelesaikan beberapa tugasan untuk universiti. Pada tengahari saya didatangi oleh seorang wanita muda berusia 24 tahun. Wanita ini memakai tudung hampir menutupi keseluruhan mukanya. Mula-mula saya menyangkakan bahawa dia adalah seorang ustazah memandangkan cara dia berpakaian. Namun selepas berbual beberapa ketika saya dapati ada sesuatu yang tak kena dengan diri wanita itu.
Apabila bercakap dia menundukkan muka tanpa memandang wajah saya. Bahunya membongkok seolah-olah dia cuba mengecilkan tubuhnya yang memang kecil. Pendek kata cara dia bercakap dan duduk menunjukkan dia seorang yang hilang keyakinan dirinya.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai Huda bertugas sebagai guru sekolah rendah.
“Masalah saya adalah jerawat yang teruk. Sejak saya di bangku sekolah lagi jerawat ini bagaikan tak pernah surut. Saya dah jumpa pakar kulit, dah pergi ke macam-macam salon, dah pakai pelbagai produk namun hasilnya tak nampak pun. Saya rasa amat kecewa,” ujarnya.
Apabila dia membuka tutup mukanya saya lihat memang benar apa yang diceritakan kepada saya. Jerawatnya benar-benar teruk. Jerawat batu besar besar merebak ke seluruh muka dan kesan parut yang menghodohkan membuatkan wajah guru muda itu kelihatan bengkak, merah menyala dan menggerutu.

Saya memandang sayu ke arah wanita cekal itu. Nampak air matanya bergenang. Ternyata cikgu muda itu sudah hilang keyakinan diri gara-gara jerawat yang mencacatkan wajahnya.

“Sekarang Huda tak perlu risau lagi. Saya akan bantu Huda atasi masalah ini. Saya tahu Huda seorang yang cekal dan kita sama-sama berusaha memastikan masalah jerawat ini sembuh,’’ kata saya cuba menenangkan hatinya.
 
“Insya Allah setiap penyakit pasti ada ubatnya. Saya yakin dan saya minta Huda juga menanam keyakinan kepada saya. Teknik yang saya gunakan pasti berbeza daripada teknik yang Huda pernah lakukan namun kita harus mencuba,’’ katanya.

Kami memulakan sesi rawatan dengan laser isolaz, antibiotik serta pemeriksaan darah menilai tahap hormon Huda. Saya menerangkan kepadanya jerawat terhasil akibat daripada sejenis kuman bernama corynebacterium. Kuman ini menyerang kulit yang lembap dan berminyak. Mungkin faktor hormon yang tak seimbang menjadi penyebab.

Pertemuan kamiI setiap dua minggu selepas itu semakin hari menambahkan lagi kemesraan antara seorang doktor dan pesakitnya. Huda dengan tenang dan sabar mematuhi setiap nasihat dan panduan yang saya berikan. Semakin hari saya semakin kagum dengan semangat Huda.

Pada bula pertama perubahan yang saya lihat amat sedikit. Hati saya sedikit bimbang namun saya cuba bersikap setenang-tenangnya apabila berjumpa Huda. Saya tidak mahu mengalah. Mustahil kami tidak berjaya melawan gejala ini. Semangat Huda yang tinggi membuat saya semakin membara dan berazam memberikan khidmat yang terbaik buatnya.

Selepas enam minggu berlalu jerawat mula mengecut dan mengering. Yang tinggal hanya parut-parut kecil. Kami meneruskan sesi rawatan dengan tekun dan sabar.

Selepas tiga bulan rawatan Huda mula menunjukkan keputusan yang baik. Wajahnya semakin cerah dan cantik. Dia mula berani menggunakan gaya tudung terkini yang meriah dan berwarna warni. Bila dia berbicara, suaranya semakin jelas dan yakin. Matanya menentang mata saya dengan berani.

“Doktor saya rasa seperti mati hidup semula. Dulu saya sangka jerawat ini tak akan hilang-hilang lagi tapi sekarang keadaan muka saya dah jauh lebih baik,’’ katanya gembira.

Selama hampir sembilan bulan sesi rawatan berlalu kini kulit wajah Huda sudah bersih dan licin. Dia masih lagi mengunjungi saya sekali sekala bagi mendapatkan bekalan pencuci muka di klinik yang amat disukainya. Pencuci muka yang saya berikan kepadanya ialah jenis yang mengandungi glycolic asid. Glycoloc adalah asid lembut yang terhasil daripada buah-buahan dan memberi kesan pengelupasan yang sangat minimum serta berupaya menghalang pertumbuhan jerawat.

Saya memberitahunya bahawa tempoh kritikal telah pun berlalu. Kini Huda bebas menggunakan jenama apa sekali pun. Kulit wajahnya yang licin dan bebas jerawat kelihatan cantik sekali .

“Terima kasih doktor kerana amat bersabar merawat saya selama ini. Doktor telah mengubah kehidupan saya menjadi lebih yakin selepas jerawat saya pulih,’’ katanya.
Air mata saya menitis terharu. Betapa gembira melihat wajah Huda yang semakin cantik hari demi hari. Alhamdulillah.

 


Kelebihan sterol tumbuhan

ASPEK pemakanan tidak boleh diabaikan memandangkan daripada makananlah kita memperoleh zat dan nutrien yang diperlukan tubuh untuk membolehkan ia berfungsi secara normal.

Pemakanan juga dikatakan punca meningkatnya penyakit tidak berjangkit dan kardiovaskular seperti komplikasi jantung. 

Dalam pada itu, setiap tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung. 

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung.

Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko menghidap serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat negatif seperti merokok.

Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.
Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu. 

Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya.

Selain itu, kolesterol berlebihan juga terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dengan bahagian arteri tersumbat sehingga menunjukkan simptom-simptom penyakit ini.

Diagnosis awal dan penggunaan ubatan yang betul serta perubahan gaya hidup yang komprehensif cukup penting. Ini termasuk pengambilan diet rendah lemak, berhenti merokok, pengurusan tekanan dan bersenam.
Justeru itu, pengambilan suplemen untuk mengurangkan risiko mendapat sakit jantung dan stres badan menjadi alternatif popular pada hari ini.

Menurut Penasihat Kesihatan Blackmores Malaysia Sdn. Bhd., Monitar Tan, sterol tumbuhan berfungsi dengan baik dalam menguruskan kolestrol dalam badan manusia.

Badan yang tidak sihat berkemungkinan berpunca daripada kandungan kolestrol yang tidak seimbang sehingga menyebabkan keletihan, stres dan risiko jantung.

"Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah.

Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen.
Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol.

Manusia memerlukan sekurang-kurangnya dua gram sterol setiap hari untuk mengurangkan tahap kolestrol LDL.

Kajian menunjukkan ia mengurangkan hampir tiga hingga sepuluh peratus kolestrol LDL," katanya.
Tambah Monitar, orang ramai tidak perlu risau kerana sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini boleh diambil untuk jangka masa panjang.

Namun, kanak-kanak, ibu mengandung dan ibu menyusu badan untuk mengambil sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini.