Saturday, June 22, 2019

GULA DAN FAKTANYA

Apakah gula?
  • Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.
  • Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.
  • Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.
  • Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.
  • Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar.
Apakah saranan pengambilan gula tambahan?
  • WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).
  • Gula tambahan yang dimaksudkan adalah monosakarida dan dwisakarida yang ditambah ke dalam makanan dan minuman oleh pengilang-pengilang makanan dan gula yang ditambah semasa memasak dan menyedia makanan.
Apakah corak pengambilan gula di Malaysia?
  • Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari iaitu 4 sudu teh gula pasir dan 3 sudu teh susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi 50g.
Apakah corak pengeluaran gula di Malaysia?
  • Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan bahawa pengedaran gula di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pengedaran gula domestik telah meningkat daripada 651,973.12 metrik tan pada tahun 2004 kepada 806,381.88 metrik tan pada tahun 2009. Sementara pengedaran gula industri pula telah meningkat daripada 306,895.34 metrik tan pada tahun 2004 kepada 474,801.16 metrik tan pada tahun 2009. Data ini menunjukkan bahawa pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini mungkin disebabkan oleh harga gula yang murah.

Monday, May 20, 2019

MUDARAT DIET KETERLALUAN

Tanpa mengira jantina lelaki mahupun perempuan, menjadi trend kini untuk memiliki badan langsing. Pelbagai alasan diberikan untuk menurunkan berat badan sama ada mahu penampilan menarik atau disebabkan masalah kesihatan.

Ada baiknya kesedaran memiliki berat badan ideal semakin diambil perhatian. Namun, silapnya ada sesetengah daripada kita yang mengawal pemakanan semata-mata untuk menurunkan berat badan tanpa mengambil kira manfaat senaman.

Lebih menyedihkan ada yang sanggup menahan makan dan mengamalkan diet tertentu sekali gus menyebabkan badan tidak dilengkapi nutrisi diperlukan daripada pelbagai sumber makanan berkhasiat.

 

Elak sakit, kekal cergas

Pakar Nutrisi dan Fisiologi Senaman merangkap Pensyarah Fakulti Pusat Sukan Universiti Edith Cowan Australia Dee Dee Mahmood berkata, mengambil langkah mudah dengan mengamalkan diet keterlaluan hanya akan memudaratkan badan.

“Bukan satu cara yang sihat jika kita amalkan diet tertentu dengan menyekat pengambilan makanan secara keterlaluan atau jumlah sedikit dalam sehari dan memilih jenis makanan tertentu saja.

 
“Misalnya, hanya mengambil hidangan protein semata-mata tanpa kumpulan makanan lain dalam piramid makanan seperti karbohidrat. Perlu kita tahu, wanita perlukan pengambilan dalam jumlah 1,500 hingga 1,800 kalori sehari manakala lelaki pula 1,800 hingga 2,400 kalori sehari (bergantung kepada aktif atau tidaknya seseorang).

“Disebabkan pengambilan kalori yang terlalu rendah, ia akan menjejaskan nutrisi dan khasiat diperoleh daripada pemakanan kita yang terhad dan tidak menyeluruh dari segi khasiat sekali gus boleh mengganggu daya kerentanan atau ketahanan badan terhadap penyakit.

PEMAKANAN SEIMBANG SEPANJANG USIA

Kesihatan diri antara harta paling berharga yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit, namun ramai tidak mengambil perhatian sehingga akhirnya menghidap pelbagai penyakit serius.

Ramai juga yang tidak menyedari peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung adalah pengambilan makanan yang tidak seimbang dan jarang bersenam.

Corak pengambilan makanan yang teratur dan seimbang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak dan perlu diteruskan sehingga dewasa terutama apabila usia semakin meningkat.

Makanan seimbang adalah makanan yang membekalkan cukup zat untuk keperluan badan setiap hari. Antara kepentingan pengambilan makanan seimbang:

Pembesaran fizikal lebih sempurna

Tubuh perlu menerima semua zat yang diperlukan untuk membina badan yang kuat dan sihat. Keupayaan fizikal ini membolehkan kita menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Pemakanan seimbang menjadikan fizikal seseorang itu lebih baik dan sihat berbanding individu yang kurang menjaga aspek pemakanan.

Thursday, December 20, 2018

5 JENIS MAKANAN PERLU DI ELAK UNTUK GOUT

Setiap orang yang menghidap gout adalah berbeza. Kita semua mempunyai diet, komposisi badan, dan minum kualiti air yang berbeza. Banyak yang boleh dikaitkan dengan punca gout. Ramai yang mempunyai tahap asid urik yang tinggi juga mempunyai kecacatan di dalam buah pinggang yang telah ditetapkan secara genetik.

Setiap pesakit gout mempunyai makanan tinggi purin tertentu untuk dielakkan, yang cenderung untuk mencetuskan serangan gout. Kajian juga mendapati jika anda tertekan atau mempunyai sistem imun yang rendah juga boleh mencetuskan serangan.

Bagi sesetengah orang, pizza makanan laut atau sandwich daging boleh menyebabkan mereka mengalami kesakitan selama seminggu. Melalui percubaan, anda akan mengetahui apa yang harus dielakkan, dan apa yang perlu makan secara sederhana tanpa membawa kepada serangan gout.

Berikut adalah senarai makanan dan tips diet yang akan membantu anda memahami makanan yang perlu dimakan, dielakkan, dan yang boleh membantu badan secara semulajadi melawan serangan gout.

Friday, December 14, 2018

GANGGUAN TIROID

Apabila menyebut mengenai tiroid, pasti setiap individu membayangkan penghidapnya akan mengalami beng­kak pada bahagian leher yang kelihatan dengan jelas. Hakikatnya, tidak semua pesakit mengalami tanda bengkak berkenaan.

Di sebalik tanda bengkak, ramai yang tidak mengetahui, menggeletar, rasa panas, cepat marah, mudah berpeluh dan marah antara beberapa tanda seseorang itu mengalami gangguan tiroid.



Tiroid ialah satu kelenjar di bahagian depan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir semua bahagian badan dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan ia juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan.

Pakar perbidanan dan sakit puan Dr Siti Aisyah Ahmad berkata, secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua sama seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan triiodotiroksin (T3).

“Hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisme. Peningkatan hormon ini bermakna metabolisme badan meningkat dan begitulah sebaliknya jika hormon terbabit berkurangan,” katanya.

Menurutnya, dengan metabolisme yang tinggi, penghidapnya mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berlangsung pada kadar yang selamat dan berkesan.

“Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak melalui hormon perangsang tiroid.

“Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, ia mengakibatkan penyakit hipotiroidisma. Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid,” ujarnya.