SETIAP hari kita pasti terdengar rungutan orang di sekeliling
berkenaan cuaca yang teramat panas di negara kita. Manakan tidak,
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan
cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan
musim Monsun Barat Daya yang baru sahaja bermula bulan lalu.
Menurut JMM, kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih
banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan dan tempoh
penerimaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran
meningkat.
Maka semakin ramailah yang mula berdoa dan berharap hujan akan turun
bagi menghilangkan rasa panas yang membuatkan semua orang lesu dan tidak
produktif.
Namun, di sebalik cuaca hangat dengan suhu yang mencecah sehingga
lebih daripada 35 darjah Celcius, ramai yang masih tidak memandang berat
akan kesannya terhadap tubuh badan kita.
Ramai yang dengan santainya bersiar-siar di bawah terik matahari
tanpa mengambil langkah berjaga-jaga. Alasannya panas adalah perkara
biasa di Malaysia.
Bagi mereka yang keadaan pekerjaannya memerlukan mereka berjemur
panas seperti buruh binaan terus gigih bekerja tanpa berehat secukupnya
dan menghiraukan bahaya yang mereka berdepan dengan panas mentari.
Ujar Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince
Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi, pendedahan terhadap panas yang melampau
dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit berkaitan dengan cuaca panas
iaitu (heat related illness (HRI)).
Keadaan yang paling teruk boleh berlaku akibat HRI ialah kerosakan
organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati malah ia boleh
menyebabkan maut.
Di Amerika Syarikat (AS), kematian akibat HRI sejak 1979 hingga 2003
dilaporkan sebanyak 8,015 pesakit, bilangan kematian yang lebih ramai
daripada mereka yang kehilangan nyawa akibat gabungan taufan, banjir,
gempa bumi dan puting beliung.
Di Malaysia sendiri ada kes kematian akibat panas yang melampau,"
ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.
Gejala
Ujar Dr. Hazlee, Gejala masalah HRI ialah pelbagai bergantung kepada tahap keseriusan masalah itu.
Antaranya ialah sakit kepala, keletihan, tumpuan lemah, pening, lemah otot-otot badan atau kekejangan, mual dan muntah.
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dinyahhidrat (kekeringan), kekeliruan, dan tidak sedarkan diri atau koma.
Komplikasi boleh berlaku jika lambat melakukan rawatan terutamanya
mereka yang berdepan dengan strok haba iaitu kerosakan organ badan
seperti ginjal, otak, jantung dan hati serta boleh menyebabkan maut.
Kumpulan berisiko
Ujar Dr. Hazlee, sesiapa sahaja boleh berdepan dengan masalah HRI
tetapi beberapa kumpulan yang berisiko terutama kanak-kanak yang berusia
kurang lima tahun kerana lebih sensitif terhadap kesan panas dan mereka
memerlukan bantuan dari orang dewasa untuk menyejukkan badan serta
memberi hidrasi yang cukup.
Golongan tua berumur lebih daripada 65 tahun turut berisiko tinggi
kerana sistem tubuh mereka mungkin tidak lagi efektif untuk menurunkan
suhu badan dan mereka juga tidak dapat mengesan kenaikan suhu badan
dengan baik.
Orang dewasa iaitu yang berusia 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.
HRI juga berisiko kepada mereka yang secara fizikal telah sakit
terutama masalah sakit pernafasan, lemah jantung, dan mereka yang
mengambil ubat untuk penyakit kemurungan.
Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti turut lebih berisiko kerana badan mereka menyimpan lebih banyak haba.
Ada sesetengah penyakit membuatkan HRI lebih senang berlaku seperti penyakit tiroid yang menyebabkan suhu badan tinggi.
Pengambilan ubat-ubatan yang menyebabkan badan panas dan keadaan
bertambah buruk apabila berjemur juga menambah risiko berlakunya HRI.
Selain itu, cara pakaian tebal dan berlapis yang tidak sesuai dengan
suhu, aktiviti fizikal serta keadaan pekerjaan dan beban kerja seperti
mereka yang bekerja menyelenggara lebuh raya dan buruh binaan berisiko
berdepan dengan HRI.
Maut
Pengsan akibat cuaca panas yang melampau dilihat seperti perkara
biasa. Namun, serangan strok haba itu sebenarnya boleh membawa maut jika
tidak dirawat dengan segera.
Ini kerana organ-organ penting tidak dapat air yang membawa
mineral-mineral penting lalu ia akan gagal berfungsi satu demi satu jika
tidak mengganti air secepat mungkin.
Oleh itu, rawatan kecemasan perlu dilakukan segera jika mempunyai tanda-tanda strok haba.
Pencegahan
Mencegah adalah baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi.
Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan.
Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.
Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang,
golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan,
lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.
Ujar Dr. Hazlee kebanyakan majikan di AS telah menyediakan pendingin hawa bagi setiap ruang untuk pekerjanya.
Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana
ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap
sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.
Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang
besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.
Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15
atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk
mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.
Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang
dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.
Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas
daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat
sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.
Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan
menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.
Air yang cukup
Terang Dr. Hazlee, musim panas ini memerlukan kita minum air yang
banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair
badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.
Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua
hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.
Minum air isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang melalui peluh.
Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang
tinggi, kerana ia boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita
kehilangan cecair badan.
Jika doktor mengehadkan pengambilan air, garam dan mineral
disebabkan penyakit tertentu seperti sakit buah pinggang dan lemah
jantung, dapatkan nasihat doktor tentang jumlah pengambilan yang selamat
semasa cuaca panas," terangnya terperinci.
No comments:
Post a Comment