SaYA baharu sahaja melakukan ujian kehamilan di rumah dan
keputusannya positif. Saya merasa amat tidak selesa sejak seminggu dua
ini dan kerap terasa pedih di hulu hati. Saya amat berharap agar doktor
dapat membantu saya, apakah sebenarnya masalah ini. Adakah ini perkara
biasa?
Puan Salmiah
Negeri Sembilan
Jawapan
Ketidakcernaan atau pedih ulu hati merupakan gejala yang biasa
dialami wanita hamil. Walaupun menyakitkan, pedih hulu hati ialah
perkara biasa dalam kehamilan dan tidak membahayakan ibu dan bayi. Pedih
hulu hati ialah rasa panas dan pedih seperti terbakar yang biasanya
dirasakan pada bahagian bawah tekak sehingga ke bahagian bawah tulang
dada. Ini berlaku apabila asid perut naik ke bahagian esofagus. Asid ini
boleh naik hingga ke tekak atau mulut dan meninggalkan rasa masam dan
pahit.
Perkara ini dipercayai berlaku akibat perubahan hormon dan
fizikal dalam badan ketika hamil.
Masalah pedih hulu hati merupakan gejala yang biasa dialami wanita
hamil. Ini menyebabkan rasa kembung dan tidak selesa selepas makan
mungkin berpunca daripada tahap hormon yang tinggi dihasilkan oleh badan
anda pada awal kehamilan mengendurkan otot-otot di seluruh badan.
Keadaan ini termasuklah otot-otot dalam sistem pencernaan anda dan
menyebabkan proses pencernaan menjadi lambat. Akibatnya, anda akan
berasa seperti kembung, pedih hulu hati, loya atau memuntahkan sisa
makanan. Kesan ketidakcernaan tidak menjejaskan bayi. Sistem pencernaan
anda yang perlahan mungkin berfaedah bagi bayi kerana ia memberikan
lebih masa kepada badan untuk menyalurkan nutrien melalui plasenta yang
akan disalurkan kepada bayi atau janin.
Cara melegakan pedih hulu hati
Anda mungkin terpaksa bertahan dengan masalah ini semasa hamil,
tetapi ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk melega atau
mengelakkan kembung iaitu mengelak dari memberi tekanan berlebihan
kepada perut anda semasa ia sedang mencernakan makanan selepas makan.
Duduk tegak, pakai pakaian yang longgar dan selesa, dan tunggu
sekurang-kurangnya satu jam selepas makan sebelum anda baring. Jika anda
perlu membongkok, bengkokkan lutut dan bukannya pinggang.
Anda juga dinasihatkan makan beberapa hidangan kecil sepanjang hari,
berbanding makan tiga hidangan besar. Ambil masa untuk makan dan kunyah
makanan sehingga benar-benar hancur. Elakkan makanan yang boleh
menyebabkan ketidakcernaan termasuk makanan yang berlemak, pedas, coklat
dan jus buah-buahan. Anda boleh cuba simpan diari makanan untuk melihat
makanan mana yang membuatkan simptom anda menjadi lebih teruk.
Minuman yang mengandungi kafein atau alkohol juga boleh memburukkan
lagi ketidakcernaan. Lagipun, anda memang perlu mengurangkan pengambilan
bahan-bahan ini.
No comments:
Post a Comment