Thursday, July 4, 2019

HIPERKOLESTROLEMIA (KOLESTROL TINGGI ) DALAM DARAH TIADA GEJALA

Penyakit hiperkolesterolemia atau kolesterol tinggi dalam darah adalah masalah kesihatan yang semakin meningkat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan kadar penghidap hiperkolesterolemia secara keseluruhannya termasuk yang tidak didiagnosis masih tinggi di Malaysia apabila melaporkan peningkatan kepada 47.7 peratus pada 2015 berbanding 32.6 peratus pada 2011.

Kadar ini secara amnya meningkat mengikut usia daripada 22 peratus bagi lingkungan usia 18 hingga 19 tahun dan meningkat kepada 68.8 peratus bagi lingkungan usia 55 hingga 59 tahun.

Pada peringkat global, satu pertiga penyakit jantung iskemia dikaitkan dengan kolesterol tinggi dan secara keseluruhannya paras kolesterol yang tinggi dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan turut mengakibatkan kira-kira 29.7 juta penghidapnya hilang keupayaan diri.


Penyakit jantung iskemia tetap menjadi punca kematian utama di Malaysia sepanjang 10 tahun lalu. Malah, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan kematian akibat penyakit jantung iskemia pada 2014 memuncak kepada 13.5 peratus.

Hiperkolesterolemia berlaku apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kardiovaskular (CVD) seperti serangan jantung dan strok. Tanpa rawatan, serangan kardiovaskular boleh mengakibatkan masalah serius atau lebih buruk lagi adalah maut.

Kolestrol Tinggi Risiko SAKIT JANTUNG

Kolesterol adalah bahan berlilin daripada dua sumber iaitu badan manusia dan makanan. Badan manusia terutamanya hati menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan dan mengedarkannya melalui darah. Kolesterol juga boleh didapati dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging lembu dan ayam serta hasil tenusu penuh lemak.

Hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol apabila kita mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans. Bagaimanapun, kolesterol penting bagi fungsi badan kerana selain bertindak menjadi asas binaan membran sel, ia juga berperanan menghasilkan hormon tertentu. Kolesterol juga menghasilkan sebatian bagi membantu penghadaman lemak.

TABIAT MAKAN TINGKAT RISIKO KOLESTROL

Penyakit kardiovaskular (CVD) seperti strok dan jantung antara penyebab utama kematian di Malaysia. Sehingga 2011, kategori ‘pembunuh se­nyap’ itu membunuh kira-kira 17 juta penduduk dan setiap tiga daripada 10 kematian adalah disebabkan CVD.

Kolesterol tinggi menjadi antara faktor utama penyakit jantung koronari, serangan jantung serta strok. Individu yang mempunyai kolesterol tinggi adalah dua kali lebih tinggi berisiko mendapat serangan jantung.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) satu dalam tiga rakyat Malaysia menderita akibat kolesterol tinggi.

Meskipun telah banyak kempen kesedaran dijalankan mengenai bahaya kolesterol tinggi, penduduk negara ini masih tidak meng­ambil langkah bagi mengurangkan serta mengekalkan kolesterol baik dalam badan mereka.

Lebih mengejutkan, usia mereka yang berisiko mendapat kolesterol tinggi adalah golongan muda. Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan kes remaja berusia 19 tahun yang menderita akibat serangan jantung disebabkan tabiat makan yang kurang sihat.

Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata, kurang pengetahuan ditambah pula dengan gaya hidup tidak sihat adakalanya menyebabkan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penyakit yang tidak dapat dilihat ini.

“Sebaiknya mereka yang mempunyai genetik atau sejarah keluarga penghidap CVD hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan.

“Apatah lagi kebanyakan pesakit CVD adalah golongan muda, namun mereka tidak sedar dan selalu beranggapan penyakit berkenaan hanya menyerang golongan berusia,” katanya ketika ditemui pada majlis Perbincangan Meja Bulat antara Nestle Omega Plus dengan Institut Jantung Negara di pusat perubatan itu baru-baru ini.