Kiropraktik rawat sakit belakang
PERNAH melihat rawatan kiropraktik dilakukan? Bagi sesetengah orang, ia mungkin agak menggerunkan. Namun bagi mereka yang pernah mencuba, percayalah, ia antara penyelesaian diyakini terutama masalah berkaitan dengan sakit belakang dan sendi.
"Perkara utama yang perlu anda ketahui, pastikan mereka yang melakukannya benar-benar pakar dan berkelulusan. Bukan sekadar mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan," kata Kiropraktor dari HSC Cheras Specialist Centre, Dr. Sharon Liew.
Menurut beliau, sakit belakang (termasuk slip disc), sendi dan lutut merupakan masalah biasa dihadapi rakyat Malaysia. Ia berpunca daripada gaya hidup kita. Antaranya, postur badan yang tidak betul ketika pergerakan dan berkerja (ergonomik), bersukan seperti golf, tenis dan juga peningkatan usia.
Sememangnya masalah tersebut sukar dielak, namun langkah pencegahan boleh dilakukan bagi melewatkan atau paling tidak sekali pun, memaksimumkan kesannya.
Mengambil ubat penahan sakit katanya, ibarat memakai topeng yang menutup kesakitan sementara tetapi tidak membantu mengubati penyakit.
Sebaliknya, rawatan kiropraktik katanya, menjurus kepada mencari punca sebenar masalah.
"Kiropraktik melibatkan diagnosis dan rawatan masalah tulang serta otot badan, terutama yang melibatkan tulang belakang dan kesan kepada keadaan sistem saraf serta kesihatan menyeluruh," katanya yang berkelulusan dalam bidang tersebut dari salah sebuah universiti di Australia.
Kiropraktor katanya, memerlukan kemahiran yang tinggi dan lembut untuk mengawal penolakan atau penekanan pada tulang bagi memperbetulkan fungsi saraf dan pergerakan sendi.
Namun bagi sesetengah kes yang serius, beliau akan mengesyorkan pesakit mendapatkan khidmat ortopedik terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan kiropraktik.
Kaedah jenis itu katanya bukan hanya sesuai untuk orang dewasa, malah kanak-kanak dan bayi yang baru dilahirkan juga boleh menjalani rawatan tersebut asalkan ia dilakukan oleh kiropraktor pediatrik.
"Misalnya bayi yang terjatuh ketika bertatih boleh menjejaskan keadaan tulang mereka. Walaupun pada awalnya tidak kelihatan seperti sakit, namun lama-kelamaan ia boleh menjejaskan kesihatan secara menyeluruh," katanya.
Kiropraktik juga katanya bukan terhad kepada mereka yang mengalami masalah atau sakit sahaja. Ia juga boleh diamalkan sebagai terapi alternatif bagi mengelak kesakitan yang berpunca daripada tulang belakang dan sendi.
Menariknya di HSC Cheras katanya, rawatan yang ditawarkan untuk masalah sakit belakang dan sendi bukan hanya terhad kepada kiropraktik, malah ia merangkumi ortopedik dan fisioterapi.
Enam langkah mudah yang ditawarkan:
1. Penilaian kesihatan intergrasi melibatkan perubatan, fizikal dam neurologikal.
2. Khidmat diagnos - ujian MRI, sinar-X, ujian osteoporosis dan darah.
3. Rawatan non-invasive - ortopedik, kiropraktik dan fisioterapi.
4. Rawatan minimal invasive - prosedur endoskopik dan suntikan sendi faset.
5. Pemulihan - terapi fizikal dan pengurusan penyakit.
6. Pemantauan kesihatan - gaya hidup, kesihatan fizikal dan pemakanan.
Testimonial
Tuntutan kerja memaksa Zainal Abidin Surif berulang-alik ke luar negara dengan kerap. Penerbangan yang kadangkala memakan masa lebih 10 jam membuatkan seluruh badannya sengal dan sakit terutama pada bahagian belakang serta pinggang.
Sememangnya ia tidak dirasai serta-merta, namun setelah usia meningkat dan kini walaupun sudah bersara, kesakitan itu menjejaskan aktiviti hariannya.
Pelbagai kaedah rawatan sudah dicuba, namun ia bersifat sementara. Sehinggalah beliau diperkenalkan dengan rawatan kiropraktik oleh saudara terdekat.
"Saya tidak teragak-agak mencuba kerana kiropraktik memang terkenal di luar negara. Cuma ia masih baru dalam negara dan tidak banyak yang menawarkan rawatan jenis ini terutama yang bertauliah," katanya.
Bagi beliau, ada kesan positif yang dirasai selepas lima kali menjalani rawatan di situ. Malah, isteri dan ibu mertuanya turut dibawa untuk mendapatkan rawatan yang sama kerana yakin dengan keberkesanannya.
No comments:
Post a Comment