Saturday, March 26, 2011

Sayangi jantung anda





PADA dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.
"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.
Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita.
Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.
Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat.
Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka.
Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?
Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.
Soalan
Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?
Jawapan
Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian.
Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain.
Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita.
Soalan
Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita?
Jawapan
Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita.

No comments: