Saturday, June 22, 2019

GULA DAN FAKTANYA

Apakah gula?
  • Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.
  • Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.
  • Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.
  • Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.
  • Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar.
Apakah saranan pengambilan gula tambahan?
  • WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).
  • Gula tambahan yang dimaksudkan adalah monosakarida dan dwisakarida yang ditambah ke dalam makanan dan minuman oleh pengilang-pengilang makanan dan gula yang ditambah semasa memasak dan menyedia makanan.
Apakah corak pengambilan gula di Malaysia?
  • Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari iaitu 4 sudu teh gula pasir dan 3 sudu teh susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi 50g.
Apakah corak pengeluaran gula di Malaysia?
  • Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan bahawa pengedaran gula di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pengedaran gula domestik telah meningkat daripada 651,973.12 metrik tan pada tahun 2004 kepada 806,381.88 metrik tan pada tahun 2009. Sementara pengedaran gula industri pula telah meningkat daripada 306,895.34 metrik tan pada tahun 2004 kepada 474,801.16 metrik tan pada tahun 2009. Data ini menunjukkan bahawa pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini mungkin disebabkan oleh harga gula yang murah.