Friday, December 14, 2018

GANGGUAN TIROID

Apabila menyebut mengenai tiroid, pasti setiap individu membayangkan penghidapnya akan mengalami beng­kak pada bahagian leher yang kelihatan dengan jelas. Hakikatnya, tidak semua pesakit mengalami tanda bengkak berkenaan.

Di sebalik tanda bengkak, ramai yang tidak mengetahui, menggeletar, rasa panas, cepat marah, mudah berpeluh dan marah antara beberapa tanda seseorang itu mengalami gangguan tiroid.



Tiroid ialah satu kelenjar di bahagian depan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir semua bahagian badan dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan ia juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan.

Pakar perbidanan dan sakit puan Dr Siti Aisyah Ahmad berkata, secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua sama seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan triiodotiroksin (T3).

“Hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisme. Peningkatan hormon ini bermakna metabolisme badan meningkat dan begitulah sebaliknya jika hormon terbabit berkurangan,” katanya.

Menurutnya, dengan metabolisme yang tinggi, penghidapnya mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berlangsung pada kadar yang selamat dan berkesan.

“Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak melalui hormon perangsang tiroid.

“Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, ia mengakibatkan penyakit hipotiroidisma. Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid,” ujarnya.
 

 Diagnosis penyakit tiroid

Terdapat ujian dan pemeriksaan yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid. Penghidapnya juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Dr Siti Aisyah berkata, leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan.

“Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid,” katanya.

Hipotiroidisma

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Menurut Dr Siti Aisyah, ubat yang diambil untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

“Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar itu yang dipanggil tiroiditis.

“Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid,” ujarnya.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.

“Ini menyebabkan kelenjar itu membesar yang dipanggil goiter. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

“Sementara itu, cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma,” katanya.

Tambahnya, ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan penghidapnya sememangnya menghidap hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon normal, mungkin individu itu mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan.

“Hormon tiroid akan diberikan supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya

“Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan,” ujarnya.

Hipertiroidisma 

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar usia 20 hingga 40 tahun.
Menurut Dr Siti Aisyah, penyakit Grave ialah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Kebiasaannya ia kelihatan pada bahagian mata penghidapnya.

“Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid dan disebabkan itu pengawasan doktor amatlah penting.

“Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ribut tiroid terutama apabila individu itu mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan penghidapnya demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma,” ujarnya.

Tambah Dr Siti Aisyah, rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid dan ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan.

“Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan niat untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.

“Sekiranya individu itu mendapati ada bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ia kanser ataupun masalah nodular biasa,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ultrabunyi dan juga biopsi atau penggunaan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan pesakit ketika sesi rawatan kesihatan susulan.

Tiroid semasa hamil 

Penyakit tiroid memberikan risiko pada ibu hamil dan juga kandungan. Oleh itu, wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

“Menerusi sesi rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat walaupun disahkan mempunyai tiroid. Rawatan juga mungkin diubah dos ubatnya secara berkala di samping ujian darah dan juga ujian lain yang difikirkan perlu.

“Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan kepada pesakit semasa mengandung. Ada juga sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin,” katanya.

Katanya, ia dipanggil postpartum tiroiditis dan lazimnya paras hormon tiroid ibu terbabit kembali kepada paras normal dengan pantas.

No comments: