SELEPAS koma sembilan hari, sebelah badan kanannya tidak dapat digerakkan dan patah kata yang terbit daripada bibirnya tidak difahami. Namun, semangatnya begitu kental. Jauh di dasar sanubarinya yakin 'sebelah nyawanya' yang hilang akan dikembalikan.
"Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan," luah Abdul Hamid Zakaria, 53.
Menceritakan detik dirinya diserang strok, katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi yang dialaminya sejak 15 tahun lalu serta pemakanan yang tidak seimbang.
"Saya masih ingat lagi peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun lalu. Selepas selesai menunaikan solat Zohor, saya tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri. Doktor menjelaskan, segalanya berpunca daripada darah tinggi, kolestrol yang tinggi dan kencing manis. Sehari sebelum kejadian, saya juga tidak cukup tidur," ujarnya ketika ditemui di Pusat Rawatan eMan, G5, Kompleks Amaniah, Batu Caves, Selangor.
Penyakit strok yang dialaminya juga menyebabkan pergerakan Abdul Hamid terbatas.
"Saya berputus asa pada waktu itu. Saya sentiasa perlukan bantuan untuk berdiri dan berjalan. Saya juga tidak boleh melihat dan tak kenal orang," katanya yang turut mengalami kemurungan.
Mujurlah isteri tersayang setia di sisi. Menerusi sebuah novel, 'Jangan Bersedih' yang dihadiahkan isterinya, Abdul Hamid menyedari dia perlu berubah.
"Novel itu mengandungi kata-kata nasihat. Setiap hari isteri menggalakkan saya membacanya. Daripada novel itu saya sedar, hidup perlu ceria walaupun apa yang berlaku. Jangan pandang perkara yang lepas tetapi fikirlah apa yang akan berlaku," nasihatnya.
PositifSelepas bangkit daripada kemurungan, Abdul Hamid berusaha merawat penyakitnya.
Selain ubat-ubatan yang diberikan doktor, Abdul Hamid mencari alternatif lain seperti berurut dan sebagainya.
"Antara pusat rawatan alternatif yang saya kunjungi ialah eMan. Alhamdulillah, selepas sebulan terapi di sini, saraf semakin kuat dan sekarang saya boleh berdiri dan berjalan tanpa bantuan orang.
Badan saya berasa ringan dan tidak letih lagi. Malah berat badan saya juga telah turun dari 95 kilogram kepada 88 kilogram. Mungkin ini semua kuasa Tuhan," katanya.
Tambah Abdul Hamid, selepas disahkan strok, dia juga menjaga pemakanan.
Dia hanya makan oat, tomato, lobak, kurma, minum air tanpa gula dan minum susu.
"Saya bersyukur kerana ada keluarga yang menyokong saya. Mereka banyak membantu soal penjagaan pemakanan saya. Saya nasihatkan orang ramai supaya makan mengikut Sunnah Nabi dan jangan terlampau kenyang. Bagi anda yang kuat bekerja, jangan stres tetapi hiduplah dalam suasana ceria," ujarnya.
Kisah Abdul Hamid menyedarkan kita tentang serangan angin ahmar atau strok, menyerang tanpa mengenal usia atau masa.
Serangan mengakibatkan mangsa menjadi lumpuh separuh badan, terjejas pertuturan atau lebih teruk hilang daya ingatan dan seolah-olah tidak ada harapan untuk dipulihkan.
Selalunya mangsa menghadapi tekanan perasaan, rendah diri, cepat marah dan sensitif kerana terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Namun, sikap yang positif, tidak berputus asa, mengubah gaya hidup, sokongan keluarga dan berusaha mencari rawatan terbaik membuktikan bahawa pesakit strok boleh hidup ceria seperti orang lain.
No comments:
Post a Comment