Sebenarnya tanpa kita sedari, untuk kelihatan cantik dan sihat, ia perlu bermula daripada dalam yang seterusnya akan membentuk kecantikan luaran.
Pakar konsultan produk kecantikan dan kesihatan RF3 World, Dr. Zannat Begam Sawal Hamid, 33, berkata, tidak kira lelaki mahupun wanita, masing-masing sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli set penjagaan kulit, namun tidak ramai yang terfikir untuk membuang toksin dalam badan.
Jelasnya, toksin merupakan bakteria yang terkumpul di dalam organ badan manusia seperti otak, jantung, hati, pituitari, pankreas dan organ pembiakan.
“Kesan pengumpulan toksin ini tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek kerana ia memerlukan masa untuk membiak dan bertukar menjadi penyakit. Justeru, kebanyakan masyarakat jarang memandang serius hal ini.
“Walhal pencegahan daripada peringkat awal perlu dilakukan sebelum toksin bertukar menjadi bakteria jahat lalu menyerang bakteria-bakteria baik sehingga membuatkan sistem imun badan menjadi lemah,” katanya yang pernah bertugas di Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Kementerian Kesihatan selama tiga tahun.
Tambahnya, toksin lazimnya terkumpul di dalam badan seseorang disebabkan beberapa faktor seperti sisa makanan tidak dicerna sepenuhnya, merokok, terdedah kepada pencemaran udara dan mengamalkan cara pemakanan tidak sihat.
“Cara pemakanan yang tidak sihat di sini merujuk kepada mereka yang gemarkan makanan segera, kerap makan makanan yang dipanaskan melalui ketuhar dan jarang menjamah buah-buahan serta ulam-ulaman.