Sunday, September 22, 2013

PERKAITAN ANTARA SUJUD DAN SAINS


 SUJUD adalah salah satu rukun solat dan amalan yang paling disukai ALLAH sebagaimana dalam satu hadis daripada Huzaifah bahawa Rasulullah SAW telah berkata, “Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh ALLAH daripada Dia melihat hambaNya itu dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah.” (Riwayat Tabrani)


Mulianya sujud di sisi ALLAH

Sujud, menundukkan kepala kepada ALLAH dengan meletakkan kepala di bumi dan menganggap diri hina.

Penulis buku keagamaan Karya Bestari, Dr Yazid Abdul Manap menjelaskan, dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW berkata,

“Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi SAW menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung jari.

“Dalam satu riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW berkata, “Seorang hamba yang paling dekat dengan ALLAH iaitu ketika sedang sujud. Kerana itu, perbanyakanlah berdoa ketika anda sujud.” Dalam satu riwayat ada mengatakan bahawa ALLAH mengangkat Nabi Ibrahim ke maqam yang tinggi dan menjadikan beliau ‘kawan karib ALLAH’ kerana Nabi Ibrahim lama dalam bersujud.

“ALLAH telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam yang dalamnya terkandung 17 rakaat dan 34 kali sujud. Setiap rakaat solat mengandungi dua kali sujud,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, ketika Nabi SAW sampai ke langit ketiga sewaktu Israk dan Mikraj, Baginda SAW melihat para malaikat sedang bersujud selama-lamanya. Apabila Baginda SAW memberi salam kepada malaikat tersebut, semua malaikat bangun daripada sujud dan menjawab salam Baginda SAW.

Ini menunjukkan kemuliaan sujud di sisi ALLAH kerana para malaikat dan para Nabi turut bersujud.

Thursday, September 19, 2013

GOPOH GAPAH KERJA SYAITAN


BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti'jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai 'terburu nafsu.'
Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan 'tindakan syaitan' jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa." (riwayat Muslim)

KAJIAN : MIGRAIN BOLEH ROSAKKAN OTAK


Secara tradisi migrain dianggap sebagai gangguan tumor tanpa kesan jangka panjang kepada otak.

Kajian Universiti Copenhagen mendapati 10 hingga 15 peratus penduduk dunia terjejas

Copenhagen: Migrain atau sakit kepala yang teruk boleh menyebabkan kerosakan otak secara kekal, lapor penyelidikan terbaru. Pakar mendapati migrain, yang menjejaskan 10 hingga 15 peratus penduduk dunia, meningkatkan risiko luka otak, kecacatan jirim putih dan perubahan isi padu otak berbanding mereka yang tiada penyakit itu.

Penulis kajian, Dr Messoud Ashina dari Universiti Copenhagen, berkata:
“Secara tradisinya, migrain dianggap sebagai gangguan tumor tanpa kesan jangka panjang kepada otak.

“Kajian kami dan analisis meta mencadangkan bahawa gangguan itu mungkin secara kekal mengubah struktur otak dengan pelbagai cara.”

Dr Ashina melakukan 19 kajian untuk melihat sama ada mereka yang mengalami migrain mempunyai risiko peningkatan luka otak, kecacatan senyap atau perubahan isi padu otak dalam imbasan otak MRI berbanding mereka tanpa keadaan itu.

Keputusan menunjukkan migrain dengan simptom meningkatkan risiko luka otak jirim putih dengan 68 peratus dan migrain tanpa tanda awal meningkatkan risiko kepada 34 peratus, berbanding mereka tanpa migrain.

Kecacatan otak meningkat

Risiko untuk kecacatan otak meningkat kepada 44 peratus bagi mereka yang menghidap migrain dengan tanda amaran berbanding tanpa aura.

Perubahan isi padu otak juga lebih biasa di kalangan mereka dengan migrain dan migrain dengan aura berbanding mereka tanpa migrain.

Dr Ashina berharap kajian itu dapat memberi sedikit pemahaman mengenai kesan berkekalan penyakit migrain ke atas otak.

Katanya: “Migrain menjejaskan kira-kira 10 hingga 15 peratus penduduk awam dan boleh menyebabkan beban ketara peribadi, pekerjaan dan sosial.

“Kami harap menerusi lebih banyak kajian, kami dapat menjelaskan kaitan perubahan struktur otak dengan kekerapan serangan dan jangka masa penyakit.
“Kami juga mahu mencari bagaimana luka itu mungkin mempengaruhi fungsi otak.”

Sementara itu, satu lagi kajian turut diterbitkan dalam jurnal Neurology, menyokong penyelidikan sebelum ini yang menunjukkan migrain kerap menyerang mereka yang berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, bagi wanita berusia 25 hingga 34 tahun, 20 peratus daripada mereka dengan pendapatan tinggi isi rumah mendapat migrain, berbanding 29 peratus yang berpendapatan sederhana dan 37 peratus berpendapatan rendah. - AGENSI

INFO: Migrain
  • 19 kajian untuk melihat sama ada mereka yang mengalami migrain mempunyai risiko peningkatan luka otak, kecacatan senyap atau perubahan isi padu otak dalam imbasan otak MRI berbanding mereka tanpa keadaan itu.
  • Keputusan menunjukkan migrain dengan simptom meningkatkan risiko luka otak jirim putih dengan 68 peratus dan migrain tanpa tanda awal meningkatkan risiko kepada 34 peratus, berbanding mereka tanpa migrain.

Friday, September 13, 2013

PETUA MELAYAN SUAMI

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan... menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.


Tuesday, September 10, 2013

YOGURT BEKU TIDAK SIHAT

 YOGURT beku tidak memberikan manfaat yang sama seperti pengambilan yogurt biasa.
MAKANAN yogurt beku atau dikenali sebagai froyo yang turut mengandungi buah-buahan segar dan kering dilihat mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Namun, di sebalik rasanya yang sedap, makanan itu juga memiliki risiko dari segi kesihatan.
Yogurt beku yang dijual di pasaran kebanyakannya mengandungi kadar gula yang tinggi.
Seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan Pencegahan, Universiti Yale, Amerika Syarikat, David Katz memberitahu, yogurt beku tidak memberikan manfaat yang diharapkan sama seperti pengambilan yogurt biasa.
“Kita memakan terlalu banyak gula,” katanya yang mengulas tentang yogurt beku itu baru-baru ini.
Bahan-bahan seperti maltodekstrin, natrium sitrat, gam selulosa, dinatrium fosfat dan propilena glikol monoester merupakan antara bahan yang ditemui di dalam yogurt beku.
Menurut Katz, bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan mungkin memberikan kesan yang buruk ke atas tubuh badan.
Menurutnya, yogurt tidak lebih hanya sebagai alternatif untuk aiskrim.
Dalam penyelidikan yang dilakukan ke atas yogurt beku itu, para penyelidik turut menemui bahan karagenan.
Bahan tersebut boleh memberi kesan yang tidak baik untuk kesihatan perut.
Para penyelidik menyatakan, pengambilan yogurt itu akan membahayakan kesihatan jika ia diambil secara keterlaluan.
Bagi mengelak daripada terjebak memakan makanan yang tidak menyihatkan, anda perlu membaca label pada bungkusan makanan terlebih dahulu sebelum membelinya dan pastikan ia tidak mengandungi kandungan gula yang terlalu tinggi.