EDRI (bukan nama sebenar) baru sahaja memasuki usia 30-an. Sungguhpun
begitu pemuda ini kerap mengadu sakit kepala, pening dan mengantuk pada
waktu tengah hari.
Akibatnya dia tidak boleh berfikir dan hanya mahu berbaring. Sudah
kerap kali dia berulang-alik ke klinik dan hospital untuk membuat
pemeriksaan, namun doktor memberitahu keadaannya normal.
Tidak puas hati dengan jawapan itu, dia memberanikan diri untuk
mencuba sejenis rawatan alternatif yang agak popular dalam kalangan
masyarakat Melayu iaitu rawatan bekam.
Pemeriksaan pengamal perubatan bekam mendapati bahagian bawah
kepalanya bermasalah kerana perjalanan darah di bahagian tersebut tidak
lancar.
Bekam adalah kaedah rawatan membuang toksin atau darah kotor yang
merupakan punca segala penyakit dan dikeluarkan dari dalam tubuh melalui
permukaan kulit dengan menggunakan alat bekam.
Tetapi masih ramai yang tidak berani mencuba rawatan berkenaan kerana
beranggapan bekam adalah satu kaedah rawatan sangat ngeri dan
menyakitkan apatah lagi ketika melihat titisan darah mengalir keluar
daripada tubuh badan.
Lantaran itu, pengamal Pusat Pengubatan Hemeopathy Al-Jawad, Ibrahim
Burhanuddin cuba memperbetulkan stigma negatif masyarakat terhadap
rawatan bekam.