Thursday, July 14, 2011

Kebaikan makan pisang



PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.



PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.

“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.
“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.

Khasiat

“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.

Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.

Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.

Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.

Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.
“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.

“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.

Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.

Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.

Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.

Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.

Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.

“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.

“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.

Laris

Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.

Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.

Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.

Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.

“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.

“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.

“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.

“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.

“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.

Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.

“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.

“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.



Tidak pernah minum kopi



Saad (tengah) diraikan sanak saudara di rumahnya di Kampung Paya Guring, Pauh, Arau, Perlis semalam.

ARAU - Seorang warga emas di sini yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 bukan sahaja masih kuat bekerja malah mampu berjalan kaki sejauh lima kilometer sehari mengalahkan orang muda.
Saad Jasin memiliki rahsia tersendiri untuk kekal sihat walaupun usia sudah lanjut iaitu dia tidak mengambil makanan bergoreng dan tidak minum kopi.
Kelmarin insan istimewa itu diraikan oleh anggota keluarganya seramai 76 orang di rumahnya di Kampung Paya Guring dekat sini.
Majlis berlangsung cukup meriah termasuk acara memotong kek dan pulut kuning oleh insan berkenaan.
"Saya tidak pernah makan makanan bergoreng dan minum kopi kerana ia melemahkan anggota badan dan tulang.
"Saya hanya makan nasi berlauk dan minum air kosong dan teh sahaja setiap hari.

"Bagi mengelak badan jadi bongkok, saya bangun pagi dengan duduk perlahan-lahan sebelum berjalan.
"Elak bangun dengan keadaan tergesa-gesa yang boleh mengejutkan tulang kita," katanya pada pemberita di sini semalam.

Khasiat makanan untuk warga emas

BERSYUKURLAH jika anda masih berselera untuk makan. Biasanya seseorang itu akan mula menghadapi masalah tidak berselera makan apabila mula menginjak usia tua.
Ia juga berlaku ke atas seseorang yang disahkan menghidap penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung dan sebagainya. Lebih teruk apabila pesakit sudah tidak mampu untuk menelan makanan atau pun air.
Pada ketika ini bukan sahaja selera makan berkurangan malah perbuatan yang mudah seperti menyuap makanan ke mulut, mengunyah dan menelan telah menjadi satu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh pesakit.
Pengurus Perhubungan Perubatan Pemakanan Wyeth, Dr. Shree Jacob berkata, biasanya penurunan selera makan akan berlaku ke atas individu yang berusia 65 tahun ke atas.
Sehingga kini, katanya, perangkaan di Malaysia pada tahun 2009 menunjukkan lebih 1. 28 juta atau 4.71 peratus daripada populasi penduduk adalah terdiri daripada golongan tua.
''Pada usia ini deria rasa, menghidu, penglihatan dan percakapan orang tua akan menjadi semakin lemah,'' katanya.
Selain itu, katanya, air liur yang berkurangan, pereputan gigi dan pemakaian gigi palsu juga menjadi punca selera makan berkurangan.
''Pada masa ini juga orang tua akan menghadapi masalah gastrousus iaitu berkaitan dengan penghadaman dan penyerapan makanan yang boleh menyebabkan masalah sembelit,'' katanya.
Sehubungan itu, kata Dr. Shree, pemakanan tambahan amat diperlukan oleh golongan ini untuk mendapatkan tenaga, protein dan juga mikronutrien.
''Ini menunjukkan pentingnya penambahbaikan dalam pemakanan supaya dapat memperbaiki lagi kualiti kehidupan,'' katanya.
Namun katanya, keperluan makanan tambahan ini berbeza mengikut kumpulan iaitu bagi orang tua memerlukan penghidratan yang mencukupi, kandungan fiber yang tinggi dan nilai pemakanan.
''Keperluan bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung pula berbeza kerana mungkin baharu selesai menjalani rawatan kimoterapi atau pembedahan yang memerlukan tahap pemakanan yang berbeza,'' katanya.
Menurut beliau, golongan ini digalakkan mengambil makanan yang kurang lemak atau rendah kolesterol tetapi perlu dibanyakkan pengambilan protein, vitamin dan garam galian.
Biasanya, cara memberikan makanan kepada golongan ini boleh dilakukan dengan cara menyuapkan ke mulut pesakit atau melalui tiub makanan.
Katanya, sekalipun dengan menyuap makanan ke mulut pesakit akan mengambil masa tetapi ia sebenarnya dapat menyokong secara fizikal dan pemulihan psikologi.
''Seringkali juga berlaku salah faham di kalangan penjaga di mana akan memberikan pesakit dengan makanan yang lembut, senang ditelan dan selalunya dimasak dengan begitu lama,'' kata Dr. Shree.
Beliau berkata, ia bukanlah satu penyelesaian yang betul kerana kebanyakan nilai pemakanan di dalam makanan termusnah dalam proses itu.
Berikutan itu baru-baru ini Wyeth Nutrition telah menyumbangkan lebih 100 tin Enercal Plus kepada Persatuan Hopsis Kasih (KHCS) di Petaling Jaya, Selangor, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Wyeth Enercal Plus adalah makanan tambahan berkhasiat yang membekalkan 1.5 kkal/ml kalori dan menyediakan 100 peratus Cadangan Pengambilan Nutrien Malaysia (MRNI) untuk protein, vitamin dan mineral di dalam empat hidangan.
Sumbangan Wyeth disampaikan oleh Pengurus Besarnya bagi Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam, Michaeal Toh kepada Naib Presiden KHCS, Dr. Siow Chih Peng.

