Saturday, June 13, 2015

MEE SEGERA POPULAR KELUARAN TEMPATAN BEBAS PLUMBUM, SELAMAT DIMAKAN.


Mi segera popular keluaran tempatan bebas plumbum, selamat dimakan
 
Semua produk Nestle Malaysia dihasilkan di bawah syarat pengeluaran yang menepati standard tempatan dan antarabangsa serta selamat untuk dimakan.
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan pada Rabu mengesahkan jenama mi segera Maggi yang dijual dan dikilangkan di negara ini adalah selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan itu berikutan isu pengharaman sementara penjualan mi segera jenama tersebut di India seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Pengharaman sementara tersebut dibuat oleh pihak berkuasa di India susulan penemuan kandungan logam berat plumbum melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang negara tersebut di dalam mi segera jenama berkenaan.

“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa mi segera jenama Maggi yang dijual di negara ini dikeluarkan oleh kilang di dalam negara dan tidak diimport dari India.

“Kementerian Kesihatan juga telah menjalankan pengesahan ke atas program jaminan keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh kilang mi segera berkenaan.

“Pihak kami mendapati bahawa pengurusan kilang tersebut telah mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, hasil pemantauan ke atas mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan termasuk yang  diimport juga mendapati tiada sampel dikesan mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan di  bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Sementara itu, pengilang produk berkenaan Nestle Malaysia turut memberikan kenyataan rasmi dengan menegaskan bahawa pihaknya mengutamakan kualiti dan keselamatan produk keluarannya.

“Semua produk Nestle dihasilkan di bawah syarat pengeluaran yang menepati standard tempatan dan antarabangsa serta selamat untuk dimakan,” kata kenyataan itu yang menambah bahawa produk syarikat itu di negara ini adalah hasil keluaran tempatan.

Menurut kenyataan tersebut, setiap peringkat sumber bahan mentah dan proses pengeluaran Nestle perlu melalui pemeriksaan kualiti. Itu termasuk ujian komprehensif bagi memastikan ia menepati peraturan dan undang-undang keselamatan makanan sebelum ia sampai kepada konsumer.

“Nestle Malaysia melakukan pemantauan berkala sebagai amalan kawalan kualiti, termasuk menjalankan ujian makmal bagi mengesahkan semua produk mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan,” ujar kenyataan itu.

No comments: