TAHAP kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Oleh itu, kerosakan buah pinggang merupakan masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan. Jika tidak dirawat dengan sempurna, ia menyebabkan kegagalan buah pinggang (renal failure). Kedua-dua jenis kegagalan buah pinggang -  kegagalan akut dan kronik - akan mengganggu kecekapan fungsi buah pinggang.

Fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah bagi membuang air berlebihan, garam berlebihan dan bahan kumuh/bertoksin dari tubuh. Fungsi utama lain, membina beberapa jenis hormon yang mengawal beberapa fungsi tubuh seperti pengawalan tekanan darah dan pembinaan sel darah merah.

Buah pinggang juga berfungsi mengawal pH darah serta bertanggung jawab dalam mengaktifkan sejenis vitamin D yang membantu tubuh menyerap Kalsium yang digunakan untuk membina tulang dan menyelaras fungsi otot.

Tanda utama kerosakan buah pinggang sakit pinggang (low back pain). Kadang-kadang sakit pinggang berlaku hanya di sebelah pinggang iaitu sama ada bahagian kanan atau kiri pinggang.

Apabila seseorang misalnya sering mengalami sakit pinggang setiap kali tidur mengiring sebelah kiri, maka besar kemungkinan buah pinggang kirinya sedang mengalami kerosakan atau telah mengalami kerosakan pada tahap tertentu.

Kesakitan sebelah buah pinggang atau kedua-dua belah buah pinggang menyebabkan anda agak sukar untuk membuang air kecil pada waktu pagi atau ketika terjaga pada waktu tidur.