Hadkan gula dalam diet anak

PEMAKANAN yang sihat dan seimbang merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Selain membekalkan tenaga, ia juga membantu perkembangan otak dan tumbesaran.

Tanpa pemakanan yang seimbang, perkembangan dan pembesaran anak-anak akan terjejas.

Pemakanan yang berlebihan dan tidak teratur juga mendorong ke arah kesihatan yang tidak baik dan lebih membimbangkan, kanak-kanak boleh menjadi obes.

Kebiasaannya, kanak-kanak obes cenderung membesar sebagai individu dewasa gemuk sekiranya pemakanan mereka tidak di kawal.

Golongan kanak-kanak ini juga mudah mendapat penyakit yang berbahaya ekoran berat badan mereka.
Pengarah Pusat Kajian Nutrisi Kanak-Kanak (CNRC), University of Queenland, Australia, Prof. Peter Davies berkata, ketidakseimbangan tenaga iaitu antara pengambilan dan penggunaan kalori banyak mempengaruhi keadaan itu.

Tegas beliau, kekeliruan antara definisi dan fungsi gula juga memberi kesan yang mendalam kepada kesihatan kanak-kanak.

"Sudah menjadi lumrah setiap ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak.
"Sebab itu, mereka perlu memahami dan mengetahui berkaitan dengan diet yang diperlukan oleh anak-anak,'' katanya ketika di temui pada bengkel Fakta Mengenai Gula-Mana Yang Betul dan Mana Yang Salah, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Jelas beliau, ibu bapa sendiri perlu memahami dan mengetahui tentang pemakanan yang baik dan mengenali pilihan makanan yang sihat untuk anak-anak.

Katanya, sekiranya kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan kalori , berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.

Malah berdasarkan kajian The American Journal Of Clinic Nutrision tahun lalu, dianggarkan 43 juta kanak-kanak prasekolah seluruh dunia mengalami permasalahan berat badan berlebihan.

"Keadaan ini sangat membimbangkan memandangkan kanak-kanak tersebut akan membesar dalam keadaan kesihatan yang membimbangkan dan menyebabkan mereka membesar sebagai dewasa obes,'' ujarnya.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu setiap kandungan yang terdapat kepada makanan anak-anak kita bagi memastikan tubuh badan kanak-kanak menerima khasiat yang diperlukan.

"Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar, tindakan membiasakan anak dengan makanan manis sebenarnya akan menyebabkan mudah dijangkiti penyakit berbahaya.

"Oleh itu, tindakan mengehadkan jumlah pengambilan gula tambahan dalam diet mereka sememangnya amat penting.

"Memilih makanan yang padat dengan khasiat dapat memastikan tubuh kanak-kanak menerima keperluan sepatutnya yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran mereka.

"Oleh itu, ibu bapa perlu sedar akan hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak mereka," katanya.

Hargai hati elak hepatitis

HEPATITIS satu penyakit yang semakin mengancam nyawa manusia. Di Malaysia sahaja dianggarkan lima peratus daripada penduduknya telah menghidap Hepatitis B kronik dan lebih kurang dua peratus lagi Hepatitis C kronik.

Namun pada peringkat dunia, kedua-dua penyakit itu disenarai sebagai salah satu punca utama kematian yang mana melebihi sejuta kes dicatatkan setiap tahun.

Ia yang juga dikenali sebagai penyakit radang hati biasanya disebabkan jangkitan virus yang boleh merebak melalui perkongsian alat suntikan ubat atau dadah, pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang dicemari darah.

Selain itu ia juga disebabkan tatu, bertindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak disteril, menerima darah tercemar melalui darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.

''Penularan daripada ibu penghidap virus hepatitis diperkenalkan semasa bersalin dan ini adalah cara jangkitan Hepatitis B yang paling biasa,'' katanya.

Sehubungan itu Pakar Perunding Hepatologi, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed yang juga Ahli Majlis Eksekutif Gabungan Membasmi Hepatitis Virus di Asia Pasifik (CEVHAP) berkata, setiap orang perlu mengambil tahu mengenai penyakit itu dan tidak sesekali menganggap diri kebal terhadapnya.

''Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa. Oleh itu setiap orang perlu menjalani ujian darah kerana keputusan ini sahaja yang dapat membuktikan seseorang itu menghidap hepatitis atau bebas daripadanya,'' katanya.

Dr. Rosmawati yang mempelopori kempen Hari Hepatitis Sedunia di Malaysia berkata, hepatitis bergelar pembunuh senyap kerana virus itu dapat hidup dalam tubuh selama bertahun-tahun sebelum timbul apa-apa simpton.

''Hari Hepatitis Sedunia akan dirai secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat membantu usaha mengurangkan bebas virus hepatitis,'' katanya pada sidang akhbar Kempen Hepatitis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru.

Turut hadir Ketua Pengarah Galeri Seni Negara, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Berikutan itu sempena Hari Hepatitis Sedunia bertemakan Kenali Hati Anda, Sedarlah dan Jumpalah Doktor (Know Your Liver, B Aware, C A Doctor) pada 28 Julai ini akan dianjurkan pelbagai kempen di seluruh negara.

Ia bermula dengan pameran solo oleh Bhanu Achan yang bertajuk Variasi 40 yang merupakan koleksi lukisan di sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Ia akan diadakan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dari 4 hingga 17 Julai.

Sebanyak 40 peratus daripada hasil jualan lukisan yang dipamerkan akan disalurkan kepada tabung Hari Hepatitis Sedunia.

''Penglibatan Bhanu amat dihargai kerana dapat menyebarkan maklumat mengenai penyakit ini menerusi seni,'' kata Dr. Rosmawati.

Katanya, menjelang Hari Hepatitis Sedunia, sebanyak 6,000 pesakit yang paling awal mendaftar di laman web rasmi akan dapat menjalani saringan hepatitis B dan C secara percuma di 20 hospital yang turut serta dalam kempen itu di seluruh negara.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendaftar secara online di laman web www.myhepatitisday.com.

''Saringan ini penting kerana hepatitis yang disebabkan virus Hepatitis B dan C merebak terutamanya melalui darah yang terjangkit atau melalui bendalir tubuh,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berisiko tinggi memang patut menjalani ujian itu.

Beliau memberitahu, acara utama Hari Hepatitis Sedunia akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini di pusat membeli-belah Sunway Piramid.

Sempena dengan majlis itu diadakan pameran foto montaj, pusat kaunseling untuk pemvaksinan dan pondok ujian hepatitis.

Terima hakikat ada darah tinggi'

Lee Ting Ung, 40 mengakui hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan ancaman baru sebagai pembunuh senyap.
Ini kerana kebanyakan orang termasuk dirinya tidak menyedari mereka menghidap hipertensi.
"Saya menyedari saya mempunyai penyakit ini apabila saya membuat pemeriksaan kesihatan. Bayangkan saya makan apa saja tanpa menghiraukan penyakit hipertensi yang sudah menjadi satu penyakit keturunan dalam keluarga saya.

"Tetapi itulah, macam saya cerita tadi, bila jumpa doktor, doktor tanya makan ubat tak? Kawal makanan tak? Semuanya saya angguk tanda faham," ujar Ting Ung.

Selepas mengetahui dia menghidap hipertensi, Ting Ung mula sedar dan bertindak untuk mengawal penyakit ini.

Namun malang tidak berbau, selepas beberapa tahun kemudian, ia memberi kesan pada buah pinggangnya hingga menyebabkan dia mengalami edema (kewujudan air yang berlebihan pada ruang antara tisu tubuh sehingga menyebabkan bahagian yang berkenaan kelihatan bengkak).

Akhirnya, sikap bermain tarik tali dengan penyakit ini menjadi satu lipatan sejarah dalam hidupnya.

"Syukur kesedaran saya untuk mengikis sikap penafian dalam diri membolehkan saya berjaya menurun dan mengawal ukuran paras hipertensi.

"Doktor pula menasihatkan saya bersenam, mengurangkan pengambilan garam dan tidak lupa mengambil garam," katanya.

Selain berhadapan dengan penyakit hipertensi, Ting Ung juga berdepan dengan masalah kolestrol tinggi. Justeru itu, dia perlu berjaga-jaga soal pengambilan garam dan mengawal gaya pemakanan.

Bahkan, dirinya yang dulu kurang bersenam kini mula berminat melakukan aktiviti luar.
Pilihan
Tidak ketinggalan Ting Ung sekeluarga menggunakan garam alternatif yang hanya mengandungi 50 peratus sodium.
"Hari ini kita bertuah kerana ada pilihan menggunakan garam yang baik untuk kesihatan. Pengambilan dan rasa masakan tetap sama tetapi garam ini mengandungi rendah sodium. Antara jenama yang saya gunakan ialah 'Fine Food Lake Salt Light'," ujarnya.
Berdasarkan kajian dan bacaan Ting Ung, garam tersebut turut mengandungi mineral seperti potasium dan magnesium yang sangat penting untuk kesihatan termasuk mengawal hipertensi.
"Saya menerima hakikat bahawa saya ada penyakit ini tetapi saya perlu bertindak untuk mengawal dan mencegah hipertensi daripada terus menular dalam diri saya. Bermula sebagai seorang yang tidak tahu tentang hipertensi, kini saya mengambil berat tentang kesihatan keluarga saya kerana bapa dan adik-beradik yang lain turut menghidap hipertensi ," ujarnya yang menasihatkan orang ramai segera mengawal pemakanan termasuk pengambilan garam dalam menu harian.
Kesihatan global
Dalam pada itu, Ahli Majlis Persatuan Hipertensi Malaysia, Prof Dr. Rashid Abdul Rahman memberitahu, masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan satu masalah kesihatan global dengan anggaran satu pertiga penduduk dewasa dunia melebihi umur 30 tahun menghidap penyakit tersebut.
Di Malaysia, mungkin lebih enam juta golongan dewasa, terutamanya lelaki menghidap tekanan darah tinggi yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor.
Terdapat faktor yang tidak boleh diubah seperti warisan genetik tetapi ada juga yang boleh diubah seperti kekerapan bersenam, merokok dan amalan pemakanan.
"Tekanan darah tinggi juga menjadi antara punca utama kepada serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan kebutaan.

Walaupun mudah dikesan, masalah tekanan darah tinggi masih sukar dikesan berikutan tidak ramai yang mengambil berat mengenainya dan tidak memikirkan mereka menghadapi risiko menghidapinya.

Ini menyebabkan ada antara mereka yang hadir dengan komplikasi seperti masalah jantung atau buah pinggang apabila disahkan menghidap tekanan darah tinggi ," katanya.

Pendekatan terbaik adalah dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan tekanan darah sekerap mungkin memandangkan lebih 64 peratus penghidap penyakit ini belum dikesan.

"Langkah pertama adalah diagnosis yang tepat iaitu mengambil bacaan tekanan darah ketika pesakit tidak mengalami tekanan, sakit atau mengambil ubat tertentu. Penghidap yang disahkan mempunyai tekanan darah tinggi perlu mengubah cara hidup dan menjalani rawatan mengikut nasihat doktor," ujarnya yang turut menyambut baik kehadiran garam rendah sodium di pasaran.

Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam . Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera.

Jika pengambilan garam sodium diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan pelbagai penyakit.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai garam rendah sodium, boleh melayari mengubungi LCP Supplies di talian 03-80609500 atau emel ke lcps@pd.jaring.my.

Saturday, July 2, 2011

Nikmat berhenti merokok

Nikmat berhenti merokok

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1114/Kosmo/Kesihatan/ke_01.1.jpg



“BERHENTILAH merokok. Simpan duit itu untuk buat kebaikan,” pesan Mohammad Ameen, 30, bekas perokok tegar yang mula merokok sejak belasan tahun lagi itu.
Lelaki yang berasal dari England Utara itu pernah membelanjakan sehingga RM30 sehari untuk menampung kos ketagihannya itu.
Namun, pada bulan Ramadan 2008, beliau memutuskan untuk berhenti sepenuhnya menghisap 25 batang rokok sehari yang selama ini dilakukannya itu.
“Seorang cendekiawan memberitahu saya merokok itu haram kerana apabila seseorang itu merokok dia sebenarnya sedang memusnahkan dirinya sendiri.
“Kita semua tahu bahaya merokok jadi memang benarlah kita merosakkan tubuh kita.
“Tambahan pula, pakar perubatan mengatakan perokok sebenarnya sedang membunuh diri dengan perlahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika memutuskan untuk berhenti merokok, Mohammed Ameen sudah pun memasang niat yang besar.
“Ketika saya memutuskan untuk berhenti merokok saya juga berjanji untuk menggunakan wang perbelanjaan untuk rokok itu untuk melakukan penghijrahan spritual yang paling besar dalam hidup saya, iaitu mengerjakan haji,” kata Mohammed Ameen.
Kokain
Akuinya, sukar sekali untuknya berhenti merokok. Namun, Mohammed Ameen nekad bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan walaupun adakalanya beliau sendiri berasa ragu-ragu usaha itu akan berhasil.
“Ia merupakan satu usaha yang paling sukar saya pernah lakukan dalam hidup saya kerana saya sangat seronok menghisap rokok, setiap batang yang pernah saya hisap.
“Jadi ketika berhenti merokok, ia amat sukar. Tetapi kerana saya sudah nekad dan sanggup mengharunginya, akhirnya saya berjaya juga.
“Selepas dua tahun, rasa mengidam untuk menghisap rokok sudah hilang tetapi keinginan itu masih ada. Keluarga saya juga sangat gembira apabila mereka tahu saya sudah berhenti merokok.
“Tak sangka saya berhabis sehingga RM14,991 untuk merokok dalam setahun!” luahnya.
Biarpun berat untuk ditanggung, Mohammed Ameen berasakan keputusan untuk berhenti merokok merupakan keputusan terbaik yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
“Saya tahu pada bulan Ramadan ramai yang cepat-cepat merokok sebaik saja berbuka puasa. Tetapi kalau difikirkan sejenak, selepas menahan diri daripada merokok selama 18 jam kenapa tidak dilanjutkan tempoh itu sehingga 24 jam?
“Daripada menggunakan duit itu untuk melayan ketagihan seperti itu, lebih baik gunakannya untuk kebajikan.
“Ramai yang tidak sedar ada begitu banyak bahan kimia dalam sebatang rokok. Sejumlah 85 peratus daripada kes kanser paru-paru berlaku disebabkan tabiat merokok.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1114/Kosmo/Kesihatan/ke_01.2.jpg

MOHAMMED AMEEN



“Malah, bukan perokok saja yang menderita, orang di sekelilingnya juga menyedut toksin berbahaya ketika berada dekat dengan mereka,” kongsi Mohammed Ameen.
Pada hari ini, Mohammed Ameen sudah berada di bumi Mekah dan bersedia untuk mengerjakan haji.
Malah, Penasihat Kesihatan Berhenti Merokok NHS itu kini menggunakan pengalamannya itu untuk menasihati perokok tegar yang lain agar mempertimbangkan keputusan untuk berhenti merokok.
“Saya bermula sebagai sukarelawan di sini tetapi kemudian saya berasa saya boleh memberi nasihat kepada orang lain.
“Memanglah saya sendiri berhenti merokok secara mengejut tanpa menggunakan sebarang bentuk gantian namun saya harap orang lain akan menggunakan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan untuk berhenti merokok.
“Pergilah dapatkan nasihat daripada pusat-pusat pemulihan berdekatan tempat tinggal anda. Saya sudah berjumpa ramai perokok yang gagal berhenti merokok kerana mereka tidak mempunyai sokongan yang berterusan,” pesannya. – ASIAN IMAGE

jantung

SAYA berumur 35 tahun dan berjumpa doktor bulan lalu ketika melakukan saringan kesihatan. Tahap kolesterol saya ialah 8.8 mmol/L walaupun saya giat bersukan dan prihatin mengenai pemakanan sihat yang rendah lemak. Doktor menasihati saya mengambil ubat untuk merendahkan kolesterol. Bagaimanakah tahap kolesterol saya boleh menjadi begitu tinggi, padahal saya mengamalkan gaya hidup sihat?Perlukah saya mengikut nasihat doktor untuk memakan ubat kolesterol? 

JAWAPAN:

Ada dua punca utama kolesterol di dalam badan. 

Punca pertama ialah daripada apa yang kita makan dan yang kedua ialah daripada apa yang kita buat. Ramai tahu mengenai pemakanan yang tinggi kandungan lemak, tetapi ramai tidak tahu bahawa badan kita, melalui organ hati, juga menghasilkan kolesterol. Ingat, kolesterol adalah bahan utama membran sel badan dan kehadirannya sangat penting untuk badan berfungsi dengan sempurna. 
Bagaimanapun, ada beberapa keadaan di mana tahap kolesterol menjadi tinggi kerana kolesterol yang dihasilkan adalah berlebihan. Satu daripadanya disebabkan hiperkolesterolemia familial, iaitu akibat keturunan atau genetik. 
Tahap kolesterol setinggi 8.8 mmol/L adalah terlalu tinggi dan jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada masalah kardiovaskular, seperti penyakit jantung koronari dan strok. Oleh itu, anda wajar mengikut nasihat doktor untuk memulakan rawatan. Teruskan gaya hidup sihat yang diamali dan doktor anda akan memantau tahap kolesterol darah dari semasa ke semasa. 
SOALAN MENURUT artikel Doktor Jantung pada 10 Mei lalu, doktor memberitahu bahawa hipertensi kot putih berlaku apabila tekanan darah diambil ketika di hospital atau klinik adalah tinggi berbanding bacaan di rumah. Keadaan sedemikian berlaku kepada saya setiap kali saya berjumpa doktor. 
Apakah cara terbaik untuk mengelak bacaan tekanan darah menjadi tinggi apabila berjumpa doktor? 
JAWAPAN 
Sindrom atau hipertensi kot putih adalah fenomena yang belum difahami sepenuhnya oleh dunia perubatan. Ada kajian mendapati lebih kurang 20 peratus daripada bacaan tekanan darah yang tinggi ketika berjumpa doktor disebabkan hipertensi kot putih. Sememangnya seseorang itu sukar mengelak berlakunya fenomena sedemikian, tetapi jika ia cuba mengawal perasaan dan emosi ketika bertemu doktor, ini mungkin boleh membantu. Contohnya, pada hari berjumpa doktor, elak situasi yang membawa stres atau tekanan. Rancangkan hari dengan baik selepas mendapat rehat dan tidur secukupnya pada malam sebelumnya. Elak kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan, dan baca buku atau majalah yang menenangkan ketika menunggu giliran di klinik atau hospital. Adalah bagus jika anda mempunyai alat pengukur tekanan darah sendiri kerana anda boleh mengetahui tekanan darah anda ketika di rumah berbanding di hospital. Doktor anda mungkin melakukan ujian tekanan darah ambulatori untuk anda. Ujian ini membabitkan satu alat yang boleh mengukur dan memberi bacaan tekanan darah secara berperingkat-peringkat selama 24 jam. Ini boleh memberi gambaran lebih jelas mengenai tekanan darah anda yang sebenar.

Doktor Jantung: Tempoh mengambil aspirin

BIASANYA pesakit jantung diberi ubat aspirin untuk mencairkan darah. Adakah mereka perlu memberitahu doktor atau menghentikan pengambilan ubat ini jika mahu menjalani rawatan, contohnya mencabut gigi? Adakah pengambilan aspirin ini untuk sepanjang hayat atau boleh dihentikan atas nasihat doktor?

