Sunday, March 11, 2018

SEMBUH CEPAT, RISIKO RENDAH

Pesakit bergantung kepada bekalan darah sendiri berbanding
dapatkan pemindahan darah daripada penderma

Transfusi darah adalah prosedur memindahkan darah atau komponen darah lain terus ke dalam saluran darah pesakit bagi menggantikan darah yang tumpah akibat pendarahan teruk ketika pembedahan atau disebabkan kecederaan. Bekalan darah dalam proses ini diperoleh daripada penderma dan disimpan dalam bank darah sebelum digunakan pada saat kecemasan.
Namun, transfusi atau pemindahan darah untuk meningkatkan kiraan darah turut dilakukan terhadap mereka yang menghidap penyakit kronik atau penyakit gangguan darah yang diwarisi mengakibatkan tubuh mereka tidak dapat menghasilkan darah atau komponen darah yang cukup untuk menjalankan fungsi tubuh.
Walaupun matlamat transfusi darah adalah untuk menyelamatkan pesakit, proses ini juga mendatangkan banyak risiko dan komplikasi yang menyebabkan ketidakselesaan atau mengakibatkan kehilangan nyawa. Pesakit juga berisiko mendapat penyakit berjangkit khususnya daripada darah yang dicemari virus HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C atau parasit. Menerima pemindahan darah yang kerap seperti pesakit talasemia boleh menyebabkan terlalu banyak zat besi terkumpul dalam badan dan lebihan zat besi (hemochromatosis) yang terkumpul dalam organ akan mengganggu fungsi organ terbabit.
Komplikasi paling serius tetapi paling jarang berlaku adalah reaksi hemolitik imun akut (Acute Immune Hemolytic Reaction) iaitu pesakit menerima jenis darah yang tidak sepadan menyebabkan tubuh menyerang sel darah merah baru yang kemudian menghasilkan sebatian menjejaskan buah pinggang.
Pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah berdepan risiko penyakit Graft-Versus-Host (GHVD) iaitu masalah sel darah putih dalam darah penderma menyerang tisu dalam badan pesakit terbabit. Penyakit ini biasanya menyebabkan kematian dengan simptom seperti demam, ruam dan cirit-birit bermula dalam tempoh sebulan selepas transfusi darah.
Tidak ramai yang tahu dalam dunia perubatan sudah tercipta kaedah alternatif selain memasukkan darah orang lain ke tubuh pesakit. Selain ubat atau cecair lain bagi menggantikan penggunaan darah, kaedah mengoptimumkan penggunaan darah mampu menangani transfusi darah yang kerap sekali gus mengatasi masalah kekurangan bekalan darah dan kos penjagaan transfusi darah.

