Pengembalian denyutan jantung secara spontan
HARI itu Dr. Azar Azman Abu Bakar pergi kerja seperti biasa. Pagi-pagi lagi dia mempunyai kes kecemasan. Seorang pesakit diserang jantung di rumah dan setibanya di Unit Kecemasan pesakit didapati tidak mempunyai denyut nadi dan tekanan darah yang tidak boleh dikesa. Dr. Azar dan pasukannya melakukan resusitasi kardio-pulmonari (CPR). Selepas melakukan CPR melebihi setengah jam didapati pesakit itu tidak menunjukkan reaksi denyutan jantung dan tekanan darah.
"Setelah memastikan apa-apa informasi klinikal pesakit, saya dan pasukan saya berpendapat secara klinikalnya pesakit telah meninggal dunia.
Saya mengambil keputusan memberitahu isteri dan keluarga bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Belum sempat saya membuka mulut, saya dipanggil oleh jururawat untuk melihat keadaan pesakit. Ketika itu, saya melihat adanya aktiviti gelombang jantung dan tekanan darah dapat dikesan semula walaupun amat rendah. Kami saling berpandangan dan masing-masing berharap pesakit mungkin boleh diselamatkan dan ubatan tertentu terus dimulakan dan persiapan untuk dihantar ke ICU dilakukan.
Namun nyawanya hanya mampu bertahan kurang dari sepuluh minit. Selepas itu, dia disahkan meninggal dunia," ujar Pakar Kardiologi dan Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Azar ketika diminta mengulaskan sindrom Lazarus.
Sejarah
Menurut Dr. Azar, dari segi bahasa saintifik, Lazarus dikenali sebagai pengembalian sirkulasi darah secara spontan- ROSC (Return Of Spontaneous Circulation) selepas prosedur CPR dipersetujui diberhentikan apabila difikirkan CPR tidak berjaya.
Namun katanya, fenomena Lazarus sudah lama wujud dan disebut dalam sejarah peradaban manusia.
"Cerita Lazarus diambil daripada kitab Bible. Dikatakan seorang yang bernama Lazarus dihidupkan kembali oleh Nabi Isa empat hari selepas kematiannya. "Dalam sejarah perubatan pula, kes fenomena Lazarus pertama dilaporkan pada tahun 1982 manakala penggunaan istilah fenomena Lazarus diperkenalkan oleh Bray pada tahun 1993," jelasnya.
Dr. Azar memberitahu, pada tahun 1800an, wujudnya golongan yang menulis dalam wasiat mereka agar waris memastikan jika mereka betul-betul meninggal dunia dengan menuangkan cecair panas atau menoreh kulit mereka.
"Wasiat ini timbul kerana mereka takut kejadian ditanam hidup-hidup. Pada tahun 1897, keranda khas yang mempunyai sistem loceng dan bendera diperkenalkan bertujuan sekiranya mereka tiba-tiba hidup di dalam keranda, mereka boleh menekan loceng tersebut. Bahkan persatuan (Society for the Prevention of Burial Before Death) ada diwujudkan," ujarnya.
Kategori Lazarus
Dr. Azar menjelaskan terdapat beberapa kategori tema-tema Lazarus yang diguna pakai di seluruh dunia. Fenomena Lazarus juga ada diguna pakai pada penerima buah pinggang yang dianggap tidak selamat tetapi selepas itu berjaya.
kompleks Lazarus
l Ia merupakan kesan sampingan psikologi iaitu orang yang terselamat daripada pengalaman hampir kematian (misalnya semasa kemalangan yang teruk).
sindrom Lazarus
l Kebiasaannya melibatkan kanak-kanak pediatrik (kes-kes yang dianggap akan meninggal tetapi kemudiannya menjadi stabil).
Tanda-tanda Lazarus
l Pesakit yang kematian otak atau kecederaan saraf tunjang tetapi ada pergerakan secara spontan.
Kesan Lazarus
l Spesis haiwan tertentu yang sepatutnya dah pupus tetapi didapati masih wujud.
Primonasi Lazarus
l Keadaan sementara seperti telah sihat pada pesakit terminal. Fenomena ini sebenarnya telah diketahui agak lama kerana dalam sejarah Cina 1000 tahun yang dulu pun ada perkataan " Hui Guang Fan Zhao" yang bermaksud "pantulan cahaya dari matahari terbenam" digunakan.
Pil Lazarus
l Penggunaan pil zolpidem untuk mereka yang koma ada menunjukkan respons saraf yang sebentar.
Serangan jantung
Mengikut pemerhatian majoriti fenomena Lazarus terjadi pada pesakit yang mengalami serangan jantung atau masalah paru-paru (COPD).
Dr. Azar menambah, kes-kes trauma atau terlebih dos dadah juga terdapat fenomena Lazarus.
"Dalam kes serangan jantung contohnya, disosiasi elektromekanik (electromechanical dissociation/EMD) menunjukkan tiada tanda nadi dan tekanan darah tetapi ada gelombang jantung (ECG)," katanya.
Majoriti kes-kes fenomena Lazarus yang dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pesakit hidup kembali dalam tempuh sepuluh minit selepas CPR diberhentikan.
Ada juga fenomena yang dilaporkan selepas beberapa jam CPR diberhentikan.
Dr. Azar memberitahu berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kurang daripada satu pertiga akan terus hidup secara normal tanpa sebarang masalah saraf.
Laporan media
19 Disember 2000 /12 Ogos 2002 di Eropah.
Ada mayat yang bangun dalam peti sejuk bilik mayat.
19 Januari 2004 di India
Pesakit yang disahkan mati didapati mayatnya telah hilang dari hospital .
Saintifik
Dr. Azar menjelaskan antara pendapat yang diguna pakai untuk menjelaskan Fenomena Lazarus;
Semasa melakukan CPR; Lazarus dikatakan terjadi apabila oksigen yang diberi terlalu cepat atau banyak dalam paru-paru. Akibatnya gas dalam paru-paru terperangkap (gas trapping) dan dada mengembang (dynamic hyperinflation) menyebabkan bertambahnya PEEP.
Ini mengakibatkan darah vena kurang kembali ke jantung dan menurunkan keluaran darah yang dipam oleh jantung. Seterusnya menyebabkan jantung berhenti (cardiac arrest)
Selepas berhenti CPR, PEEP berkurang dan seterusnya memungkinkan jantung berdenyut kembali.
Ada juga yang mencadangkan selepas berhenti melakukan CPR, pesakit harus diperhatikan selama 10 minit sebelum disahkan mati.
2- Ubat-ubatan ketika CPR lambat bertindak dan ini memungkinkan reaksi tubuh lambat bertindak.
3- Garam potasium dalam sel jantung terlalu tinggi.
4- Jantung berhenti sekejap disebabkan oleh iskemia (cardiac stunning)
Walaupun fenomena Lazarus bukan baru, sekiranya berlaku ada kemungkinan para paramedik berhadapan dengan tuduhan tidak melakukan CPR secukupnya.
"Kebiasaannya kita akan melakukan CPR untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam dan bergantung kepada keadaan tertentu, CPR akan dilakukan lebih lama untuk kes-kes pediatrik, keracunan dadah, hipotermia, lemas dan sebarang indikasi tertentu," katanya.
(Petikan daripada Journal of The Royal Society of Medicine).
No comments:
Post a Comment