|
|
AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran
orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah
cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi
Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada
kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.
Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, Tiap-tiap anak itu tergadai
dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan
dicukur, lalu diberi nama. (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)
Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah
s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya
melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut
diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.
Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan
dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah
memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut
ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan
kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh
digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada
hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara,
Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.
Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis
seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan
memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan
ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunahkan
oleh Rasulullah s.a.w..
Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya
segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan
membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak
hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan
tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan,
rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.
Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan
ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul
adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat
segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti
ini.
Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan
kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan
buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan
amalan sebegini dengan masyarakat Islam? kata beliau.
Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama,
kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur
rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut
turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan
bunga-bungaan dan perhiasan lain.
Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan
dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut
sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan
jamuan.
Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang
baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga
menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan
asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t..
Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah
menjadi satu kesalahan, ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat
hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.
Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan
sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas
atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan
dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.
Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai
berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan
di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke
Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.
Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah
persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan.
Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap
bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan
ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya.
Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara
merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini
juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka
sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang
sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.
Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan
syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya
semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan
ummah. Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi
manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan
perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil, tegas beliau.
Adat cukur jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk
menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu
sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung
tawar, beras kunyit dan bertih.
Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan
berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan
diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan
lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam
sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam
kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah
bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa
anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi
syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke
tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh
kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut
dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang
lain.
Adat berendoi
Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan
menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan
bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik
perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau
marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini,
masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama
dan adat cukur rambut.
No comments:
Post a Comment