Sunday, February 2, 2014

2014 LEBIH SIHAT



Keputusan ujian saringan ini dapat membantu doktor mengesan tanda-tanda awal sebelum simptom penyakit bertambah ketara. 

Ini penting kerana simptom kebanyakan daripada penyakit hanya mula menonjol di peringkat kritikal. Orang ramai disyorkan supaya menjalani ujian saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun. 

Pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh sepatutnya mengandungi beberapa siri ujian yang dijalankan oleh pakar penjagaan kesihatan profesional. 

Menurut Ketua Jabatan Pusat Saringan Kesihatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Sim Sharon, pemeriksaan kesihatan biasa lazimnya merangkumi saringan tekanan darah, saringan diabetes, ujian fungsi paru-paru dan ujian Electrocardiogram (EKG).


Saringan tekanan darah 

Tekanan darah tinggi atau hipertensi memaksa jantung mengepam darah lebih kuat daripada biasa. Lama-kelamaan boleh mengakibatkan kerosakan pada saluran darah di seluruh tubuh manusia. 

Sungguhpun badan manusia mampu menampung peningkatan tekanan darah untuk beberapa bulan atau pun bertahun-tahun, namun lama-kelamaan ia akan mengakibatkan kerosakan kepada jantung, buah pinggang, otak dan mata.

Tekanan darah individu boleh diukur dengan melihat kepada tekanan sistolik (atas/nombor yang tinggi) dan diastolik (bawah/nombor yang lebih rendah). Contohnya, bacaan 120/80 adalah dianggap normal tetapi jika bacaannya menunjukkan 140/90 dan ke atas, ia dengan jelas menunjukkan tanda-tanda tekanan darah yang tinggi. 

"Secara idealnya, individu perlu memeriksa tekanan darah mereka sekurang-kurangnya setiap dua tahun.

"Bagi mereka yang telah disahkan menghidap diabetes, penyakit jantung, masalah buah pinggang atau masalah lain, mereka memerlukan pemantauan tekanan darah yang lebih kerap,” jelas Dr. Sim.

Saringan diabetes 

Diabetes atau kencing manis antara penyakit yang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Ia akibat paras glukos (gula) yang tinggi dalam badan.

Glukos diperoleh daripada makanan dan hormon insulin dalam badan membantu memproses glukos kepada tenaga dalam sel-sel badan manusia.

Penghidap Diebetis Tahap 1 tidak mampu menghasilkan insulin manakala Diabetis tahap 2 pula menyebabkan penghidap tidak dapat menghasilkan insulin secukupnya atau insulin itu tidak berkesan.

"Dalam kebanyakan kes, apabila insulin tidak dapat dihasilkan oleh tubuh, paras glukos dalam darah akan kekal dan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk pada organ dan saraf,” katanya.

Ujian untuk melihat kandungan glukos darah akan dilakukan bagi mengesan kewujudan diebetis dan mereka yang ingin menjalankan pemeriksaan itu perlulah berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam lebih awal. 

Kandungan gula dalam darah bagi mereka yang berpuasa dan tidak mengalami masalah diabetes adalah antara 4.4 dan 6.1mmol/L.

Saringan kolestrol 

Kolesterol adalah sejenis lemak yang dihasilkan di hati atau di usus. Ia membantu menghasilkan hormon tertentu dan dibawa ke seluruh badan melalui plasma darah. Selain itu, kolesterol juga penting dalam pembentukan asid hempedu dan Vitamin D dalam badan. Tubuh manusia hanya memerlukan sejumlah kecil kolestrol sahaja untuk berfungsi pada tahap normal.

Lebihan kolestrol dalam saluran darah boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan tersekat akibat pembentukan plak (plaque). Peningkatan plak memberi ruang kepada masalah jantung.

Kolestrol tinggi boleh dikenalpasti melalui ujian darah yang ringkas, selalunya disebut profil lipid (lemak). Ia dilakukan selepas individu berkenaan berpuasa selama 10 hingga 12 jam. Paras optimal sepatutnya berada bawah 2.6 mmol/L.

Menurut Dr. Sim keputusan ujian kolestrol terbahagi kepada tiga iaitu LDL (low-density lipoprotein) - kolestrol 'tidak baik’ yang boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular.

HDL (High-density lipoprotein)-kolestrol 'baik’ yang membantu dalam penggunaan semula kolestrol dalam tubuh. Paras kolestrol yang baik haruslah berada lebih daripada 1.6 mmol/L.

Satu lagi jenis kolestrol adalah triglycerides. Ia jenis lemak yang sering ditemui dalam darah dan boleh menjurus kepada masalah arteri koronari. Aras biasa bacaan kolestrol mestilah di bawah 1.7 mmol/L.

Keputusan ujian juga dikira pada bacaan keseluruhan kolestrol. Iaitu kompilasi kesemua jenis komponen lipid yang ada dalam darah. Aras yang dicadangkan adalah di bawah 5.2 mmol/L.

Ujian fungsi paru-paru 

Menurut Dr. Sim saringan fungsi paru-paru juga disebut sebagai ujian pulmonari. 

Saringan yang standard dilihat pada jumlah isipadu udara yang mampu disedut oleh paru-paru. Ini kemudiannya akan direkod dan dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kumpulan usia yang sama, ketinggian dan juga jantina. 

Ujian ini juga membolehkan doktor melihat keupayaan kapasiti paru-paru untuk membekalkan oksigen kepada sistem darah bersama-sama kekuatan otot pernafasan.

Electrocardiogram (EKG) 

Ini merupakan ujian saringan penyakit jantung. Berdasarkan kepada keputusan EKG ini, lain-lain ujian lanjutan seperti ujian stress mungkin perlu dilakukan.

EKG/ECG adalah ujian saringan penyakit jantung yang menentukan keupayaan aktiviti elektrikal pada jantung. Terbahagi kepada ukuran elektrokardiogram (ECG) ketika rehat, ECG bersenam dan ujian sinar-x dada. Ia bertujuan mengesan degupan jantung yang tidak normal. 

ECG bersenam dilakukan untuk mengesan kekurangan bekalan darah ke jantung atau aliran darah tersekat pada arteri koronari (iaitu saluran darah yang membawa darah ke jantung). 

Berdasarkan kepada keputusan ECG ini, lain-lain ujian lanjutan seperti ujian stres mungkin perlu dilakukan.
Menurut Dr. Sim, sungguhpun keputusan saringan adalah normal, seseorang itu tidak seharusnya memandang remeh dan mengabaikan langkah berhati-hati.

"Teruslah mengekalkan gaya hidup sihat dan dalam masa yang sama melakukan pemeriksaan kesihatan. Apabila masalah kesihatan dapat dikesan, kita boleh menasihatkan mereka berjumpa doktor,” katanya.

No comments: