Mengalami gatal-gatal di badan pasti merimaskan tambahan pula kesakitan yang mencucuk-cucuk sehingga timbul bintik-bintik kemerahan di bahagian berkenaan.
Kemunculan bintik-bintik tersebut biasanya berlarutan selama dua atau tiga hari sebelum menggelembung dan pecah mengeluarkan cecair dengan bau kurang menyenangkan.
Malah ada juga yang mengeluarkan nanah di bahagian yang gatal itu, disusuli pula dengan sakit yang menyengat.
Bagi yang memandang remeh, pasti menganggap bintik-bintik tersebut sebagai masalah gatal biasa tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada simptom penyakit kayap.
Menurut Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris, jika terdapat simptom tersebut segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan dengan segera.
"Serangan kayap ini sangat sakit kerana ia melibatkan urat saraf selain membahayakan kesihatan,'' ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Katanya lagi, keadaan ini jika tidak diberikan rawatan awal akan menjejaskan kesihatan lebih-lebih lagi jika ia menyerang pada bahagian-bahagian sensitif seperti mata.
Ular dalam tubuh
"Sebab itu, bagi pesakit yang terkena kayap di bahagian mata, kita akan rujuk kepada pakar mata untuk memastikan tidak ada perkara-perkara serius yang berlaku kepada pesakit tersebut. Kayap boleh membuatkan seseorang itu buta jika tidak dirawat," katanya.
Menurut Dr. Mohd. Noh, serangan kayap biasanya dikesan melalui kesan tompokan kemerah-merahan pada kulit dan menggelembung serta berisi air.
Bagaimanapun terdapat juga yang mengandungi nanah serta menyebabkan kulit menjadi hitam-kehitaman serta menjalar berselerak ke bahagian badan yang tertentu.
Menurutnya, pesakit yang mendapat kayap akan mengadu sakit yang mencucuk-cucuk atau kebas di atas lingkaran tersebut.
Malah pesakit juga boleh merasai mereka seperti diserang sakit jantung jika lingkaran itu merebak.
Beliau memberitahu, gelembung-gelembung berair juga akan timbul di atas lingkaran tadi.
Dalam tempoh seminggu gelembung itu akan pecah dan kering lalu mengeruping.
Terang beliau lagi, kayap adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster dan bertindak menyerang seseorang yang mempunyai daya ketahanan badan yang lemah.
"Kebiasaannya golongan warga emas menjadi sasaran utama penyakit ini kerana golongan ini lazimnya mempunyai sistem imuniti yang agak lemah.
"Bagaimanapun terdapat juga golongan kanak-kanak yang dijangkiti kayap biarpun peratusannya terlalu rendah iaitu sekitar lima peratus,'' ujarnya .
Katanya lagi, serangan kayap biasanya berlaku pada bahagian pinggang ke atas bagaimanapun ia kadangkala juga berlaku pada bahagian sulit.
Malah kajian membuktikan sebanyak 55 peratus kejadian kayap berlaku di bahagian pinggang ke atas, manakala 20 peratus di bahagian muka serta 15 peratus berlaku di bahagian bawah pusat ke bawah manakala lima peratus berlaku di bahagian sulit dan punggung.
Ditanya mengenai rawatan, beliau memberitahu, pesakit yang datang bertemu akan diberikan ubat mematikan kuman serta ubat tahan sakit.
"Biasanya ubat anti virus perlu dimakan selama tujuh hari bagi memastikan kuman tersebut betul-betul hilang ,'ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perubatan kulit.
Tegasnya lagi, sekiranya pesakit dalam keadaan yang kritikal ia akan diberikan suntikan, bagaimanapun, yang penting ialah diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dahulu.
Rawatan segera sangat diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk kayap khususnya yang terkena pada mata dan mengurangkan kesan sakit.
Ditanya mengenai kepercayaan bahawa penyakit ini disebabkan oleh ular dalam tubuh pesakit, beliau menjelaskan adalah tidak benar, begitu juga kepercayaan kononnya bila lingkaran bertaut pesakit akan mati.
"Semua itu adalah karut, hakikatnya keadaan itu berlaku kerana ia berpunca daripada urat saraf yang terdapat di badan pesakit tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment