pDPN belenggu pesakit kencing manis, perlu sesuaikan diri tahan sakit neuropati
INDIVIDU
yang mengalami sakit saraf akibat diabetes selalunya menderita tanpa
rawatan berikutan sifatnya yang sukar untuk didiagnosis.
Keadaan ini menyebabkan pesakit lebih rela belajar menyesuaikan
diri untuk hidup dengan menahan kesakitan dalam diam sepanjang hayat.
Masalah yang menyakitkan akibat diabetes ini dikenali sebagai painful
diabetic peripheral neuropathy (pDPN) atau lebih dikenali sebagai sakit
saraf akibat diabetes.
pDPN adalah keadaan di mana pesakit diabetes mengalami kesakitan
seperti pedih seperti dicucuk pin dan jarum atau seperti terkena tusukan
pada kaki dan tangan.
Satu daripada lima pesakit diabetes menanggung penderitaan ini dan
bilangan mereka terus meningkat. Disebabkan kesakitan ini dianggap
peribadi, sukar mengenal pasti pDPN. Inilah yang menimbulkan cabaran
dalam proses rawatan. Selain itu, kesedaran terhadap kesakitan neuropati
amat kurang, lebih-lebih lagi apa yang dimaksudkan dengan neuropati
periferi.
Menurut Profesor Bahagian Neurologi, Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM), Profesor K.J Goh, sistem saraf periferi atau peripheral
nervous system (PNS) adalah satu daripada dua cabang utama sistem saraf.
Satu lagi ialah sistem saraf pusat atau central nervous system (CNS)
yang membentuk otak dan saraf tunjang.
Saraf dalam PNS menyambungkan CNS kepada organ deria seperti mata
dan telinga serta organ badan yang lain misalnya otot, saluran darah
dan kelenjar.
“Pesakit menanggung kesakitan neuropati apabila satu dan lebih
banyak saraf mereka rosak. Banyak faktor menyumbang kepada kerosakan
saraf. Ia boleh berpunca daripada gangguan, penyakit atau keadaan. pDPN
adalah satu contoh kerosakan saraf disebabkan keadaan iaitu diabetes,”
katanya kepada Sihat.
Antara gejala kesakitan neuropati termasuk kesakitan seperti terkena tusukan dan kepedihan, menggelenyar atau rasa kebas.
“Untuk melakukan diagnosis neuropati periferi, pesakit akan
menjalani beberapa pemeriksaan neurologi untuk mengenal pasti punca dan
sejauh mana kerosakan saraf,” tambah Prof Goh.
Sementara itu, Profesor Perubatan dan Pengarah Kampus Universiti
Sains Malaysia (USM) Kelantan, Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula
menjelaskan pesakit diabetes tidak sepatutnya hidup dengan menanggung
kesakitan.
“Kesan neuropati periferi akibat diabetes amat buruk dan sangat
menyakitkan. Kesakitan ini menyukarkan kehidupan harian sebaliknya
pengurusan kesakitan secara berkesan membolehkan pesakit yang mengalami
keadaan ini membaiki kualiti hidup,” katanya.
Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Edisi Ketiga
yang dikendalikan pada 2006, penularan diabetes meningkat kepada 14.9
peratus berbanding sedekad lalu di mana kadar penularan diabetes hanya
8.3 peratus.
Mengikut rekod, penularan diabetes di Malaysia meningkat hampir
dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu. Ini adalah kadar yang lebih
cepat daripada ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa. Perangkaan ini
adalah selari dengan peningkatan dua kali ganda masalah berat badan
berlebihan atau obesiti di kalangan penduduk.
Seramai 50 peratus daripada pesakit tempatan yang disahkan
menghidap diabetes dalam enam hingga 10 tahun yang lalu didapati
mengalami pDPN.
“Semua data penyelidikan menunjukkan kes diabetes global dan
tempatan. Lama kelamaan penularan penyakit ini akan menyebabkan
kerosakan saraf yang pasti akan menimbulkan komplikasi. Oleh itu, adalah
penting untuk membantu pesakit diabetes menguruskan kesakitan yang
ditimbulkan oleh komplikasi diabetes,” tambahnya.
pDPN boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Kesan penyakit
ini sering menyukarkan pesakit untuk berjalan, tidur, bekerja dan
menjejaskan mood dan aktiviti harian mereka. Disebabkan kesakitan adalah
begitu subjektif dan menyentuh peribadi, pDPN selalunya kurang
dilaporkan serta dirawat.
Seramai 58 peratus pesakit tidak menyedari bahawa kesakitan yang
dialami mereka adalah disebabkan oleh diabetes. Justeru, pesakit
diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor dalam memilih rawatan yang
betul untuk membantu menguruskan keadaan mereka yang menyakitkan.
April tahun lalu, Akademi Neurologi Amerika (AAN), Persatuan
Perubatan Saraf Otot dan Elektrodiagnostik Amerika dan Akademi Perubatan
Fizikal dan Pemulihan Amerika mengeluarkan laporan bersama yang
menggariskan rawatan paling berkesan untuk melegakan kesakitan saraf
akibat diabetes.
Menurut garis panduan itu, Pregabalin adalah satu-satunya rawatan
tahap A yang disyorkan, berasaskan bukti kukuh yang menunjukkan
Pregabalin berkesan merawat kesakitan saraf akibat diabetes
No comments:
Post a Comment