Wednesday, September 28, 2011

Kayap melibatkan urat saraf

Mengalami gatal-gatal di badan pasti merimaskan tambahan pula kesakitan yang mencucuk-cucuk sehingga timbul bintik-bintik kemerahan di bahagian berkenaan.

Kemunculan bintik-bintik tersebut biasanya berlarutan selama dua atau tiga hari sebelum menggelembung dan pecah mengeluarkan cecair dengan bau kurang menyenangkan.

Malah ada juga yang mengeluarkan nanah di bahagian yang gatal itu, disusuli pula dengan sakit yang menyengat.

Bagi yang memandang remeh, pasti menganggap bintik-bintik tersebut sebagai masalah gatal biasa tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada simptom penyakit kayap.

Menurut Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris, jika terdapat simptom tersebut segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan dengan segera.

"Serangan kayap ini sangat sakit kerana ia melibatkan urat saraf selain membahayakan kesihatan,'' ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Katanya lagi, keadaan ini jika tidak diberikan rawatan awal akan menjejaskan kesihatan lebih-lebih lagi jika ia menyerang pada bahagian-bahagian sensitif seperti mata.

Ular dalam tubuh

"Sebab itu, bagi pesakit yang terkena kayap di bahagian mata, kita akan rujuk kepada pakar mata untuk memastikan tidak ada perkara-perkara serius yang berlaku kepada pesakit tersebut. Kayap boleh membuatkan seseorang itu buta jika tidak dirawat," katanya.

Menurut Dr. Mohd. Noh, serangan kayap biasanya dikesan melalui kesan tompokan kemerah-merahan pada kulit dan menggelembung serta berisi air.

Bagaimanapun terdapat juga yang mengandungi nanah serta menyebabkan kulit menjadi hitam-kehitaman serta menjalar berselerak ke bahagian badan yang tertentu.

Menurutnya, pesakit yang mendapat kayap akan mengadu sakit yang mencucuk-cucuk atau kebas di atas lingkaran tersebut.

Malah pesakit juga boleh merasai mereka seperti diserang sakit jantung jika lingkaran itu merebak.

Beliau memberitahu, gelembung-gelembung berair juga akan timbul di atas lingkaran tadi.

Dalam tempoh seminggu gelembung itu akan pecah dan kering lalu mengeruping.

Terang beliau lagi, kayap adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster dan bertindak menyerang seseorang yang mempunyai daya ketahanan badan yang lemah.

"Kebiasaannya golongan warga emas menjadi sasaran utama penyakit ini kerana golongan ini lazimnya mempunyai sistem imuniti yang agak lemah.

"Bagaimanapun terdapat juga golongan kanak-kanak yang dijangkiti kayap biarpun peratusannya terlalu rendah iaitu sekitar lima peratus,'' ujarnya .

Katanya lagi, serangan kayap biasanya berlaku pada bahagian pinggang ke atas bagaimanapun ia kadangkala juga berlaku pada bahagian sulit.

Malah kajian membuktikan sebanyak 55 peratus kejadian kayap berlaku di bahagian pinggang ke atas, manakala 20 peratus di bahagian muka serta 15 peratus berlaku di bahagian bawah pusat ke bawah manakala lima peratus berlaku di bahagian sulit dan punggung.

Ditanya mengenai rawatan, beliau memberitahu, pesakit yang datang bertemu akan diberikan ubat mematikan kuman serta ubat tahan sakit.

"Biasanya ubat anti virus perlu dimakan selama tujuh hari bagi memastikan kuman tersebut betul-betul hilang ,'ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perubatan kulit.

Tegasnya lagi, sekiranya pesakit dalam keadaan yang kritikal ia akan diberikan suntikan, bagaimanapun, yang penting ialah diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dahulu.

Rawatan segera sangat diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk kayap khususnya yang terkena pada mata dan mengurangkan kesan sakit.

Ditanya mengenai kepercayaan bahawa penyakit ini disebabkan oleh ular dalam tubuh pesakit, beliau menjelaskan adalah tidak benar, begitu juga kepercayaan kononnya bila lingkaran bertaut pesakit akan mati.

"Semua itu adalah karut, hakikatnya keadaan itu berlaku kerana ia berpunca daripada urat saraf yang terdapat di badan pesakit tersebut," katanya.

Tuesday, September 27, 2011

Ambil antibiotik, elak berjangkit

LEE (bukan nama sebenar) mengalami batuk-batuk. Seperti orang lain, pada mulanya dia hanya membiarkan saja. Selepas lima hari batuk lelaki berusia 30-an ini masih tidak pulih, malah bertambah teruk, dia mula mengambil ubat batuk yang dibeli di farmasi.

Tabiat merokok yang menjadi amalannya sedari zaman remaja tetap diteruskan. Walaupun orang di kelilingnya menyarankan agar dia berhenti, namun dalam hatinya berkata, "arghhh, mana mungkin peneman setia yang satu ini ditinggalkan."

Hampir dua minggu mengalami batuk berkahak dan ubat yang dibeli tidak menunjukkan kesan, Lee terus berjumpa dengan doktor di klinik biasa.

Doktor memberinya ubat berserta antibiotik yang perlu dihabiskan dalam masa lima hari. Mungkin dengan pemakanan ubat yang betul, batuk yang dialaminya berkurangan selepas dua hari.

Yakin dengan kesihatan diri, Lee tidak menghabiskan antibiotik seperti yang dipreskripsi oleh doktor. Pada fikirannya, dia sudah sembuh. Lagi pun dia tidak rasa penyakitnya serius, sekadar batuk biasa saja.

Beberapa hari selepas itu, penyakit batuk-batuknya datang kembali. Bukan setakat batuk, kadangkala dia juga merasa seperti sesak nafas dan sakit di bahagian dada. Dia juga seperti rasa mahu demam.

Risau dengan keadaan yang dialami, Lee mendapatkan pandangan doktor pakar. Alangkah terperanjat apabila doktor mengesahkan dia mengalami jangkitan paru-paru yang serius. Disebabkan jangkitan yang dialami tidak dirawat dengan baik, bahagian paru-parunya juga mengumpul cecair menyebabkan ia bengkak dan menjadi radang.

Sebenarnya masalah yang dialami oleh Lee merupakan perkara biasa yang berlaku. Ramai yang tidak jelas mengenai pneumonia dan menganggap ia menyerang kanak-kanak dan warga emas sahaja. Hakikatnya, mereka yang masih muda turut berisiko.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Respiratori, Prof Madya (K) Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin dari Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, jangkitan paru-paru atau istilah yang lebih tepat lagi pneumonia berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman yang berpunca daripada bakteria, virus, fungus atau parasit pada bahagian paru-paru.

"Bakteria adalah punca yang paling biasa seseorang diserang pneumonia. Antara bakteria yang dikenal pasti sering mengundang masalah ini adalah streptococcus pneumoniae, klebsiella pneumoniae dan haemophilus pneumoniae. Satu lagi bakteria atypical yang menyerang bayi, kanak-kanak dan warga emas pula dinamakan mycoplasme pneumoniae," kata beliau.

Jelas beliau, pneumonia di kalangan kanak-kanak dan warga emas yang disebabkan jangkitan bakteria memerlukan rawatan antibiotik sekitar lima hingga 10 hari. Jika sistem imunisasi badan mereka kuat, hampir 70 peratus daripada kes tidak memerlukan rawatan di hospital. Begitu juga dengan orang dewasa.

Selain bakteria, virus turut dikenalpasti sebagai punca pneumonia seperti influenza, parainfluenza dan pelbagai lagi. Menurut beliau, biasanya pneumonia yang disebabkan virus mengambil masa tidak lama iaitu sekitar tiga hingga empat hari dan andai berpanjangan, ia pasti berpunca daripada bakteria.

Risiko
Pneumonia sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja tidak kira usia. Walaupun ia lebih biasa menyerang bayi, kanak-kanak dan warga emas, namun golongan muda juga tidak terlepas daripada dijangkiti masalah ini terutama mereka yang mengalami masalah paru-paru kronik (COPD), asma penghidap penyakit kronik lain seperti kanser, leukimia dan sebagainya.

Menurut Prof Madya Dr. Nor Adina, 30 peratus daripada pesakit perlu mendapatkan rawatan di hospital kerana masalah yang berlaku serius.
"Sebenarnya, pneumonia boleh mengancam nyawa andai tidak dirawat dari peringkat awal dan peratus kematian dianggarkan sehingga 12 peratus," katanya.

Tambah beliau, tabiat merokok memburukkan keadaan pneumonia seseorang. Perokok katanya, lebih terdedah kepada COPD menyebabkan paru-paru mereka menjadi lemah.

Jelas beliau, lain individu lain simptom yang dialami oleh mereka. Ada yang mengalami batuk berkahak kuning atau hijau, ada yang batuk sehingga berdarah, sakit di bahagian dada, sesak nafas, demam dan berpeluh ketika malam.

Biasanya serangan pneumonia didiagnos melalui beberapa cara. Bagi pesakit yang mengalami simptom, doktor akan melakukan pemeriksaan sinar-X bagi mengesan sebarang keganjilan pada paru-paru. Selain itu, ujian kahak juga boleh dilakukan. Namun, ujian ini jarang dijalankan dan menurut Dr. Nor Adina, hanya 50 peratus daripada ujian mampu memberi keputusan yang tepat.

"Biasanya doktor akan memberi rawatan berdasarkan kepada simptom dan juga sejarah pesakit," katanya.

Namun seandainya ia tidak berkesan, pemeriksaan selanjutnya menggunakan CT scanner akan dijalankan.

Pneumonia dan tibi
Ramai yang keliru antara jangkitan paru-paru atau pneumonia dengan tibi.

"Tibi sebenarnya merupakan sebahagian daripada jenis-jenis jangkitan pneumonia. Biasanya pneumonia yang berpanjangan kita klasifikasi sebagai tibi melihat kepada simptom dan sejarahnya," kata beliau.

Rawatan tibi katanya mengambil masa yang panjang iaitu melebihi enam bulan. Ia berbeza dengan pneumonia dari segi jenis ubat yang diberi. Biasanya ia merangkumi lima jenis antibiotik yang perlu diambil sepanjang tempoh itu.

Rawatan tibi kata beliau kadangkala memberi kesan sampingan kepada pesakit seperti muntah, sakit perut, kuning.

Pencegahan
Prof Madya Dr. Nor Adina berkata, setiap individu perlu menjaga kesihatan mereka dengan teliti. Amalan kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum melakukan sebarang aktiviti adalah asas kepada kesihatan menyeluruh.

"Selain itu bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti batuk dan disahkan pneumonia, sila pakai topeng bagi menghalang jangkitan kepada orang lain walaupun ketika itu bukanlah musim wabak tersebut berlaku," katanya.

Jelas beliau, kesilapan kebanyakan masyarakat adalah hanya mengambil langkah berjaga-jaga ketika penyakit tersebut heboh diperkatakan. Sebaliknya, penyakit berjangkit seperti itu tidak mengenal musim atau masa.

Pesakit perlu mengambil ubat seperti yang disarankan doktor dan bukan berhenti selepas merasa batuk semakin pulih.

Vaksin pneumokokal boleh diambil sebagai langkah pencegahan daripada penularan penyakit ini.

Kronik
Penyakit pneumonia yang tidak dirawat pada peringkat awal boleh menyebabkan kuman pneumonia agresif dan mengundang keadaan seperti pengumpulan air di dalam atau luar bahagian paru-paru.

"Sebenarnya paru-paru kita memang menghasilkan cecair sebanyak 5cc setiap hari sebagai pelincir semula jadi organ itu. Namun bila ia dijangkiti pneumonia, penghasilan cecair menjadi lebih banyak daripada biasa dan menyebabkan ia terkumpul di bahagian tersebut," katanya.

Bila keadaan ini berlaku, doktor akan memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair dari paru-paru. Seandainya ia tidak berkesan, maka langkah selanjutnya iaitu pembedahan perlu dilaksanakan.

Menurutnya, doktor akan memeriksa keadaan paru-paru itu sendiri sama ada terdapat kelainan seperti radang (bengkak). Jika ada, bahagian yang terjejas akan dibuang melalui pembedahan.

Menurut Prof Madya Dr. Nor Adina, paru-paru masih boleh berfungsi sepenuhnya walaupun ia dibuang sehingga 60 peratus.

Namun individu tersebut mungkin sukar melakukan aktiviti lasak lain kerana merasa sukar bernafas.

"Bagi mereka yang bekerja biasa yang memerlukan hanya duduk di dalam pejabat, mungkin tidak rasa kesannya," kata beliau.

Stres punca rambut gugur?

RAMBUT tumbuh di merata badan manusia kecuali di tapak tangan dan di tapak kaki. Ada sesetengah rambut tumbuh terlalu halus sehinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. 

Namun begitu rambut yang tumbuh di kepala paling menjadi perhatian sama ada lelaki atau wanita. Maklumlah rambut adalah mahkota.

Saturday, September 24, 2011

Belajar daripada keterlanjuran

KAMI datang dengan harapan, kami pulang dengan kejayaan. Itulah moto Kompleks Dar-Assa'adah (KDS) yang kini sedang memberikan perlindungan dan bimbingan kepada seramai 37 gadis bermasalah. KDS yang beroperasi di Kampung Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu, hakikatnya menyimpan rahsia pelbagai peristiwa hitam para penghuninya.
Tina (bukan nama sebenar) tidak menyangka tempoh dua tahunnya sudah sampai ke penghujung. Dia akan keluar pada minggu ini.
Itulah detik keramat dalam diri Tina, kerana dia kini bukan Tina dulu tetapi Tina yang baru.
Kalau dahulu, Tina mudah termakan pujuk rayu lelaki tidak bertanggungjawab. Sekarang sudah tidak lagi, kerana Tina sudah tahu batasan agama, mana yang baik, mana yang buruk, mana dosa dan mana pahala.
Tambahan pula, air mata keinsafan ketika berdua-dua dengan Allah SWT dalam setiap solat lima waktu dan sujud tawaduk ketika solat sunat taubat, tahajud, hajat dan istikharah, telah menjadi kekuatan buat Tina menempuh masa depan yang lebih mencabar.
"Bohonglah kalau saya katakan saya tidak gementar. Sebenarnya, bermacam-macam perasaan bermain dalam benak saya ini. Namun, wajah comel anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang ibu serta harapan menggunung keluarga, telah mengembalikan semangat diri saya.
"Saya tidak mahu lagi kecewakan ibu. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Saya mahu menjadi anak yang bertanggungjawab dan dapat berbakti kepada orang tua yang telah banyak berkorban selama ini.
"Malah, kini saya telah bergelar ibu kepada bayi lelaki yang tidak berdosa. Saya mesti pastikan anak itu terbela dan terpelihara masa depannya. Saya tidak mahu lagi lakukan kesilapan yang bodoh itu," cerita Tina anak kelima dari tujuh adik-beradik yang berasal dari Negeri Sembilan itu.
Berkongsi kisah hitam lebih dua tahun lalu, Tina tidak menyangka teman sekerja lelaki sanggup meletakkan bahan yang telah membuatkannya tidak sedarkan diri, sebelum melakukan perbuatan terkutuk ke atas dirinya.
Selang beberapa bulan sejak insiden itu, Tina dapat merasakan yang dia sudah berbadan dua, namun merahsiakannya kerana bimbang dengan penerimaan keluarga, terutamanya ibu.
Namun, lama-kelamaan perutnya semakin membesar dan sukar disembunyikan. Lantas dia pergi ke pejabat agama dan meminta dirujuk ke mana-mana pusat penjagaan untuk wanita mengandung luar nikah.
Menjejakkan kaki di KDS dengan keazaman untuk berubah dan mendalami agama demi persediaan mengharungi masa depan, memudahkan penghijrahan diri Tina sepanjang dua tahun di KDS.
"Saya lebih kenal Allah SWT. Segala apa yang dilakukan di sini adalah perkara-perkara yang bermanfaat. Pada sebelah malam pula, diisi dengan ceramah agama, mengaji al-Quran dan solat malam.
"Kalau dahulu, saya cuma tahu pergi kerja, balik kerja tetapi di sini saya sudah tahu menjahit dan insya-Allah akan menjadikan bidang ini kerjaya tetap bila keluar kelak dan cukup modalnya," katanya.
Nasihat Tina agar gadis-gadis di luar sana lebih berhati-hati apabila berkawan dengan lelaki kerana kita tidak tahu niat sebenar mereka.
Sementara itu, Linda, 25 tahun, (bukan nama sebenar) pernah berusaha membunuh bayi yang tidak berdosa ketika usia kandungannya antara tiga hingga enam bulan.
Kata gadis kelahiran negeri di selatan tanah air itu lagi, dia sanggup minum air tapai, makan jamu dan makanan yang tajam-tajam dan berbahaya bagi wanita mengandung, dengan harapan janin tersebut akan jatuh.
"Semuanya kerana saya bertemu semula dengan bekas kekasih saya. Saya cuba larikan diri daripadanya tetapi tidak berjaya. Tambah memburukkan keadaan, bila saya disahkan mengandung anak daripada benihnya. Selama lapan bulan saya cuba sembunyikan kandungan.
"Bila emak suruh pulang ke kampung, pelbagai alasan yang saya berikan, semuanya gara-gara takut rahsia saya terbongkar. Namun, apabila ayah jatuh sakit, saya sudah tidak ada cara lain untuk mengelak. Saya pulang tetapi berusaha menyembunyikannya, waima ibu mula curiga.
"Apabila kembali semula ke rumah sewa, saya macam hendak gila memikirkan keadaan saya yang semakin genting. Saya bagai hilang arah. Saya hubungi ibu menerusi telefon dan akhirnya membuat pengakuan. Sayangnya, pengakuan itu tidak meringankan tetapi tambah membebankan," kata Linda yang mula mendaftarkan diri di KDS pada Ogos 2008.
Akui Linda, pesanan ibu sebelum pulang selepas menghantarnya ke KDS menjadi azimat dan pegangannya sampai bila-bila. Kata ibu: "Sebelum emak balik, emak tidak buang awak. Anggaplah duduk di sini sebagai belajar".
"Banyak hikmah yang saya peroleh di sini. Saya sudah boleh melakukan hafalan, tilawah dan tadarus. Sesungguhnya, banyak baik daripada buruk sepanjang berada di sini.
"Saya hendak mula hidup baru, buka buku baru. Saya ingat kata-kata emak dan ayah. Saya tidak mungkin akan kembali semula kepada teman lelaki, kerana dia sendiri pernah memberi kata dua kepada saya iaitu keluarga atau dia. Cincang air tidak akan putus, saya pilih keluarga.
"Bagaimanapun, Allah mungkin telah memberi pengajaran paling bermakna kepada saya. Ketika melahirkan, saya terpaksa bertarung sembilan hari sembilan malam kerana bersalin secara pembedahan. Saat itu, barulah saya sedar betapa besarnya pengorbanan insan bernama ibu," kata Linda yang melahirkan anak lelaki pada Oktober 2008.
Didikan agama yang diperoleh Anum (bukan nama sebenar) sehingga tahap Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak menjamin keselamatan diri seseorang dalam berhadapan kerakusan jenayah sosial yang tidak mengenal mangsanya.
Sekali alpa, selamanya kita terpaksa menanggung dosa yang dilakukan. Walaupun bukan atas kerelaan diri atau termakan tipu daya syaitan yang bertopengkan manusia.
"Sambutan kemerdekaan negara mencatat detik hitam kepada saya. Apa tidaknya, kerana terlalu percayakan kawan baik yang dikenali sejak di bangku sekolah, akhirnya mahkota diri saya diragut jantan durjana. Saya dikhianati teman sejenis.
"Malangnya, semua perbuatan keji itu dilakukan ke atas saya ketika saya sendiri tidak sedarkan diri. Perkara akhir yang saya ingat, saya minum air mineral yang diberikan teman itu tadi. Selepas itu, dunia saya gelap.
"Sedar pada paginya, saya di dalam bilik seorang teman perempuan yang juga turut sama meraikan detik kemerdekaan itu. Saya cuma rasa sakit di bahagian alat sulit dan ada kesan darah di seluar dalam. Tetapi tidak terlintas langsung, yang saya sebenarnya telah diperkosa," cerita Anum, anak sulung daripada empat adik-beradik.
Kata gadis kelahiran negeri Melaka ini lagi, sejak kejadian itu dia mula tidak datang haid. Pada awalnya, perubahan itu dianggap biasa kerana memang tidak mengesyaki dirinya mengandung.
"Tetapi apabila perut semakin membesar, nenek cuba merasa perut saya. Dia kata saya mengandung. Apa lagi, seluruh ahli keluarga terkejut. Saya dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan kehamilan tersebut dan usia kandungan saya sudah masuk lima bulan.
"Saya minta keluarga hantar saya ke mana-mana pusat. Pada bulan Februari 2009 saya mula mendaftar sebagai pelatih KDS dan empat bulan kemudian melahirkan bayi perempuan. Bayi itu sekarang berada dalam jagaan keluarga saya.
"Saya tidak pernah menyalahkan bayi tersebut. Sebaliknya, saya berharap pengajaran yang saya lalui ini dapat menjadi iktibar kepada gadis di luar sana agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan," kata Anum yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang perbualan kami, lewat petang itu.
Nita (bukan nama sebenar), 20, gadis yang berasal dari Pahang ini sedang mengandung empat bulan memberitahu dia melakukan perbuatan terkutuk itu atas dasar suka sama suka dengan pasangan yang dikenali sejak di sekolah menengah lagi.
Apa yang dilakukan ini mungkin satu tanda memberontak terhadap bapanya yang tidak mahu membenarkan mereka berkahwin dengan alasan usia yang masih terlalu muda.
"Saya sebelum ini pernah dimasukkan ke sebuah rumah khas untuk gadis-gadis yang terlanjur tetapi ia tidak bertahan lama kerana pengisian agamanya amat kurang dan kebajikan gadis-gadis di situ tidak terbela langsung.
"Alhamdulillah, sungguhpun belum sebulan tinggal di KDS, jiwa saya tenang. Kawan-kawan pun ramai serta banyak bimbingan dan motivasi yang disalurkan, secara tidak langsung membuat saya rasa tidak terasing," kata Nita yang berazam mahu mendalami al-Quran di KDS.

Belajar daripada keterlanjuran

KAMI datang dengan harapan, kami pulang dengan kejayaan. Itulah moto Kompleks Dar-Assa'adah (KDS) yang kini sedang memberikan perlindungan dan bimbingan kepada seramai 37 gadis bermasalah. KDS yang beroperasi di Kampung Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu, hakikatnya menyimpan rahsia pelbagai peristiwa hitam para penghuninya.

Thursday, September 22, 2011

Ling zhi bukan cendawan biasa

Ling zhi bukan cendawan biasa



BENTUK cendawan ling zhi memang kurang menarik tetapi khasiatnya luar biasa.

CENDAWAN ling zhi atau Ganoderma lucidum ialah sejenis herba yang cukup popular. Cendawan itu berwarna merah dan perang serta berkilat. Saiznya juga agak besar berbanding cendawan biasa menyebabkan ia kurang mendapat perhatian. Namun, khasiatnya cukup banyak.
Khasiatnya diperakui berabad lamanya sejak zaman Dinasti Shu di China iaitu kira-kira 2,400 tahun lalu. 
Ketika itu hanya mereka yang berstatus maharaja atau keluarga diraja sahaja yang mampu mendapatkannya kerana harganya yang mahal. Dengan bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida, berupaya menguatkan sistem imun, ling zhi boleh dijadikan langkah awal untuk menghalang dan merawat kanser, antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan.

Ada yang mengatakan seseorang perlu mendaki gunung dan meredah rimba bagi mendapatkan cendawan ling zhi.

Namun, hari ini kita tidak perlu lagi bersusah-payah mendaki gunung atau masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan ling zhi.
Jaga kesihatan
CHENG (kiri) bersama beberapa produk makanan kesihatan cendawan tersebut yang dikeluarkan oleh syarikatnya, Ganofarm Sdn. Bhd. bersama Dr. Noorlidah.

Cendawan itu kini ditanam secara komersial di beberapa buah negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat. "Di Malaysia tidak ramai yang menanam cendawan ini kerana pasarannya kurang memberangsangkan," kata Prof Dr. Noorlidah Abdullah dari Institut Sains Biologi Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Beliau yang juga mengamalkan minuman ekstrak ling zhi berkata, ia sangat baik untuk menjaga kesihatan.

Polisakarida, bahan aktif yang terdapat dalam ling zhi berupaya menguatkan sistem imun tubuh. Ling zhi boleh dijadikan langkah untuk mencegah kanser, bertindak sebagai antialergi, antiradang, antiviral, antibakteria dan antioksidan," katanya.

Selain itu, ling zhi mempunyai antioksidan paling tinggi berbanding cendawan lain.

Antioksidan boleh menyingkir radikal bebas yang terbentuk dalam badan melalui metabolisme tubuh. Radikal bebas akan merosakkan lipid pada membran sel dan asid deoksiribunokliek (DNA). Jadi apabila berlakunya serangan, tubuh boleh terdedah kepada penyakit seperti jantung, artritis dan penyakit lain.

"Penyakit-penyakit ini timbul apabila umur meningkat akibat kekurangan antioksidan. Kalau amalkan ling zhi, sistem imun kita akan sentiasa tinggi dan dapat melindungi diri daripada serangan pelbagai penyakit," kata Dr. Noorlidah.

Ling zhi juga katanya, baik untuk paru-paru dan hati kerana ia meningkatkan proses detoksifikasi.

Menurut Dr. Noorlidah, ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes. Ling zhi dipercayai berupaya mengelakkan pesakit diabetes daripada 'kehilangan kaki' dan ini diakui pengusaha cendawan, Ganofarm Sdn. Bhd., P.G. Cheng.

Keberkesanan cendawan


SEJAUH manakah ling zhi boleh memberi harapan kepada pesakit diabetes? - Gambar hiasan



Berkelulusan ijazah sarjana muda kimia, Cheng yang menanam ling zhi sejak tujuh tahun lalu berkata, pengalaman berurusan dengan pesakit diabetes sebelum ini, membuktikan keberkesanan cendawan itu.

"Ada seorang pak cik di Alor Setar, Kedah kakinya hampir dipotong disebabkan luka. Lukanya menjadi teruk disebabkan dia ada penyakit diabetes.

"Namun, selepas mengamalkan ling zhi, kaki pak cik itu dapat diselamatkan dan tidak perlu dipotong," katanya.

Selain selalu menerima kedatangan pesakit diabetes ke ladangnya di Tanjung Sepat, Selangor pesakit hipertensi dan ekzema juga mendapatkan produk yang diperbuat daripada ling zhi. Cheng berkata, terdapat kajian yang mendedahkan ling zhi dapat meningkatkan sistem imun pesakit HIV/AIDS. 

"Pesakit HIV/AIDS berhadapan situasi sistem imun rendah. Ada satu kajian mendedahkan, kualiti kehidupan mereka yang mengambil ling zhi semakin baik," katanya.

Faktor harganya yang mahal menyebabkan tidak ramai yang mampu membeli ling zhi. Atas sebab itulah, Cheng terdorong untuk menanam ling zhi dan menghasilkan produk sendiri serta tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk mengurangkan kos.

Atas sebab itulah, produk ling zhi yang terdapat di kedainya seperti pencuci rambut, minuman kesihatan dan kapsul dijual pada harga berpatutan, "Sebelum ini, untuk mendapatkan produk ling zhi perlu melalui ejen tertentu dan harganya sangat mahal. Disebabkan itu, saya memilih untuk menanam cendawan ling zhi dan menghasilkan pelbagai produk berasaskannya.

Sebelum ini Cheng pernah menjual ling zhi segar, namun pulangannya kurang memberangsangkan.

Beliau turut kesal kerana terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan menjual ling zhi palsu di pasaran.

"Ling zhi asli apabila direbus, rasanya sangat pahit. Pernah sekali saya pergi ke sebuah pasar, penjual itu mengatakan bahawa dia menjual ling zhi.

"Ia kelihatan seakan-akan ling zhi asli, tetapi apabila ditanya sama ada ia pahit atau tidak, penjual itu kata tidak. Dari situ kita tahu itu bukanlah ling zhi asli," katanya. - Bernama

Sunday, September 18, 2011

Masih boleh dirawat



Pembedahan bagi membuang tumor di bahagian kepala dan leher agak rumit dan memakan tempoh yang lama.

TATKALA Pakar Bedah Kanser Kepala dan Leher dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Mohd. Razif Mohamad Yunus menunjukkan gambar-gambar pesakit dibedah akibat menghidap kanser jenis itu, terbit satu perasaan yang sukar diungkapkan di dada penulis.
Rasa gerun, takut dan seriau menyelubungi diri. Tidak dapat diungkapkan bagaimana keadaan pesakit yang menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian tersebut.

Rawat pigmentasi, rangsang kolagen

SEMUA wanita inginkan wajah yang sentiasa kelihatan muda. Tiada siapa ingin kelihatan tua. Apa yang sebenarnya menyebabkan wajah kelihatan tua? Cuba lihat gambar semasa kita muda kemudian bandingkan dengan wajah sekarang. Mungkin banyak perubahan yang anda lihat. Dua perubahan paling ketara yang boleh membuat wajah nampak lebih tua adalah kehadiran pigmentasi pada wajah dan kedut-kedut muka.

Tahukah anda, dengan merawat masalah jeragat, anda boleh kelihatan lebih muda lima ke 10 tahun. Masalah pigmentasi yang sering berlaku di kalangan wanita Melayu berusia selepas 30-an adalah melasma.


Apakah itu melasma , masih belum di ketahui dengan jelasnya. Namun begitu ada beberapa perkara yang dikaitkan dengan melasma antaranya kehamilan, pil perancang dan pil gantian hormone menopaus. Melasma yang disebabkan perubahan hormon boleh hilang dengan sendiri beberapa bulan selepas kelahiran atau apabila seseorang berhenti mengambil pil-pil hormon tersebut. Faktor lain yang menyebabkan melasma adalah pendedahan kepada sinaran UV yang kronik atau komplikasi kepada salah penggunaan bahan kosmetik. Melasma yang disebab kan faktor ini agak sukar dirawat .


Rahsia Langsing Rosita


KEISTIMEWAAN Rozita Ibrahim adalah mencuba setiap produk yang dihasilkan. Beliau sanggup menjadi bahan eksperimen. Jika kebanyakan produk menampilkan orang lain sebagai ‘testimoni’, Rozita sebaliknya. Pengasas Sendayu Tinggi itu menjadi model produk keluarannya, itu pun setelah memastikan keberkesanannya menerusi pengalaman diri sendiri. 

Sendawa, sakit perut tanpa sebab

Fakta memang tidak berbohong: penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut dari para pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan kepada masalah penghadaman anda. Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan persoalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.com dan faks ke: 03-5638 9909.

Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.

Soalan: Saya sering sendawa tanpa sebab dan mengalami sakit perut yang teruk. Masalah sendawa ini sudah berlarutan kira-kira satu minggu sekarang. Saya juga rasa loya apabila sendawa. Saya suka keluar bersantai tetapi kini saya jarang berbuat demikian disebabkan masalah ini. Apakah yang berlaku? Apakah yang saya harus buat bagi mengurangkan gejala ini?

* Pembaca: Nurul Ain Abdullah
Apabila kita sendawa, gas yang terkumpul dalam perut dikeluarkan melalui mulut kita. Sendawa, juga dikenali sebagai tahak, tidak semestinya menandakan masalah kesihatan yang serius.

Lazimnya sendawa adalah disebabkan oleh tabiat makan yang salah. Waktu makan yang tidak tepat dan juga kecenderungan makan berlebihan boleh menyebabkan sendawa yang teruk. Di samping itu, pengambilan makanan pedas dan berminyak yang banyak juga boleh memburukkan masalah sendawa, termasuk masalah seperti sakit perut yang anda sebutkan tadi.

Selain itu, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga boleh menjadi punca utama sendawa berlebihan. Penyakit refluks asid ini menolak asid dari perut ke esofagus dan menyebabkan pedih hulu hati dan sendawa berterusan.

Sesetengah orang pula banyak sendawa dan bertahak disebabkan udara yang ditelan. Udara memasuki saluran gastrousus apabila kita bernafas atau bercakap sambil makan.

Jika kita mahu mengurangkan masalah sendawa berlebihan ini, kita harus mengubah pengambilan makanan kita dengan mengurangkan minuman bergas serta makanan pedas dan berminyak yang boleh meningkatkan sendawa. Ini adalah antara beberapa punca atau sebab kita kadangkala sendawa secara berlebihan.

Anda boleh pergi berjalan-jalan selepas makan supaya makanan boleh dihadamkan dengan baik. Elakkan makanan tertentu yang sukar dihadam seperti sayur kacang, bawang, kubis bulat, kubis bunga, kentang, oat dan produk susu. Anda juga harus mengurangkan pengambilan makanan berlemak tinggi yang banyak menghasilkan gas. Teh halia boleh diminum untuk membantu mengeluarkan angin dan melegakan kembung perut.

Soalan: Najis saya berwarna hitam seperti tar. Perut saya rasa kurang selesa seolah-olah kembung dan ini mengurangkan selera makan saya. Saya bekerja di restoran dan saya makan banyak makanan berminyak seperti sos perang, mentega, mayones dan kuah yang mengandungi minyak. Najis saya berwarna hitam sejak 2 hari lalu. Apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan keadaan saya ini?

* Pembaca: Mohamad Mustafa Salim

Najis hitam, bergris atau seperti tar menandakan pendarahan dalaman. Salah satu sebabnya mungkin kerana makanan yang diambil. Kadangkala semakin usia kita meningkat, badan kita berubah dan alahan boleh berlaku. Makanan berminyak, berlemak dan pedas juga boleh mencetuskan sindrom ini. Ia juga boleh disebabkan jumlah zat besi yang berlebihan dalam makanan anda. Masalah ini boleh dirawat dengan hanya mengubah diet makanan anda.

Najis hitam juga boleh disebabkan pendarahan di bahagian atas gastrousus. Warna hitam menandakan kehadiran darah yang dihadamkan dalam najis. Ia lazimnya berpunca daripada penyakit atau kecederaan di mana-mana sistem penghadaman, dari bahagian mulut hingga usus kecil. Pendarahan itu sendiri boleh berlaku atas banyak sebab, baik yang ringan dan mudah dirawat mahupun yang mengancam nyawa. Penyakit yang mungkin dialami termasuk kanser perut, sirosis hati dan gastritis atau ulser peptik.

Satu lagi punca najis hitam ialah garam bismut sulfat, sejenis ubat yang diambil untuk merawat masalah penghadaman. Namun, najis hitam dalam kes ini tidak menandakan pendarahan gastrousus.

Untuk menangani masalah ini, anda harus makan sayuran dan makanan yang kaya dengan serat semula jadi dan kurang lemak tepu. Jika anda sedang mengambil ubat, anda masih boleh meneruskan pengambilannya tetapi elak penggunaan ubat antiradang yang berterusan dan berlebihan seperti ibuprofen, naproxen dan aspirin. Di samping itu, anda harus mengehadkan pengambilan alkohol memandangkan jumlah alkohol yang banyak boleh merengsakan pelapik esofagus dan perut dan ini boleh menjadi punca pendarahan.

Jika anda tidak dapat mengenal pasti sebab pemakanan sebagai punca najis hitam, dan jika anda mengalami kembung perut dan khususnya rasa tidak selesa atau sakit dalam perut, anda harus berjumpa dengan doktor. Lebih awal anda mengetahui sebab musababnya, lebih awal anda boleh mendapatkan rawatan dan lebih cepat anda boleh mengatasi masalah tersebut.

Professor Madya Dr Sheikh Anwar Abdullah adalah seorang perunding gastroenterologi dalam Badan Penasihat Perut Sihat. Penulis ini tidak mempunyai kaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Badan Penasihat Perut Sihat dan disokong oleh Program Perut Sihat Vitagen. Untuk mendapat buku panduan kesihatan penghadaman secara percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.