SOALAN BIASANYA pesakit jantung diberi ubat aspirin untuk mencairkan darah. Adakah mereka perlu memberitahu doktor atau menghentikan pengambilan ubat ini jika mahu menjalani rawatan, contohnya mencabut gigi? Adakah pengambilan aspirin ini untuk sepanjang hayat atau boleh dihentikan atas nasihat doktor? NLH JAWAPAN Aspirin adalah ubat yang wujud lebih seabad lamanya. Malah, aspirin yang bahan kimianya berasal daripada pohon willow digunakan sejak zaman ahli tabib Yunani, Hippocrates dan masyarakat Cina berkurun lalu, di mana daun dan kulit kayu dari pohon ini diambil untuk menghilangkan rasa sakit.
Walaupun penggunaan aspirin berkurangan pada pertengahan abad lalu selepas penemuan paracetamol pada 1956, populariti aspirin kembali semula sejak 1980-an apabila aspirin digunakan secara meluas untuk mengubati penyakit jantung koronari. Serangan jantung atau infarksi miokardium berlaku apabila gumpalan darah terjadi di dalam pembuluh darah koronari secara tiba-tiba, menyebabkan pengaliran darah terhenti. Ini mengakibatkan kerosakan teruk pada otot jantung yang ketandusan darah. Dalam proses awal pembekuan darah, sel darah platelet yang diaktifkan akan melekat sesama sendiri sebelum menjadi gumpalan darah. Aspirin, pada dos lebih rendah daripada yang digunakan bagi tujuan menghilangkan kesakitan, bertindak ke atas platelet berkenaan lalu ‘mencairkan darah’ dan mengelak berlakunya serangan jantung. Kajian mendapati jika aspirin diberi ketika infarksi mikardium, ia boleh mengurangkan kadar kematian sebanyak 25 peratus. Oleh itu aspirin antara ubat paling penting untuk seseorang pesakit penyakit jantung koronari dan harus diambil sepanjang hayat dan tidak boleh dihentikan, walaupun sehari, melainkan atas sebab tertentu. Bagi kebanyakan rawatan dan pembedahan kecil seperti mencabut gigi, aspirin tidak perlu dihentikan. Ini kerana pendarahan yang berlaku tidak serius dan mudah ditangani. Bagaimanapun, untuk pembedahan lebih besar seperti pembedahan perut dan usus atau penggantian sendi lutut, pengambilan aspirin perlu dihentikan untuk beberapa hari bagi mengelak komplikasi pendarahan. Dalam apa pun situasi, anda harus mendapatkan nasihat pakar jantung yang merawat anda sebelum berhenti memakan aspirin.
Gangguan aliran darah

TAHUKAH anda bahawa 50 peratus daripada 10,000 kes amputasi (pemotongan) kaki yang dilakukan ke atas pesakit kencing manis setiap tahun boleh dielak?

Penyakit vaskular pinggiran adalah penyakit yang membabitkan gangguan aliran darah di kaki. Seperti penyakit kardiovaskular yang lain, ia disebabkan proses arteriosklerosis, iaitu kejadian plak ateroma yang terdiri daripada kolesterol dan sel-sel radang di dinding salur darah. Lama kelamaan plak berkenaan membesar dan menyebabkan penyempitan salur darah.Penyempitan ini boleh berlaku di salur darah koronari. Jika ia bertambah teruk, otot jantung tidak akan mendapat darah dan oksigen yang cukup. Ini boleh mengakibatkan berlakunya angina (sakit di dada) atau serangan jantung. Jika penyumbatan salur darah berlaku di otak, strok atau angin ahmar akan terjadi.Apa gejala dan tanda penyakit vaskular pinggiran?Apabila pengaliran darah ke kaki berkurangan, otot kaki tidak akan mendapat oksigen dan nutrien secukupnya. Keadaan sedemikian dipanggil iskemia dan boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian kaki.Iskemia selalunya dialami semasa berjalan dan hilang selepas berehat beberapa minit. Gejala begini dikenali klaudikasi. Jika proses iskemia ini menjadi teruk, jarak seseorang itu berjalan sebelum sakit di kaki bermula akan menjadi lebih pendek.
Malah, jika penyakit vaskular pinggiran itu menjadi lebih parah, pesakit akan mengalami gejala seperti kebas, sejuk atau sakit berpanjangan ketika berehat. Jika ada luka atau ulser pada kaki, ia tidak sembuh atau mengambil masa yang lama untuk sembuh. Ketandusan darah ini menyebabkan tisu ibu jari kaki dan keseluruhan kaki rosak; dan keadaan ini dipanggil ganggren. Jika dibiarkan berterusan pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan kuman yang serius sehingga boleh membawa maut. Pada tahap ini, doktor tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyarankan supaya kaki pesakit terbabit dipotong. Bolehkah keadaan ini boleh dielak? Apakah rawatan yang ada?Faktor risiko untuk mendapat penyakit arteri pinggiran ialah menghidap kencing manis, mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kolesterol berlebihan dan merokok. Kewujudan faktor ini perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan sekiranya ada, langkah-langkah wajar harus diambil untuk menanganinya.Paras glukosa darah perlu dikawal dengan rapi untuk mengelak komplikasi diabetes. Jika merokok haruslah berhenti segera, amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta kerap bersenam untuk mengawal hipertensi, kolesterol berlebihan dan diabetes.Rawatan khususRawatan yang khusus kepada penyakit vaskular pinggiran terbahagi kepada tiga iaitu:
· Ubat
· Pembedahan graf pintasan arteri
· AngioplastiUbat-ubatanIa bertindak untuk:
· Mencairkan darah (contohnya aspirin dan clopidogrel)
· Mengawal paras kolesterol
· Ubat khusus untuk penyakit yang berkaitan (contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi)
· Ubat tahan sakit, jika adaPembedahan graf pintasan arteriPembedahan membabitkan penyambungan antara dua tempat pada arteri yang bermasalah dengan memintas bahagian yang tersumbat menggunakan graf sintetik atau graf semula jadi seperti vena (salur darah) kaki. Ini kaedah terbaik untuk arteri yang tersumbat sepenuhnya (100 peratus), terutama jika bahagian yang bermasalah itu panjang. Jika banyak bahagian pada arteri itu tersumbat atau arteri femoral (iaitu arteri di bahagian peha) yang terbabit, maka pembedahan adalah kaedah yang terbaik.AngioplastiSeperti angioplasti koronari, penyempitan salur darah di kaki boleh dirawati dengan menggunakan kaedah angioplasti belon. Ruang dalam pembuluh darah yang sempit itu boleh dibuka luas dengan meletakkan belon dan meniupkannya selama beberapa saat. Jika perlu, satu gegelung besi yang dipanggil stent boleh dimasukkan ke dalam pembuluh darah berkenaan untuk memberi hasil angioplasti yang lebih baik.Angioplasti didapati setanding atau lebih baik berbanding dengan pembedahan jika penyumbatan itu terjadi di arteri iliak, iaitu pembuluh darah yang menyambungkan aorta dan arteri femoral di peha. Ia juga adalah kaedah yang berkesan sekiranya pesakit itu mempunyai masalah perubatan yang lain seperti penyakit jantung koronari atau strok yang meletakkan pesakit dalam kategori berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan.Ini juga kaedah yang berkesan untuk membantu menyelamatkan kaki daripada dipotong bagi kes iskemia anggota kritikal.Apakah langkah seterusnya?Amalkan gaya hidup sihat dengan sering bersenam, menjaga berat badan, tidak merokok dan mengamal pemakanan sihat dan seimbang,
· Jika terdapat gejala atau tanda penyakit vaskular pinggiran seperti di atas, segera berjumpa doktor.
· Jika anda menghidap kencing manis, ambil langkah sesuai untuk menjaga kaki anda dengan baik. Pastikan kaki dan jari kaki anda sentiasa bersih dan kering. Jika ada luka, walaupun kecil, segera dapatkan nasihat doktor.
· Walaupun diri berasa sihat, masih wajar untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini kerana penyakit yang dikesan pada peringkat awal selalunya mempunyai peluang untuk baik dengan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya boleh dikawal dengan baik.Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini pembaca boleh menyertai Minggu Kesedaran Pembuluh Darah yang diadakan pada 20 hingga 26 Julai di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-76807000.

Friday, July 1, 2011

Fakta doktor Jantung:


ELAK PERASAAN MARAH

Apakah reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?

Apa pula perasaan anda apabila selepas lama beratur, tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di depan anda?.

Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan?

Kemarahan ialah satu ekspresi perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak suka. Mempunyai perasaan marah bukan perkara buruk kerana ia menunjukkan kita manusia normal. Malah, ada pakar berpendapat kemarahan pada peringkat rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan tertentu ia boleh memberi kesan positif kepada kita. Contohnya apabila kita dapat memberitahu seseorang bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan fikiran kita. 

Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau wanita, kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding kesan terhadap hubungan sesama insan.

Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia. Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit jantung koronari. Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 % jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 % jika pernah mengalami penyakit jantung.