Penyakit hiperkolesterolemia atau kolesterol tinggi dalam darah
adalah masalah kesihatan yang semakin meningkat. Tinjauan Kesihatan dan
Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan kadar penghidap hiperkolesterolemia
secara keseluruhannya termasuk yang tidak didiagnosis masih tinggi di
Malaysia apabila melaporkan peningkatan kepada 47.7 peratus pada 2015
berbanding 32.6 peratus pada 2011.
Kadar ini secara amnya
meningkat mengikut usia daripada 22 peratus bagi lingkungan usia 18
hingga 19 tahun dan meningkat kepada 68.8 peratus bagi lingkungan usia
55 hingga 59 tahun.
Pada
peringkat global, satu pertiga penyakit jantung iskemia dikaitkan
dengan kolesterol tinggi dan secara keseluruhannya paras kolesterol yang
tinggi dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan turut
mengakibatkan kira-kira 29.7 juta penghidapnya hilang keupayaan diri.
Penyakit
jantung iskemia tetap menjadi punca kematian utama di Malaysia
sepanjang 10 tahun lalu. Malah, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia
menunjukkan bilangan kematian akibat penyakit jantung iskemia pada 2014
memuncak kepada 13.5 peratus.
Hiperkolesterolemia berlaku apabila
terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah yang boleh menyebabkan
pelbagai penyakit kardiovaskular (CVD) seperti serangan jantung dan
strok. Tanpa rawatan, serangan kardiovaskular boleh mengakibatkan
masalah serius atau lebih buruk lagi adalah maut.
Kolestrol Tinggi Risiko SAKIT JANTUNG
Kolesterol
adalah bahan berlilin daripada dua sumber iaitu badan manusia dan
makanan. Badan manusia terutamanya hati menghasilkan semua kolesterol
yang diperlukan dan mengedarkannya melalui darah. Kolesterol juga boleh
didapati dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging lembu dan
ayam serta hasil tenusu penuh lemak.
Hati akan menghasilkan lebih
banyak kolesterol apabila kita mengambil makanan yang tinggi kandungan
lemak tepu dan lemak trans. Bagaimanapun, kolesterol penting bagi fungsi
badan kerana selain bertindak menjadi asas binaan membran sel, ia juga
berperanan menghasilkan hormon tertentu. Kolesterol juga menghasilkan
sebatian bagi membantu penghadaman lemak.
Pakar Perunding
Kardiologi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Jeyamalar Rajadurai
berkata kolesterol terbahagi kepada lipoprotein ketumpatan rendah (LDL)
atau dikenali sebagai kolesterol jahat dan lipoprotein ketumpatan tinggi
(HDL) atau disebut sebagai kolesterol baik.
Kolesterol jahat
adalah sumber utama plak yang menyumbat arteri, manakala kolesterol baik
membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan faktor risiko berkaitan.
Semakin tinggi paras LDL, semakin tinggi risiko berlaku penyakit jantung
atau serangan jantung akibat aliran darah terhalang.
“Kolesterol
berlebihan boleh membentuk plak antara lapisan dinding arteri yang
menyukarkan peredaran darah untuk bergerak lancar kerana plak yang
terkumpul menyebabkan penyempitan saluran darah dan mengeraskan arteri.
“Proses
plak terkumpul dalam arteri dalam jangka masa lama dikenali sebagai
aterosklerosis dan apabila arteri menjadi terlalu sempit sel darah merah
yang kaya dengan oksigen tidak cukup untuk sampai ke jantung dan otot
lalu menyebabkan sakit dada teramat sangat (angina).
“Jika
sebahagian daripada plak pecah, platelet berkumpul di kawasan yang
cedera dan membentuk darah beku. Akhirnya, darah beku menghalang aliran
darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung, manakala darah beku
yang menghalang aliran darah ke otak pula dipanggil strok,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika membincangkan masalah hiperkolesterolemia dalam
kalangan rakyat Malaysia sempena pelancaran rawatan penurunan
kolesterol LDL, ATOZET, yang bertindak menghalang penyerapan dan
penghasilan kolesterol dalam badan anjuran MSD Malaysia, baru-baru ini.
Dr
Jeyamalar berkata, hiperkolesterolemia bersifat asimptomatik iaitu
pesakit tidak mengalami gejala. Malah, kebanyakan pesakit tidak sedar
pun bahawa paras kolesterol dihidapi tinggi dan satu-satunya cara untuk
mengesan adalah melalui pemeriksaan perubatan yang tetap serta ujian
darah untuk mengukur paras kolesterol dalam darah.
Antara tabiat
yang meningkatkan risiko mendapat hiperkolesterolemia adalah sajian
makanan yang tidak berkhasiat seperti mengambil pemakanan yang tinggi
kandungan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol.
Semua jenis
makanan jika diambil berlebihan tidak baik, diet yang sihat untuk
jantung perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.
“Mereka
yang tidak aktif secara fizikal apabila kurang gerak kerja jasmani juga
akan menaikkan berat badan dan ini pula boleh meninggikan paras
kolesterol. Obesiti dan berat badan berlebihan dikaitkan dengan paras
trigliserida dan kolesterol jahat yang tinggi, manakala paras kolesterol
baiknya pula rendah.
“Namun, faktor genetik mungkin berperanan
meninggikan paras kolesterol. Jika anda mempunyai sejarah kolesterol
yang tinggi dalam keluarga, lebih besar kemungkinannya anda juga
menghidap kolesterol tinggi.
“Risiko mendapat masalah kolesterol
tinggi boleh meningkat lagi apabila faktor keturunan digabungkan dengan
pilihan gaya hidup yang kurang sihat seperti memakan makanan yang kurang
berkhasiat,” katanya.
Paras kolesterol yang tinggi mungkin
berlaku kerana keturunan apabila hati menghasilkan kolesterol berlebihan
atau badan kurang cekap menyingkirkan LDL daripada darah. Kira-kira
seorang daripada setiap 500 penduduk menghidap penyakit
hiperkolesterolemia yang diwarisi keluarga yang boleh menyebabkan paras
kolesterol yang teramat tinggi.
Sementara itu, Pakar Perunding
Kanan Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr David Quek
berkata, mereka yang berusia 20 tahun ke atas harus mendapatkan
pemeriksaan paras kolesterol sekurang-kurangnya sekali setiap lima
tahun, di samping mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat.
“Antara
perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi penghidap kolesterol tinggi
ialah berhenti merokok, mengehadkan pengambilan alkohol, kerap melakukan
senaman atau aktiviti riadah dan mengekalkan berat badan yang sihat.
“Keberkesanan
mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan memakan ubat untuk menurunkan
paras kolesterol berbeza bagi setiap orang. Secara puratanya, mengawal
pemakanan dan bersenam boleh menurunkan kolesterol LDL sebanyak 10
peratus, manakala ubatan pula menurunkan lagi kolesterol LDL antara 20
hingga melebihi 50 peratus.
“Bagi mengurangkan kolesterol LDL,
doktor boleh menggunakan satu ubat ataupun gabungan beberapa ubat.
Antara kelas ubat utama yang mengurangkan kolesterol darah ialah statin,
fibrat, resin, niasin dan perencat penyerapan kolesterol,” katanya.
Katanya,
di samping pemakanan berkhasiat, ubat statin ialah terapi pengurang
lipid yang utama untuk menurunkan aras kolesterol LDL yang tinggi pada
pesakit apabila terapi ubat diperlukan.
“Garis panduan terbaru
menyatakan bukti bahawa paras LDL yang lebih rendah berkait dengan kadar
kejadian CV yang lebih rendah, semakin banyak LDL dikurangkan semakin
banyak risiko CV dikurangkan. Manfaat pengurangan LDL ini tidak khusus
bagi terapi ubat statin.
“Oleh itu, wajarlah paras LDL diturunkan
serendah-rendahnya terutama pesakit yang sangat tinggi risikonya
mengalami masalah CV,” katanya.
Sementara itu, rawatan ATOZET
kajian kumpulan selari berbilang pusat membabitkan 196 pesakit
hiperkolesterolemia dirawat selama enam minggu didapati terbukti
menurunkan paras LDL dengan lebih banyak berbanding dengan dos
atorvastatin yang digandakan.
ATOZET adalah tablet gabungan
ezetimibe dan atorvastatin yang dimakan sekali sehari mempunyai dua
mekanisme tindakan bagi merawat dua punca utama kolesterol di dalam
darah. Ezetimibe menghalang penyerapan kolesterol dalam salur
penghadaman, manakala atorvastatin menghalang penghasilan kolesterol
dalam hati.
Ia juga digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit
kardiovaskular pada pesakit yang menghidap CHD dan mempunyai sejarah
sindrom koronari akut (ACS), sama ada pernah dirawat dengan ubat statin
ataupun tidak.
Selain itu, ATOZET digunakan sebagai terapi
tambahan berserta pengawalan makanan untuk orang dewasa yang menghidap
hiperkolesterolemia primer sama ada diwarisi atau tidak dan
hiperlipidemia campuran yang tidak dapat dikawal dengan baik oleh ubat
statin sahaja ataupun yang sudah dirawat dengan ubat statin berserta
ezetimibe.
No comments:
Post a Comment