Pengurusan darah pesakit (PBM) adalah standard penjagaan dalam perubatan dan pembedahan yang bertujuan meminimumkan jumlah transfusi yang diperlukan pesakit atau mengelakkan pemindahan darah yang tidak perlu semasa pembedahan. Namun, pada masa sama memaksimumkan pemulihan pesakit dan mengurangkan risiko.
PBM yang berkesan dapat memberikan hasil yang lebih baik kepada pesakit melalui pemuliharaan dan pengurusan darah pesakit sendiri. Ia juga mengoptimumkan penggunaan yang sewajarnya bekalan darah yang terhad dan meminimumkan kos yang berkaitan dengan pemerolehan dan penghantaran darah.
Pengurusan darah pesakit sendiri membabitkan pengambilan darah dan ujian darah yang tidak perlu. Anemia boleh diperbetulkan menggunakan kemasukan zat besi menerusi intravena (IV) dan agen perangsang yang jauh lebih murah dan selamat daripada pemindahan darah.
Kajian mendapati PBM membantu pesakit sembuh dengan lebih cepat dan berisiko rendah mendapat komplikasi apabila mereka bergantung kepada bekalan darah sendiri berbanding mendapatkan pemindahan darah daripada penderma.
PBM juga membantu mengurangkan pembaziran darah pesakit semasa pembedahan atau menjalani rawatan yang diketahui mempunyai risiko pendarahan teruk. Dalam usaha memperkenalkan pendekatan inovatif ini kepada bidang perubatan di Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN) mengadakan simposium PBM dan berkongsi pengetahuan mengenai prinsip PBM dan bagaimana ia boleh digunakan dalam perawatan kebanyakan penyakit.
Simposium itu yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Darah Pesakit Asia Pasifik (APPBM), Persatuan Alternatif Transfusi Penyelidik Korea dan disokong Kementerian Kesihatan turut menjemput pakar dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Australia yang lebih dulu menggunakan kaedah PBM dalam perubatan.
Pengerusi penganjuran, Dr Pau Kiew Kong berkata, simposium PBM kali pertama diadakan di negara ini berhasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan darah untuk mendapatkan hasil yang baik dalam pemulihan pesakit.
“Penyelidikan APPBM mendapati sebanyak 66 peratus transfusi darah adalah tidak perlu. Walaupun idea umum mengatakan transfusi darah adalah baik dan masalah kekurangan darah (anemia) dapat diterima, tetapi ramai yang tidak menyedari alternatif yang ada sekarang dan pengurusan anemia yang betul adalah lebih baik daripada cara kami menguruskan pesakit pada masa ini.
“Menurut Persatuan Kemajuan Pengurusan Darah (SABM), PBM adalah penggunaan saintifik teknik perubatan dan pembedahan yang selamat dan berkesan yang direka untuk mencegah anemia dan mengurangkan pendarahan dalam usaha meningkatkan hasil yang baik dalam pemulihan pesakit.
“Prinsip utama PBM terletak pada tiga pilar iaitu meningkatkan jumlah hemoglobin tubuh dengan menambah zat besi, mempercepat pengeluaran darah pesakit dengan bantuan erythropoetin dan mengurangkan kehilangan darah serta memaksimumkan keupayaan tubuh untuk bertoleransi dengan tahap anemia semasa proses meningkatkan pengeluaran darah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Eksekutif, Institut Pengurusan Darah Pesakit dan Pembedahan Perubatan Darah di Hospital Englewood (Amerika Syarikat), Dr Aryeh Shander berkata, hubungan antara manusia dan darah sering menjadi emosi dan bercampur dengan mitos sepanjang sejarah kebanyakan budaya dan tamadun.
Menurutnya, PBM seperti yang didefinisikan oleh SABM adalah aplikasi tepat pada masanya dengan konsep perubatan dan pembedahan berasaskan bukti yang direka untuk mengekalkan kepekatan hemoglobin, mengoptimumkan hemostasis (pembekuan darah) dan meminimumkan kehilangan darah dalam usaha meningkatkan hasil pemulihan lebih baik pesakit.
“Menurut definisi ini, meningkatkan hasil klinikal pesakit adalah matlamat utama. Kebimbangan, semua isu dan pertimbangan lain termasuk penggunaan transfusi darah yang serasi adalah perkara kedua.
“Lima pemacu dikenal pasti untuk menganjakkan paradigma daripada amalan transfusi darah konvensional semasa kepada PBM iaitu jurang yang semakin meningkat antara bekalan darah dan permintaan untuk produk komponen darah, kos penghantaran transfusi yang semakin meningkat, isu keselamatan produk, kesan sampingan transfusi dan keberkesanan transfusi yang dipersoalkan.
“Permintaan untuk transfusi sel darah merah di kebanyakan negara membangun mencapai tahap yang tinggi sepanjang masa. Dinamik populasi yang diunjurkan ditambah dengan amalan transfusi semasa akan bermakna permintaan untuk produk darah akan terus berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding beberapa tahun kebelakangan,” katannya.
Dr Aryeh berkata, analisis kos di Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kos penghantaran darah adalah beberapa kali ganda kos pengambilalihan untuk unit sel darah merah. Penilaian kos penuh transfusi termasuk perolehan produk dan logistik dalaman, pelbagai ujian dan perkhidmatan makmal, pemeriksaan pretransfusi, pentadbiran dan pemantauan transfusi dan kos merawat reaksi transfusi darah.
“Mengambil contoh di dua hospital Amerika Syarikat yang dinilai, jumlah kos seunit sel darah merah yang dipindahkan adalah masing-masing AS$726 (RM3,040.49) dan AS$1,183 (RM4,954.40) menjadikan kos itu adalah 3.2 hingga 4.8 kali lebih tinggi daripada nilai kos perolehan.
“Bekalan darah kekal terdedah kepada senarai panjang agen berjangkit seperti bakteria dan virus. Tambahan pula, kemungkinan patogen yang tidak diketahui wujud dalam darah. Mungkin kebimbangan paling besar ketika ini dengan transfusi darah adalah hubungannya dengan kesan sampingan yang dialami pesakit.
“Bagaimana ketaranya adalah risiko keseluruhan transfusi apabila bukti kukuh yang ada menunjukkan kesan buruk yang tidak diingini dalam transfusi darah adalah jauh lebih besar daripada yang diandaikan secara umum.
“Akibat seperti kecederaan paru-paru akut berpunca daripada pemindahan darah pada masa ini dirujuk sebagai punca utama kematian dan hilang upaya berkaitan transfusi di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Isu lain dikaitkan adalah tempoh penyimpanan darah, ia sudah dibangkitkan namun masih dibahaskan,” katanya.
Pakar Perunding Hematologi Hospital Besar Launceston (Australia) Dr Alhossain Abdallah Khalafallah berkata, transfusi sel darah merah dikaitkan dengan peningkatan ketara dalam hilang upaya dan kematian selepas pembedahan. Malah, wujud kekurangan bekalan darah di seluruh dunia dengan kos yang banyak kepada penyedia dan sistem kesihatan.
“Dalam konsep PBM, rawatan anemia dan kekurangan zat besi sebelum pembedahan adalah langkah penting dalam meminimumkan penggunaan komponen produk darah terhadap pesakit dan pada masa sama meningkatkan hasil pemulihan lebih baik,” katanya.

No comments: