Friday, July 1, 2016

AWAS! - BENGKAK DI LEHAR ANDA

Leher adalah bahagian tubuh yang mempunyai banyak struktur penting. Antaranya salur darah utama, saraf-saraf, salur nafas, salur makan, kelenjar tiroid, kelenjar limfa dan lain-lain. Dan setiap daripadanya mempunyai fungsi yang amat penting dan saling berkaitan antara satu sama lain. 

Bengkakan di bahagian leher biasanya melibatkan kelenjar tiroid, nodus limfa atau keradangan otot, kulit serta tisu akibat jangkitan atau kecederaan.

Kenapa bengkakan leher perlu diberi perhatian ?
Antara sebabnya adalah ….
  • Kerana bahagian leher mempunyai ruang atau rongga antara struktur yang berhubung dengan ruang yang menyelaputi jantung. Jika bengkakan akibat jangkitan atau nanah ia boleh merebak ke ruang jantung.
  • Bengkakan yang kelihatan menonjol di permukaan mungkin juga membengkak ke bahagian dalam dan menyebabkan tekanan pada struktur lain seperti salur nafas, salur makanan dan lain-lain
  • Bengkakan yang kelihatan mungkin berpunca daripada struktur lebih dalam di ruang leher
  • Bengkakan leher juga boleh berkaitan dengan jangkitan atau ketumbuhan di bahagian lain tubuh
Apakah jenis bengkakan yang biasa di lihat ?
  • Kelenjar tiroid atau goitre
Bengkak kelihatan di bahagian tengah leher atau sisi.
Biasanya tidah sakit.
Bengkak kekal sama atau secara perlahan bertambah besar.
Boleh menyebabkan gejala : sukar menelan ( akibat tekanan ke atas salur makan), suara berubah menjadi garau atau serak (akibat tekanan pada saraf peti suara), sukar bernafas ( tekanan pada saluran nafas)


Bengkakan pada kelenjar tiroid tidak semestinya menunjukkan keadaan berlebihan atau kekurangan hormon tiroid. Pemeriksaan darah dapat menentukan paras hormon.
  • Bengkak nodus limfa ( kelenjar limfa)
Kelenjar limfa di bahagian leher membentuk seperti rantaian di bahagian bawah tulang rahang , sisi leher dan atas tulang selangka (klavikel).

Kedudukan, bilangan, saiz, konsistensi dan jangkamasa bengkakan membantu dalam menentukan sama ada ianya berpunca daripada jangkitan, radang atau masalah lebih serius seperti kanser.
  • Jangkitan tisu, kulit atau ruang lapisan antara struktur leher
Ia boleh jadi bisul atau nanah pada kulit dan pulih dalam masa beberapa hari dengan rawatan.

Keadaan lebih berbahaya adalah pengumpulan nanah di ruang selaput struktur leher. Ianya boleh merebak ke ruang jantung, paru-paru atau menyebabkan jangkitan pada salur darah dan saraf di leher.Keadaan ini boleh mengakibatkan maut.
  • Bengkakan kelenjar air liur
Kelenjar air liur terdapat di bahagian pipi / bawah telinga ( sudut rahang), bawah tulang rahang  di sebelah kanan dan kiri dan juga di bawah lidah. Bengakan berlaku disebabkan oleh jangkitan kelenjar, salur serta nodus limfanya ; sumbatan pada salur air liur atau ketumbuhan.
  • Lain-lain :
Bengkak akibat kecederaan di bahagian leher (lebam)
Kebocoran udara daripada saluran pernafasan (trakea) akibat kecederaan pada leher boleh menyebabkan bengkakan seperti span udara. Ia boleh disertai oleh kesukaran bernafas atau perubahan suara.
Keabnormalan kongenital seperti sista dan lain-lain.

Apa yang penting adalah ….
  • Lakukan pemeriksaan jika mempunyai bengkakan di leher
  • Gejala seperti sukar menelan, sukar bernafas, perubahan suara mungkin menunjukkan terdapat bengkakan pada struktur leher walaupun tidak kelihatan di luarannya
  • Antara kanser berkaitan bengkakan leher : kanser hidung, mulut, tekak, perut, usus, paru-paru……dll ( hampir semuanya)
…. maklumat adalah terhad. Pemeriksaan awal dapat mencegah komplikasi lebih buruk…
Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

No comments: