Saturday, April 11, 2020

SENARAI MAKANAN CKD

CARA MEMILIH MAKANAN
Berikut adalah senarai makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang pesakit CKD seeloknya elak atau wajib makan. Harap maklum bahawa ini bukanlah senarai yang lengkap, ada juga makanan lain yang anda perlu ambil tahu: ini hanya rujukan kepada makanan yang paling digemari orang Malaysia.
* BERAS, PASTA dan ROTI:
1. Walaupun sering disarankan untuk mengambil beras perang (brown rice) kerana ia rendah GI, pilihan yang lebih baik adalah beras putih/basmathi (white rice)! Ini kerana beras perang tinggi dengan potassium dan phosphorus. Beras pulut pula susah dihadam.
2. Terdapat nutrisi yang bagus dalam roti bijirin (wholegrain/multigrain), tetapi ia bukanlah pilihan sesuai untuk pesakit CKD yang tinggi bacaan potassium dan phosphorus-nya. Roti putih dan roti gandum penuh (wholewheat) adalah pilihan yang lebih selamat.
3. Selain nasi, pasta dan meehoon juga boleh dibuat sebagai makanan ruji! Pilih mee kuning yang tanpa pengawet dan pewarna.
SAYUR-SAYURAN dan BUAH-BUAHAN.
* JANGAN MAKAN atau ELAKKAN:

1. Petai, mengandungi asid yang agak toksik dan boleh menyebabkan perut kembung dan gout. Setengah cawan mengandungi 224mg potassium.

2. Pisang, satu cawan sahaja sudah mengandungi potassium dalam anggaran 422-537mg!

3. Sawi, terdapat sifat yang boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Satu cawan (yang direbus) mengandungi 283mg potassium.

4. Durian, selain boleh menaikkan bacaan gula dan darah tinggi, ia juga mengandungi 530mg potassium walaupun baru setengah cawan!

5. Peria, satu cawan yang direbus mengandungi 396mg potassium, manakala yang mentah 275mg.

6. Betik, terdapat sifat yang boleh menjejaskan prestasi ubat-ubatan cair darah, darah tinggi dan jantung. Setengah cawan mengandungi 209mg potassium.

7. Ubi, tidak mengira jenis, semua ubi kaya dengan potassium. Setengah cawan yang direbus atau dilenyek mengandungi potassium dalam anggaran 256mg. Bukanlah bermaksud tidak boleh makan, anda boleh ambil dalam 3-4 kiub.

8. Belimbing, walaupun potassium-nya agak rendah (72mg), buah ini terkenal dengan toksin yang boleh menyebabkan gangguan otak dan membahayakan kesihatan anda secara keseluruhan.

9. Tomato, sebiji tomato saiz sederhana mengandungi 292mg potassium dan sifat yang boleh meningkatkan bacaan uric acid serta mencetuskan serangan gout.

10. Oren, tinggi potassium - setiap 100g, atau separuh oren size sederhana mengandungi 181 mg potassium.

11. Taugeh, walaupun potassium-nya rendah (dalam anggaran 63-78mg) tetapi tahukah anda taugeh juga pembawa bakteria, terutamanya E. coli yang boleh menyebabkan sakit perut? (Dari pengalaman sendiri, saya diarrhea selepas makan taugeh!)

12. Kurma, setengah cawan (lebih kurang 3-5 biji) mengandungi potassium dalam anggaran 350-497mg.

13. Bendi, mempunyai oksalat yang tinggi dan boleh menyebabkan batu karang terbentuk. Setengah cawan (yang direbus) mengandungi 135mg potassium.
* PILIHAN YANG LEBIH SIHAT DAN SELAMAT:

1. Terung. Dengan sodium, phosphorus dan potassium yang rendah (setengah cawan yang dimasak/direbus mempunyai 65mg potassium), terung juga kaya dengan sifat-sifat yang boleh membantu masalah jantung, menguatkan tulang dan mengurangkan simptom anemia.

2. Epal. Sumber Vitamin C dan serat (fiber) yang baik, sebiji epal saiz sederhana mengandungi 158mg potassium. Juga boleh memulihkan bacaan gula, epal (hijau) disarankan makan waktu makan petang/malam.

3. Timun. Hanya 75mg potassium untuk setengah cawan timun mentah, ia tinggi dengan alkalin dan sifat-sifat lain yang penting untuk kesihatan dan boleh membantu bacaan buah pinggang. * Hati-hati kalau anda mengalami masalah air bertakung dalam badan (water retention), timun perlu diambil kira sebagai air juga!

4. Nenas. Penuh dengan Vitamin C dan sifat-sifat yang boleh meningkatkan sistem imun, setengah cawan nenas yang 'fresh' mengandungi 90mg potassium manakala nenas dalam tin 112mg.

5. Capsicum merah. Untuk pesakit anemic, pengambilan sayur ini memang wajib kerana ia kaya dengan Vitamin C. Manfaat lain termasuk boleh membantu masalah tekanan darah tinggi. Setengah cawan mempunyai 60mg potassium (mentah) atau 120mg (yang dimasak).

6. Strawberi. Selain mengandungi sifat yang penting untuk kesihatan jantung, strawberi juga boleh membantu tambahkan darah! Disarankan makan sebagai snek, setengah cawan (dalam 3-4 biji) mempunyai 115mg potassium.

7. Kobis. Disarankan makan mentah (sebagai kerabu atau sertakan dalam sandwic) kerana ia tinggi dengan alkaline yang boleh membantu mangawal asid dalam badan. Setengah cawan mengandungi 76mg potassium manakala yang dimasak 147mg.

8. Plum. Untuk tulang dan sistem imun yang lebih kuat, makanlah sebiji plum saiz sederhana (mempunyai 114mg potassium). Ia juga boleh membantu merendahkan bacaan gula.

9. Lobak Merah. Setengah cawan mengandungi potassium 176mg (mentah) dan 185mg (dimasak).

10. Tembikai. Terdapat manfaat yang boleh membantu melegakan sakit otot, setengah cawan mempunyai 85mg potassium. * Perlu diambil kira sebagai air.

11. Saderi. Terkenal dengan sifat-sifat yang boleh membantu membuang toksin dari badan dan menurunkan kolestrol serta darah tinggi, setengah cawan mengandungi 45mg potassium (mentah) dan dalam anggaran 150mg bila dimasak.

12. Anggur. Boleh membantu memulihkan tulang dan menaikkan mood, setengah cawan (lebih kurang 16 biji) mempunyai 144mg potassium manakala 90mg untuk 10 biji anggur yang 'seedless'.

13. Cendawan putih, butang dan shiitake. Kaya dengan Vitamin D dan zat besi, ia boleh mempromosikan kekuatan tulang dan juga penambahan darah. Kerana purin dan potassium cendawan agak tinggi (masing-masing dalam anggaran 85mg hingga 150mg), anda disarankan makan selang sehari untuk menghindari bacaan uric acid dari meningkat.

14. Mangga. Dikatakan bagus untuk mengelak batu karang dari membentuk, setengah cawan mangga yang 'fresh' dan dipotong mengandungi 136mg.

15. Broccoli. Mempunyai alkaline yang tinggi dan sifat-sifat yang boleh meningkatkan penyerapan zat besi, setengah cawan mengandungi 139mg potassium (mentah) dan 229mg bila dimasak/direbus.


No comments: