Tuesday, June 23, 2015

MUHASABAH PROSES PENYUCIAN JIWA


MUHASABAH adalah proses menghisab diri datangnya daripada keinsafan dan kesedaran dalam diri menyesali perlakuan terdahulu dan ingin kembali sebagai manusia fitrah. Akibat kekurangan ilmu, pengaruh nafsu nafsi, terlanjur, rasa berdosa yang tinggi mendorong manusia untuk kembali.

Muhasabah boleh membawa kepada taubat. Ia adalah jalan keinsafan menyesali apa yang berlaku pada masa lalu dan lahir keinginan untuk tidak mengulangi supaya diri berada dalam keadaan berpahala. Ia adalah suatu proses tazqiah an nafs iaitu penyucian jiwa daripada nafsul amarah dan sifat-sifat mazmumah (keji) yang mencederakan watak dan akhlak serta kembali ke nafsul mutmainnah yang mendukung jiwa tenang dan memiliki sifat mahmudah (terpuji) yang membimbing jalan makruf dan kebaikan.

Manusia ini memiliki sifat nasiyyah atau lupa dan ghaflah iaitu lalai menyebabkan kelemahan terjadi. Sebab itu manusia perlukan peringatan supaya kelupaan dan kelalaian tidak menyebabkan kemungkaran berlaku. Dukungan hawa nafsu menyebabkan dosa terjadi. Justeru manusia perlukan pedoman supaya tidak berlaku keterlanjuran.

Penyucian dan pembersihan jiwa memerlukan rawatan yang sifatnya rohaniah.

Kekuatan dalaman diri manusia menjadi sesuatu yang paling utama diperkukuhkan supaya kekuatan rohaniah menjadikan kedekatan dan kehampiran kita dengan ALLAH (taqarrub ilallah).

Ia selari dengan maksud hadis Rasulullah SAW mengisahkan dalam diri manusia ada seketul daging. Baik daging itu baiklah diri manusia dan tidak baik daging itu, tidak baiklah diri manusia. Baik dan tidak baik merujuk kepada akhlak manusia. Ia dirujuk sebagai kerja hati.

Memelihara dan menyuburkan hati dengan binaan yang baik bakal mempengaruhi sikap dan amal seseorang. Keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH umpamanya menjadikan manusia memiliki pancang hidup dan keinsafan ketuhanan yang tinggi. Ia membawa keinsafan bahawa kita ini adalah hambaNya dan berperanan sebagai khalifah untuk mensejahterakan umat manusia.

Hati manusia mudah tercemar dengan runtunan hawa nafsu dan hasutan syaitan dan iblis. Ia menyebabkan manusia hilang fitrah diri dan hatinya cenderung kepada perkara-perkara yang mungkar. Yang menjadi pertimbangan dalam hidup ialah kepuasan zahiri bukannya batini. Ia menyebabkan gelagat manusia tidak lagi makruf dan berada dalam keadaan berdosa.

Muhasabah dan taubat membimbing manusia melakukan tazqiah (pembersihan semula) hati supaya hati memandu manusia memiliki sifat terpuji seperti jujur, ikhlas, amanah, adil, telus dan tulus kerana tanpanya sifat mazmumah (keji) bakal mengambil tempat.

Sifat-sifat terpuji disandarkan kepada keyakinan yang tinggi kepada kehadiran ALLAH yang melihat dan mengetahui apa saja yang manusia lakukan. Ia menyebabkan keinsafan ketuhanan (God-Conciousness) wujud pada diri manusia.

Inilah sebenarnya barometer atau pedoman terbaik menjadikan manusia insaf bahawa melakukan kemungkaran natijah akhirnya adalah dosa dan melakukan sesuatu yang berpahala natijah akhirnya ialah syurga.

Islam tidak saja mendidik kita memiliki aqidah tauhid yang kental, mengakui hakikat kewujudan ALLAH tetapi juga menginsafi bahawa ALLAH Maha Berkuasa ke atas segala dan Pemberi Rahmat kepada semua. Tanpa keyakinan ini manusia berasakan sesuatu itu sifatnya lepas bebas tanpa ikatan dosa dan pahala.

Menjadi orang berdosa tidak menyumbang kepada kesejahteraan hidup diri dan orang lain.

Islam yang terhubung dengan maksud salam membawa natijah salama, sejahtera dan damai. Manusia pada fitrahnya memerlukan keadaan yang sedemikian supaya kasih sayang terbina, rasa persaudaraan terjalin dan membangun jiwa rukuk dan sujud (ibadullah & ibadurrahman) terjadi.

Ibadullah dan ibadurrahman adalah gambaran natijah solat menjadikan manusia mempunyai jiwa kehambaan yang tinggi dan akhirnya menjadi khalifah ALLAH di muka bumi.

Jiwa kehambaan menjadikan ahli ibadah memiliki sifat patuh, akur, tunduk dan taat kepada suruhan dan larangan ALLAH. Ia menyebabkan manusia menjalani hidup di bawah Sunnatullah.

Sebagai khalifah ALLAH sifat amanah menjadi tanggungjawab yang utama. Bila jiwa kehambaan menyubur ke dalam diri ia bakal mencorakkan sahsiah dan akhlak seseorang.

Sebagai khalifah akhlak ini sangat penting kerana khalifah bakal mengurus diri dan sistem. Dan daripadanya manusia berada dalam kedudukan amal soleh yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

1 comment:

Farina said...

betul tu. kita ni sebagai hamba Allah kena la sentiasa muhasabah diri. kadang kadang dosa yg kita lakukan itu tidak kita sedari. Allah itu maha pengampun. muhasabah diri menunjukkan hati kita ingat pada Allah