Monday, May 20, 2019

MUDARAT DIET KETERLALUAN

Tanpa mengira jantina lelaki mahupun perempuan, menjadi trend kini untuk memiliki badan langsing. Pelbagai alasan diberikan untuk menurunkan berat badan sama ada mahu penampilan menarik atau disebabkan masalah kesihatan.

Ada baiknya kesedaran memiliki berat badan ideal semakin diambil perhatian. Namun, silapnya ada sesetengah daripada kita yang mengawal pemakanan semata-mata untuk menurunkan berat badan tanpa mengambil kira manfaat senaman.

Lebih menyedihkan ada yang sanggup menahan makan dan mengamalkan diet tertentu sekali gus menyebabkan badan tidak dilengkapi nutrisi diperlukan daripada pelbagai sumber makanan berkhasiat.

 

Elak sakit, kekal cergas

Pakar Nutrisi dan Fisiologi Senaman merangkap Pensyarah Fakulti Pusat Sukan Universiti Edith Cowan Australia Dee Dee Mahmood berkata, mengambil langkah mudah dengan mengamalkan diet keterlaluan hanya akan memudaratkan badan.

“Bukan satu cara yang sihat jika kita amalkan diet tertentu dengan menyekat pengambilan makanan secara keterlaluan atau jumlah sedikit dalam sehari dan memilih jenis makanan tertentu saja.

 
“Misalnya, hanya mengambil hidangan protein semata-mata tanpa kumpulan makanan lain dalam piramid makanan seperti karbohidrat. Perlu kita tahu, wanita perlukan pengambilan dalam jumlah 1,500 hingga 1,800 kalori sehari manakala lelaki pula 1,800 hingga 2,400 kalori sehari (bergantung kepada aktif atau tidaknya seseorang).

“Disebabkan pengambilan kalori yang terlalu rendah, ia akan menjejaskan nutrisi dan khasiat diperoleh daripada pemakanan kita yang terhad dan tidak menyeluruh dari segi khasiat sekali gus boleh mengganggu daya kerentanan atau ketahanan badan terhadap penyakit.

PEMAKANAN SEIMBANG SEPANJANG USIA

Kesihatan diri antara harta paling berharga yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit, namun ramai tidak mengambil perhatian sehingga akhirnya menghidap pelbagai penyakit serius.

Ramai juga yang tidak menyedari peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung adalah pengambilan makanan yang tidak seimbang dan jarang bersenam.

Corak pengambilan makanan yang teratur dan seimbang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak dan perlu diteruskan sehingga dewasa terutama apabila usia semakin meningkat.

Makanan seimbang adalah makanan yang membekalkan cukup zat untuk keperluan badan setiap hari. Antara kepentingan pengambilan makanan seimbang:

Pembesaran fizikal lebih sempurna

Tubuh perlu menerima semua zat yang diperlukan untuk membina badan yang kuat dan sihat. Keupayaan fizikal ini membolehkan kita menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Pemakanan seimbang menjadikan fizikal seseorang itu lebih baik dan sihat berbanding individu yang kurang menjaga aspek pemakanan.