Friday, May 6, 2016

DIALISIS PERITONEAL BERI KEBEBASAN KEPADA PESAKIT BUAH PINGGANG

BUAH pinggang merupakan dua organ penting dalam tubuh manusia. Ia berbentuk seperti kacang dengan saiz sebesar penumbuk yang terletak berhampiran bahagian tengah belakang dan betul-betul berada di bawah tulang rusuk.
Organ itu sangat penting untuk menyingkirkan sisa-sisa perkumuhan, mengekalkan keseimbangan kandungan air, mempunyai hormon untuk penghasilan sel-sel darah merah bagi mengelakkan penyakit anemia, pengawalan tekanan darah dan mengekalkan kesihatan tulang.
Kegagalan buah pinggang memberi kesan yang sangat buruk kepada tubuh badan sehingga boleh mengakibatkan maut kerana ia tidak lagi dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan.
Pakar Perubatan dan Nefrologi, Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sungai Buloh, Selangor, Dr. Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata, penyakit buah pinggang kronik (CKD) sangat berbahaya kerana boleh mengakibatkan terjadinya masalah kegagalan buah pinggang.
“CKD boleh dialami oleh sesiapa sahaja terutamanya yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan individu yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga.
“Pesakit akan mengalami kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur-ansur dan kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah ia melarat ke tahap akhir.
“Sehubungan itu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan kesihatan seperti ujian air kencing dan ujian darah untuk memeriksa tahap kreatinina iaitu kandungan toksin dalam badan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Fakulti Perubatan, UiTM, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
Terangnya, masalah buah pinggang akan menyebabkan masalah seperti pengumpulan toksin dalam badan, letih kerana kekurangan sel-sel darah merah, mengalami bengkak pada kaki, pergelangan kaki, tangan dan sekitar mata disebabkan pengumpulan air, kerap membuang air kecil dan mengalami rasa yang tidak menyenangkan pada lidah, kurang selera makan serta berasa loya.
Penderma organ
Ujar Muhammad Iqbal, pesakit yang berada pada tahap akhir memerlukan rawatan pemindahan buah pinggang atau dialisis.
“Namun, kesukaran untuk mendapatkan penderma organ menyebabkan pesakit perlu menjalani rawatan dialisis.
“Dialisis terbahagi kepada dua iaitu hemodialisis yang dijalankan di pusat dialisis selama empat jam sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu manakala dialisis peritoneal (PD) boleh dilakukan tanpa ada halangan waktu atau tempat,” ujarnya.
Muhammad Iqbal menambah, PD sudah berada di negara ini sejak 30 tahun lalu tetapi masyarakat kurang mengetahuinya berbanding pusat hemodialisis sedangkan ia sangat praktikal pada masa sekarang.
“PD mengaplikasikan membran peritoneum tubuh sebagai alat penapis. Larutan dialisat diisi ke dalam abdomen melalui kateter yang dimasukkan dalam kaviti peritoneum.
“Air dialisat dimasukkan ke dalam ruang peritoneum dan dibiarkan selama empat jam hingga lapan jam.
“Bahan toksin badan akan meresap masuk ke dalam air itu termasuk air berlebihan. Selepas empat jam, air itu akan dikeluarkan dan perlu ditukar sebanyak empat kali sehari.
“Menariknya, PD sangat sesuai dengan gaya hidup masa kini tanpa mengganggu tugasan dan bebas untuk bergerak. Malah, ia menjimatkan masa tanpa perlu pergi ke pusat hemodialisis,” tuturnya.
Tambahnya, risiko PD sangat rendah dan hanya memerlukan pembedahan kecil untuk meletakkan Katerer Tenckhoff supaya air dialisat dapat dialirkan ke dalam ruang peritoneum tetapi pesakit perlu menjaga kebersihan untuk mengelakkan jangkitan kuman.
PD terbahagi kepada dua iaitu peritoneum ambulatori berterusan (CAPD) dan peritoneum automatik (APD).
“CAPD perlu dilakukan secara manual iaitu penukaran cecair sebanyak empat kali dalam sehari manakala APD menggunakan bantuan mesin sebanyak satu kali dalam sehari selama 10 jam pada waktu malam ketika tidur tanpa mengganggu rutin harian.
“Pesakit yang memilih untuk mendapatkan rawatan PD akan diberi tunjuk ajar oleh pihak hospital bagi membolehkan mereka melakukannya sendiri di rumah atau di mana-mana lokasi,” katanya.

No comments: