Pengenalan
Jatuh kerap berlaku di kalangan warga emas. Ia merupakan penyebab utama kecederaan pada warga emas. Jatuh boleh mengakibatkan morbiditi dan kematian di kalangan warga emas dan menjejaskan kualiti hidup warga emas. Risiko jatuh adalah berkaitan dengan interaksi kompleks antara faktor dalaman, luaran dan situasi dan kebanyakannya boleh dicegah. Oleh itu, intervensi di peringakat kesihatan primer adalah penting dan berkesan untuk mengurangkan risiko jatuh dan mencegah jatuh di kalangan warga emas.
Pencegahan
Intervensi yang meliputi pelbagai faktor risiko seperti intervensi perubatan, persekitaran, rehabilitasi adalah langkah yang terbaik untuk mencegah jatuh pada warga emas. Lakukan perubahan terhadap pelbagai faktor risiko dan intervensi mengikut keperluan individu adalah lebih berkesan untuk mencegah jatuh.
Strategi pencegahan jatuh yang berkesan perlulah menyeluruh. Ia termasuklah:
-
Pencegahan primer – menggalakkan tabiat yang sihat, senaman, pendidikan, pemakanan
-
Pencegahan sekunder – pengesanan awal risiko jatuh dan pengubahsuaian faktor risiko
-
Pencegahan tertiari – merawat dan memberi rehabilitasi kepada warga emas yang pernah jatuh
Tip-tip untuk mencegah jatuh
Intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan warga emas berfungsi boleh mencegah atau mengurangkan kekerapan gejala jatuh dan mengelakkan kecederaan akibat jatuh.
Tip-tip atau strategi untuk mencegah jatuh di kalangan warga emas termasuklah:
-
Semua warga emas terutamanya dengan sejarah jatuh perlu dinilai untuk mengenal pasti risiko jatuh. Pengubahsuaian dilakukan agar mengurangkan risiko jatuh
-
Intervensi pelbagai faktor risiko, termasuklah:
-
Program senaman – latihan gaya jalan dan latihan keseimbangan
-
Penggunaan alat bantuan
-
Modifikasi persekitaran yang meningkatkan risiko jatuh
-
Mengesan dan merawat punca jatuh dan modifikasi ubat (jika perlu)
-
Program pendidikan
-
Program senaman untuk mencegah jatuh
Kelemahan otot dan ketidakstabilan menyumbang kepada kebanyakan kejadian jatuh. Senaman tertentu boleh meningkatkan kekuatan otot, mengurangkan ketidakstabilan dan seterusnya mengurangkan kejadian jatuh.
Program senaman sepatutnya dipantau oleh jurupulih anggota yang terlatih. Jenis senaman yang boleh meningkatkan kekuatan otot dan mengurangkan ketidakstabilan termasuklah:
-
Latihan kekuatan dan keseimbangan
-
Senaman aktif dan pasif
-
Senaman untuk meningkatkan pergerakan sendi
-
Meningkatkan kekuatan otot seperti pengunaan pemberat.

