Sunday, May 1, 2011

Kurus dengan senaman otot

TERDAPAT dua jenis karbohidrat yang tidak menyihatkan di dalam hidangan kita seharian. Yang pertama adalah makanan manis dan bergula manakala kedua bijirin yang tidak bercambah seperti roti, nasi dan pasta.
Karbohidrat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan jauh lebih baik kerana ia semulajadi tanpa melalui proses pengubahan sebagaimana roti dan gula. Karbohidrat jenis roti dan gula meningkatkan paras gula dengan mendadak sehingga merosakkan kesihatan manakala jenis sayur-sayuran pula mengurai dengan perlahan memberikan tenaga tanpa merosakkan tubuh. 

Gula merupakan keperluan sel dalam tubuh kita. Tanpa gula kita menjadi lemah tidak bermaya. Yang merosakkan tubuh adalah kenaikan paras gula melampau secara tiba- tiba. Apabila kita minum segelas minuman manis, paras gula meningkat dengan tiba-tiba menyebabkan paras hormon, enzim dan transmitter tubuh berada dalam keadaan yang tidak menentu. Lama kelamaan akibat aktiviti tidak menentu ia mudah rosak. Keadaan ini boleh disamakan dengan suis lampu atau peralatan elektrik yang dipetik beribu kali tanpa henti. Sudah tentu ia mudah rosak kerana penggunaannya yang tidak berkala.

Apabila mengambil minuman yang sangat manis atau makan makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti atau pasta jumlah gula akan meningkat secara drastik di dalam darah. Kita akan berasa bertenaga selama 20 minit. Kelenjar insulin mengesan kehadiran gula dan mula bekerja keras menurunkan kadar gula. Insulin yang banyak akan berkitar di dalam tubuh kita melebih sejam. Pada masa ini paras gula sudah terlalu rendah manakala paras insulin pula sangat tinggi. Ketidakseimbangan membuatkan seseorang menjadi lemah dan lesu. Ini adalah faktor mengapa tubuh kita menjadi letih dan mengantuk setelah beberapa jam makanan makanan manis atau tinggi karbohidrat diproses.

Apabila proses ini berulang setiap hari tubuh kita bagaikan kehilangan signalnya yang semula jadi. Paras hormon metabolik turut terjejas dan akhirnya kita akan menjadi obes yang tidak mudah dipulihkan dengan diet biasa.

Seseorang yang mahu kurus harus mangambil berat fakta sebegini. Metabolik tubuh harus ditingkatkan. Pemilihan makanan yang tidak meningkatkan paras gula dalam darah adalah faktor terpenting bagi membantu meningkatkan hormon metabolik. 

Indeks Glycemic merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan meningkatkan paras gula dalam darah. Ia sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan dipecahkan menjadi gula dalam darah kita. Lebih tinggi indeks glycemic bermakna lebih cepat makanan ditukar menjadi gula dan memberi kesan buruk kepada tubuh kita.

Senaman adalah satu lagi faktor utama yang mampu meningkatkan kadar metabolisma. Kita perlu ingat bahawa senaman bertujuan meningkatkan kadar pemanasan tubuh dan bukannya membentuk otot semata mata. Oleh kerana lemak lebih cenderung terbentuk pada perut, paha dan belakang maka senaman yang baik adalah senaman yang menggunakan otot ini.

Saya mencadangkan senaman otot-otot utama atau Core Muscle Excersize yang mudah dan sangat berkesan. Otot utama kaya dengan bahan pembakar lemak. Pergerakan otot utama membuatkan seluruh tubuh kita berfungsi. Apabila kita melakukannya kita dapat rasai kesan yang pantas dan hebat.

Senaman jenis ini tidak memerlukan ruang yang luas. Memadai dilakukan di atas tilam atau lantai sahaja. Lagipun ia tidak mengambil masa yang panjang hanya sekitar 20 minit sahaja. Ia juga tidak menjemukan kerana tanpa disedari kita menggunakan tenaga seluruh tubuh bagi melakukannya. Pada waktu ini otot-otot akan distimulasi dan mengeluarkan hormon serta enzim yang baik bagi mengunakan lemak secara efektif.
Seorang sahabat saya yang juga doktor pakar memberitahu sejak berat badannya meningkat dia berasa sangat tertekan. Senaman dan pengurangan makanan sahaja tidak dapat membantu. Selepas meningkatkan paras hormon dan enzim kehidupannya kembali ceria. ''Dulu senaman pun tak berpeluh namun sekarang berpeluh-peluh,'' katanya. 

Saya teringat seorang jiran berbangsa Tionghua yang memberitahu bahawa dalam masyarakatnya tubuh yang sihat adalah tubuh yang berpeluh dan panas. Teknik perubatan Cina mementingkan peningkatan metabolisma.
Kepada pembaca semua, saya akan menemui anda di Bengkel Personaliti Cantik Sihat siri ketiga bersama Dr. Shaharom Sulaiman di Kuantan, Pahang. Bengkel kali ini akan memperkatakan tajuk khusus iaitu Kecantikan dan Anti-Penuaan. Bengkel ketiga ini sememangnya amat bermanfaat kerana saya dan Dr. Shaharom dari Klinik Thalia akan memperkatakan topik-topik berkaitan hormon serta penjagaan kecantikan. Lebih menarik lagi kira-kira satu pameran teknologi kecantikan seperti laser untuk kulit cantik akan diadakan serta dibuka kepada orang ramai.

Tentu para pembaca berminat untuk bersama saya menyelongkar pelbagai ilmu dan tip untuk tampil sebagai individu yang mempunyai personaliti cantik dan sihat.

SAKIT BELAKANG

Kiropraktik rawat sakit belakang

PERNAH melihat rawatan kiropraktik dilakukan? Bagi sesetengah orang, ia mungkin agak menggerunkan. Namun bagi mereka yang pernah mencuba, percayalah, ia antara penyelesaian diyakini terutama masalah berkaitan dengan sakit belakang dan sendi. 

"Perkara utama yang perlu anda ketahui, pastikan mereka yang melakukannya benar-benar pakar dan berkelulusan. Bukan sekadar mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan," kata Kiropraktor dari HSC Cheras Specialist Centre, Dr. Sharon Liew. 

Menurut beliau, sakit belakang (termasuk slip disc), sendi dan lutut merupakan masalah biasa dihadapi rakyat Malaysia. Ia berpunca daripada gaya hidup kita. Antaranya, postur badan yang tidak betul ketika pergerakan dan berkerja (ergonomik), bersukan seperti golf, tenis dan juga peningkatan usia.

Sememangnya masalah tersebut sukar dielak, namun langkah pencegahan boleh dilakukan bagi melewatkan atau paling tidak sekali pun, memaksimumkan kesannya.

Mengambil ubat penahan sakit katanya, ibarat memakai topeng yang menutup kesakitan sementara tetapi tidak membantu mengubati penyakit. 

Sebaliknya, rawatan kiropraktik katanya, menjurus kepada mencari punca sebenar masalah.
"Kiropraktik melibatkan diagnosis dan rawatan masalah tulang serta otot badan, terutama yang melibatkan tulang belakang dan kesan kepada keadaan sistem saraf serta kesihatan menyeluruh," katanya yang berkelulusan dalam bidang tersebut dari salah sebuah universiti di Australia.

Kiropraktor katanya, memerlukan kemahiran yang tinggi dan lembut untuk mengawal penolakan atau penekanan pada tulang bagi memperbetulkan fungsi saraf dan pergerakan sendi. 

Namun bagi sesetengah kes yang serius, beliau akan mengesyorkan pesakit mendapatkan khidmat ortopedik terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan kiropraktik.



GIGI

Sihat mulut, sihat badan

Pemeriksaan secara berkala penting untuk kesihatan gigi. - Gambar hiasan

PEPATAH Cina ada menyebut, mulut itu pintu masuk kepada kesihatan tubuh badan kerana semua penyakit datangnya dari mulut. Manakala semua masalah datangnya daripada pertuturan. 

Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi, kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Dr. How Kim Chuan.

Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar. 

Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang sentiasa terbentuk di gigi. 

Antara simptom sakit periodontal ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan poket-poket periodontal, gigi longgar dan nafas berbau. 

Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai kesakitan, kata Dr. Kim Chuan. 

Mujurlah tanda-tanda keradangan itu dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan, motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya. 

Ujarnya, terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan. 

"Para penyelidik mendapati periodontitis (keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal, mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria. 

" Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk. 

"Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula dalam tubuh badan," terang Dr. Kim Chuan. 

Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat dan strok. 

Beliau menerangkan, plak gigi mungkin berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan mengehadkan aliran darah. 

Penghasilan arteriosklerosis itu diburukkan lagi dengan mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung dan arteri otak yang menyebabkan strok. 

Beliau menerangkan, penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang baik boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia jenis aspirasi. 

Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing seperti makanan atau cecair yang menyebabkan iritasi kepada paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah, keradangan dan sakit pneumonia. 

Bakteria di mulut ekoran kaviti dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr. Kim Chuan.

VITAMIN

Vitamin untuk kulit

Soalan: Saya ingin memperbaiki masalah kulit berjerawat dan mempunyai kesan parut lama. Kini saya menukar produk penjagaan kulit sebagai langkah memperbaiki masalah jerawat. Saya juga tercari-cari vitamin yang membantu kesihatan kulit. 

Jawapan

Kesihatan kulit boleh dipelihara dan dikekalkan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh. Ia bukan sekadar bergantung kepada penjagaan luaran dan kosmetik semata-mata. Apa jua tabiat pemakanan turut memberi kesan kepada kesihatan kulit. 

Tahap kesihatan kulit juga menjadi penanda luaran kepada kesihatan dalaman. Adakalanya penggunaan krim, losen dan rawatan luaran kulit tidak banyak membantu sekiranya ia berpunca daripada faktor dalaman seperti akibat sesetengah nutrien. Mengambil makanan yang betul dan mengelak makanan yang tidak sesuai boleh menyerlahkan kecantikan, kulit lebih awet muda tanpa kosmetik mahal. 

Kajian American Journal of Clinical Nutrition terbitan Julai 2007 menunjukkan kaitan antara makanan yang rendah dengan indeks glisemik dan pembaikan masalah jerawat. Kajian mendapati dalam tempoh 12 minggu, jerawat berjaya dikurangkan dengan lebih baik di kalangan kumpulan peserta yang mengambil makanan dengan kandungan glisemik gula yang rendah berbanding kumpulan yang mengambil makanan yang tinggi dengan karbohidrat. 

Secara umumnya, selain makanan berkarbohidrat ringkas yang tinggi, pengambilan makanan tinggi lemak tepu, makanan berminyak dan bergoreng, bergula akan memberi impak yang lebih ketara kepada masalah jerawat.
Minum air secukupnya sangat penting. Air yang bersih boleh membantu kulit menjadi remaja. Air penting untuk melembapkan sel-sel selain memudahkan penyingkiran toksin dan dalam masa yang sama menyenangkan kemasukan nutrien. Apabila tubuh dihidrat dengan sempurna, perpeluhan berlaku dengan lebih efisien yang membantu kulit kekal bersih dan cerah. 

Dari segi vitamin, vitamin anti oksida membantu meneutralkan radikal bebas yang merosak serta mengurangkan kerosakan sel. Antara vitamin anti oksida yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit termasuklah vitamin A, C dan Vitamin E. 

Vitamin A diperlukan untuk pembinaan dan pengekalan sel-sel kulit. Nutrien ini membantu menentang kekeringan kulit, kulit berkuping dan penebalan lapisan luar kulit. Vitamin C diperlukan dan membantu dalam pembentukan tisu-tisu penghubung, kolagen dan pemeliharaannya. Manakala vitamin E boleh memperlahankan penuaan tisu. Untuk kesihatan kulit terutamanya kulit bermasalah, mineral zink diperlukan untuk membantu fungsi normal kelenjar sebum kulit dan penyembuhan jerawat. 

Oleh itu, pengambilan gabungan anti oksida seperti beta-karoten (pro-vitamin A), C, E, mineral zink dan selenium yang mencukupi akan membantu mencegah kerosakan sel-sel kulit akibat radikal.
Asid-asid lemak yang mencukupi penting untuk mengekalkan kecantikan dan keremajaan kulit. Ini merangkumi asid lemak omega-3 dan omega-6. Asid-asid lemak perlu ini diperlukan untuk menguat dan meningkatkan kebendaliran membran sel kulit. Membran sel merupakan pelindung kulit, mengeluarkan toksin dan memberi lembapan serta nutrien. Ia juga meningkatkan pengaliran darah dengan mencairkan darah dan memperbaiki keanjalan sel darah merah supaya lebih banyak oksigen yang membantu menyubur dan melembap yang penting untuk keremajaan kulit.

Kajian mendapati pengambilan Gamma linolenic acid (GLA) daripada minyak Evening Primrose secara berterusan membantu masalah jerawat, ekzema atopik, sindrom pra-haid (PMS), psoriasis dan kesihatan kulit. Mereka yang sering dibelenggu masalah ini lazimnya mempunyai paras GLA yang lebih rendah daripada normal. Ujian menunjukkan pengambilan minyak evening primrose yang kaya dengan GLA boleh memperbaiki kelicinan kulit, lembapan serta memperbaiki masalah dermatitis.

AKUPUNTUR


KESIHATAN

Rawatan akupuntur laser

Rawatan akupuntur laser pada perut.

BERBEZA dengan perubatan akupuntur yang menggunakan jarum, pena laser yang merupakan teknologi dari Korea diyakini lebih selamat dan mudah diguna.

Dengan pemegang seakan pen, hujung pena ini didatangi dengan tiga 'kepala' berlainan saiz.

Rawatan laser akupuntur ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang.

"Ini merupakan kesan pena laser yang juga dikenali dengan gelaran Microcurrent Pulse Stimulator ini dikatakan 500 kali ganda lebih kuat dan pantas berbanding tusukan jarum klasik. Di kalangan masyarakat Korea, alat ini diberi jolokan 'Doktor Rumah'," ujar seorang pakar akupuntur yang berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang ini, Dr. Muhammad Kim, 76.

Inovasi rawatan akupuntur laser ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Menurut Dr. Muhammad, penggunaan alat akupuntur laser ini mempunyai kesan yang lebih baik dan ia hanya melibatkan luaran kulit.

Rawatan laser akupuntur menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah.

Kelegaan

Dalam pada itu, penulis berpeluang mencuba rawatan itu pada bahagian pergelangan tangan yang kemudiannya dipindahkan ke poin kepala.

Seperti terkena aliran elektrik ringan, namun ia memberi sedikit kelegaan. Menurut Dr. Muhammad Kim, ia berfungsi untuk melancarkan aliran darah dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

"Poin-poin ini terletak berdekatan dengan sistem saraf. Apabila disalurkan laser , ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

"Kajian perubatan moden juga menunjukkan stimulasi pada poin akupuntur tertentu merangsang penghasilan kimia dari saraf tunjang ke sistem endokrin. Mekanisme ini adalah semula jadi dalam tubuh kita sekali gus mengawal kesakitan," katanya.

Rawatan bekam dan jed

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Kim turut menunjukkan fungsi pen bekam yang lebih moden dan tidak sakit. Jika rawatan tradisional menggunakan satu pen bekam dan dicucuk pada kawasan bekam lebih daripada sembilan kali untuk mengeluarkan darah, pen bekam daripada Korea ini hanya berfungsi sebanyak tiga kali.

Pada asasnya, prosedur bekam yang dilakukan Dr. Muhammad Kim adalah untuk mengeluarkan darah kotor daripada badan.

Untuk memperlengkapkan proses rawatan akupuntur laser dan bekam , pesakit juga diberi menggunakan peralatan canggih dari Korea seperti katil urutan badan menggunakan batu jed serta katil elektrik kristal.

Kombinasi rawatan ini disarankan untuk mereka yang mengalami sakit pinggang dan melancarkan perjalanan darah untuk mengurangkan risiko strok.

Pusat rawatan yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dibuka antara hari Isnin hingga hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26980595 atau 019-2652966.

Sementara itu, isteri Dr. Muhammad Kim, Rozita Mior Badri mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjadi pengedar pen akupuntur laser yang diimport dari Korea.