Monday, July 16, 2018

MASAALAH HORMON BOLEH MENYEBABKAN RAMBUT GUGUR

Pernahkah anda dapati segumpal rambut melekat pada sikat selepas rambut disisir? Atau apabila mengurai rambut dengan tangan, banyak yang melekat di celah-celah jari anda dan didapati rambut lebih mudah gugur selepas dicuci?
Jika ya, anda tidak bersendirian. Ramai wanita yang mengalami masalah kurang menyenangkan ini, apatah lagi apabila membayangkan kemungkinan rambut menjadi semakin nipis atau risiko botak.

Terdapat pelbagai faktor menyebabkan rambut gugur. Kebiasaannya ia normal bagi ibu yang baru melahirkan anak disebabkan perubahan hormon yang berlaku ke atas badan mereka dan memerlukan masa enam bulan ke setahun untuk memulihkannya.

Sebab itu sekiranya anda berkunjung ke salun untuk mendapatkan rawatan rambut, juruterapi akan bertanya terlebih dulu mengenai sejarah atau aktiviti anda dalam tempoh enam bulan sebelum itu.

Ini diakui pendandan rambut dari Jazeerat El Rahah Syameera Mat Sapeine, yang akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pelanggan mengenai perubahan badan yang berlaku sebelum mencari penyelesaian sesuai.

“Masalah rambut gugur paling sinonim dengan ibu bersalin. Untuk itu, si ibu harus menjaga pemakanan dan mendapatkan rawatan bagi memastikan rambut tidak lagi gugur selepas enam atau 10 bulan. Selepas bersalin biasanya badan mudah berpeluh dan rambut menjadi kering. Sekiranya tidak dikawal ia akan memudaratkan keadaan. Ini kerana rambut yang kering akan menyebabkan gugur dengan lebih banyak,” katanya.

Selain itu penggunaan bahan kimia berlebihan seperti syampu yang tidak sesuai, kerap mewarnakan rambut dan suka menggunakan bahan kimia untuk meluruskan rambut akan merosakkan rambut sehingga ke akarnya. Kesannya, akar rambut tidak lagi kuat dan mengundang kepada masalah rambut patah atau keguguran.

ATASI MASAALAH KULIT DENGAN TOMATO

Lazat dimakan begitu saja atau ditambah dalam masakan. Tomato antara sumber semula jadi bukan saja untuk kesihatan, malah untuk kecantikan luaran serta dalaman.

Tomato yang berwarna merah sarat dengan vitamin A dan C, malah semakin matang buah tomato itu, kandungan vitaminnya juga semakin banyak.

Tomato juga mengandungi likopena iaitu antioksidan yang sangat berguna untuk melawan radikal bebas akibat asap kenderaan, asap rokok dan bahan berbahaya yang masuk ke dalam tubuh.

Likopena juga diketahui berperanan aktif membantu untuk mencegah kerosakan sel penyebab kanser seperti kanser prostat, mulut dan rahim. Gel di luar biji tomato pula berkhasiat mencegah pembekuan darah yang menyebabkan penyakit jantung dan strok.

Selain dijadikan ramuan masakan, tomato digunakan secara meluas dalam bidang kecantikan. Khasiatnya dikatakan dapat membantu mengatasi pelbagai masalah kulit.

Berikut 10 langkah mudah untuk mengekalkan kecantikan menggunakan tomato:

1. Bagi yang berhadapan masalah jerawat, cubalah petua ini. Lenyekkan tomato dan sapu pada seluruh wajah terutama di bahagian berjerawat, biarkan ia kering pada wajah selama 30 hingga 40 minit. Kemudian bilas dengan air suam, lakukan dua kali seminggu.