Monday, June 10, 2013

RAMAI TIDAK SEDAR FIBROID RAHIM

KEKERAPAN ketumbuhan fibroid di rahim dan pangkal rahim biasanya 40 peratus pada wanita terutama pada usia subur atau boleh hamil. Seramai 40 peratus wanita dengan fibroid tidak menghadapi sebarang masalah dan tiga perempat wanita yang mempunyai fibroid tidak menyedarinya kerana tidak mempunyai sebarang tanda atau kesakitan. 

Pakar Runding Obsetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran berkata, biasanya doktor hanya dapat mengesan melalui ujian pelvik atau ultrasound. 

“Ini berlaku apabila pesakit mengadu kedatangan haid yang luar biasa banyak atau berterusan lama," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini. 

Menurut beliau, fibroid boleh berlaku di pelbagai tempat seperti dalam rahim, luar rahim serta pangkal rahim.
“Fibroid bukan kanser dan hanya satu dalam 3,000 kes yang menjadi penyebab kanser kecuali ia sememangnya kanser," katanya. 

Fibroid boleh berlaku sama ada dalam satu biji yang besar atau beberapa biji yang kecil tetapi dalam bilangan yang banyak. 

Biasanya fibroid yang tidak mengganggu pesakit akan dibiarkan saja tetapi saiznya yang semakin membesar dan keras seperti guli kapur menyebabkan pesakit tidak selesa. 

Dr. Dharmini berkata, simptom fibroid bergantung kepada kedudukannya. 

“Misalnya terdapat pesakit yang mengalami darah haid yang banyak dan berterusan lebih daripada tujuh hari, sakit di bahagian ari-ari, kerap kencing, sukar kencing, sembelit dan sakit pinggang. 

PANAS BAWA MAUT

SETIAP hari kita pasti terdengar rungutan orang di sekeliling berkenaan cuaca yang teramat panas di negara kita. Manakan tidak, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang baru sahaja bermula bulan lalu.

Menurut JMM, kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan dan tempoh penerimaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.

Maka semakin ramailah yang mula berdoa dan berharap hujan akan turun bagi menghilangkan rasa panas yang membuatkan semua orang lesu dan tidak produktif. 

Namun, di sebalik cuaca hangat dengan suhu yang mencecah sehingga lebih daripada 35 darjah Celcius, ramai yang masih tidak memandang berat akan kesannya terhadap tubuh badan kita. 

Ramai yang dengan santainya bersiar-siar di bawah terik matahari tanpa mengambil langkah berjaga-jaga. Alasannya panas adalah perkara biasa di Malaysia. 

Bagi mereka yang keadaan pekerjaannya memerlukan mereka berjemur panas seperti buruh binaan terus gigih bekerja tanpa berehat secukupnya dan menghiraukan bahaya yang mereka berdepan dengan panas mentari. 

Ujar Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi, pendedahan terhadap panas yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit berkaitan dengan cuaca panas iaitu (heat related illness (HRI)). 

Wednesday, May 29, 2013

PASTIKAN KULIT LEMBAB


John Goh menerangkan mengenai fungsi sabun mandian Dove ketika pelancaran sabun mandian itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
 
KULIT merupakan penghadang yang melindungi tubuh daripada radiasi serta trauma mekanikal dan kimia. Kulit juga berfungsi mengawal suhu badan, sebagai deria, melindungi daripada jangkitan kuman serta sebagai cara berkomunikasi sosioseksual.

Adalah penting untuk kita mempastikan kulit sentiasa lembap bagi mendapatkannya sihat dan nampak muda.
Untuk itu, gunakan pelembap kulit yang sesuai dan cepat meresap ke dalam kulit. Jangan gunakan pelembap yang sebarangan kerana terdapat pelembap kulit yang hanya akan menyebabkan kulit menjadi rosak dan bertambah kering.

Konsultan Dermatologis, Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr. Nazirin Ariffin berkata, kulit orang dewasa mengandungi 60 peratus kelembapan sementara bayi sebanyak 80 peratus. 

''Jadi, semakin berusia seseorang itu kulitnya juga menjadi semakin kering. Oleh itu sentiasa gunakan pelembap kulit yang sesuai setiap hari bagi mengekalkan kelembapan.

''Bersenam juga membantu mendapatkan kulit yang cantik kerana apabila seseorang itu bersenam akan meningkatkan pengaliran darah ke kulit dan mengurangkan tekanan.

''Selain itu, tidur yang mencukupi juga penting kerana proses tidur membantu sel untuk bertenaga semula dan memberi kesan kepada kulit,'' kata Dr. Nazirin pada pelancaran sabun mandian Dove baharu dengan pelembap nutrium di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Dermatitis Sentuhan dan Alahan, Kosmetik Dermatologi dan Pembedahan Dermatologi, berkata, selain penggunaan pelembap kulit pemakaian topi, payung atau penutup kepala dan baju berlengan panjang apabila keluar rumah juga sedikit sebanyak membantu mengekalkan kelembapan lebih lama. 

Ini kerana katanya, kulit yang terdedah pada sinar matahari secara terus bukan saja nampak kering bahkan mudah berkedut dan kusam. 

Menurut Dr. Nazirin, ramai yang tidak mengetahui bahawa merokok juga membuatkan kulit cepat menjadi kering dan nampak tua kerana perjalanan darah ke kulit tersekat.

''Amalkan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kedua-duanya mengandungi air, vitamin dan mineral.

''Jika kulit kering, ia boleh dilembapkan semula dengan memakai pelembap kulit. Sebaik-baiknya gunakan dua atau tiga kali sehari,'' ujar Dr. Nazirin lagi.

Sementara itu, Pengurus Aturan Penyelidikan dan Pembangunan, Penjagaan Kediaman dan Diri Unilever (M) Sdn. Bhd., John Goh berkata, mandian baharu Dove merupakan penemuan terkini dalam kategori sabun mandian badan yang mengandungi formula yang telah dipatenkan dengan teknologi pelembap nutrium.
''Mandian baru Dove adalah lebih berkhasiat berbanding susu. Ia mengandungi rumusan yang kaya dengan pelembap dan nutrisi semula jadi bagi menambah nutrien ke dalam kulit.

''Mandian badan biasa yang tidak mengandungi ramuan berkhasiat akan menyebabkan keadaan kulit kering dengan menanggalkan kelembapan semulajadi kulit. Sesetengah mandian badan biasa boleh merosakkan kandungan protein dan lipid di lapisan luar kulit semasa mandi.

''Pelembap dalam cecair mandian biasa akan berada di bahagian atas kulit buat sementara waktu. Namun pelembap nutrium baru akan menembusi permukaan lapisan epidermis kulit untuk memberikan khasiat kepada kulit dan menjadikan kelembapan kulit kekal lebih lama,'' kata Goh.

SALURAN DARAH RETINA MUDAH PECAH



MENURUT Sim Ee, diabetes menjadi punca saluran darah pada retina dan bebola mata menjadi lemah, mudah bocor dan tersumbat



KAJI Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2012. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman, bilangan pesakit diabetes di Malaysia meningkat sebanyak 31 peratus dalam tempoh lima tahun berbanding pertambahan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas. 

Pada masa ini, dianggarkan terdapat lebih 5.6 juta pesakit diabetes di negara ini dan 25 peratus daripada jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul. 

“Ramai pesakit diabetes sedar betapa pentingnya penjagaan luka di kaki kerana mahu mengelak ia dipotong. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa risiko diabetes bukan sekadar lumpuh kaki. 

“Mereka juga berisiko untuk mendapat retinopati diabetes penyebab buta,” ujar Pakar Optamologi, Pusat Perubatan Tropicana di Petaling Jaya, Dr. Khor Sim Ee. 

Friday, May 24, 2013

KERAJAAN MAHU GUBAL AKTA ANTIOBESITI

 Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan undang-undang antiobesiti menjelang 2020 sebagai usaha membendung peningkatan mendadak kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkaitan sebelum undang-undang berkenaan boleh dilaksanakan.

“Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan ada membincangkan mengenai kerangka kerja bagaimana untuk melaksanakan undang-undang antiobesiti.


“Dalam perbincangan tersebut, Jepun dilihat sebagai model terbaik kerana mereka mempunyai ukuran pinggang kebangsaan yang komprehensif,” katanya ketika ditemuramah dalam program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 hari ini.

Dr Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak kes NCD dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini mencapai tahap membimbangkan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati, kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi, 2.6 juta orang (kencing manis) dan 2.5 juta penduduk mengalami masalah obesiti. – Bernama