"SEBENARNYA banyak perkara yang menyumbang kepada berlakunya nafas
berbau dan permasalahan ini juga boleh dikategorikan sebagai tanda diri
kita berpenyakit." Itu antara kenyataan awal diberikan oleh Pakar
Pembedahan Pergigian, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Naseem
Banu Sadruddin, sebaik sahaja diajukan persoalan adakah masalah nafas
berbau merupakan simptom awal seseorang itu menghidap penyakit dalaman
atau sebaliknya.
MENURUT Dr. Naseem Banu, sekiranya masalah tersebut bukan terhasil
daripada penyakit dalaman yang dialami individu tersebut, ia sebenarnya
adalah disebabkan oleh bakteria yang berkumpul di dalam mulut akibat
daripada penjagaan oral yang tidak betul.
Begitupun, penurunan kandungan air liur di dalam mulut juga adalah
antara penyebab nafas berbau. Disebabkan itu juga Dr. Naseem Banu
menasihatkan, individu yang mengalami masalah nafas berbau perlu
menjalani pemeriksaan terlebih dahulu sebelum boleh diklasifikasikan
sama ada ia hanya disebabkan penjagaan oral yang tidak betul atau
merupakan satu penyakit berpunca daripada dalam badan.
"Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang penyakit mulut seperti tonsil, resdung, sakit tekak, selesema, demam, kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, kanser mulut, dan sebagainya, nafas berbau ini selalunya berpunca daripada penjagaan oral (mulut) yang tidak betul.
"Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang penyakit mulut seperti tonsil, resdung, sakit tekak, selesema, demam, kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, kanser mulut, dan sebagainya, nafas berbau ini selalunya berpunca daripada penjagaan oral (mulut) yang tidak betul.
"Bau tersebut terhasil daripada proses pereputan sisa-sisa makanan yang terselit di antara gigi dan gusi.
"Oleh yang demikian, penjagaan oral dengan betul adalah penting
dalam usaha memastikan nafas sentiasa segar dan tidak berbau," ujarnya
ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Dr. Naseem Banu lagi, tidak perlu bersusah payah memberus
gigi atau berkumur dengan pencuci mulut setiap kali habis makan bagi
memastikan sisa-sisa makanan tidak melekat pada celah gigi, sebaliknya
cukup sekadar berkumur dengan air bersih dengan cara yang betul.
Bagaimanapun, sekiranya ingin juga memberus gigi juga selepas makan, disyorkan dilakukan 30 minit selepas itu.
Memberus gigi dua kali sehari sudah memadai untuk mengelakkan sebarang masalah lain timbul seperti gigi menjadi nipis.
Pada masa yang sama, Dr. Naseem Banu turut memberitahu pembersihan
lidah juga adalah penting kerana kebanyakkan bakteria busuk suka berada
pada penghujung lidah.
Seboleh-bolehnya bersihkan lidah dengan menggunakan berus gigi tetapi dengan cara yang lembut.
"Sekiranya tidak dapat berkumur atau memberus gigi pada masa-masa
tertentu, cuba kunyah gula-gula getah kerana boleh membantu melonggarkan
makanan yang terselit di antara gigi serta menutup bau busuk nafas
anda.
"Tetapi awas, anda dinasihatkan agar mengunyah gula-gula getah tanpa
gula kerana gula getah bergula akan memburukkan lagi bau nafas,"
katanya.
Tip segarkan nafas
Dalam hal ini, Dr. Naseem Banu memberikan beberapa tip untuk
menyegarkan kembali nafas, antaranya seperti pengambilan yogurt (yang
masam) kerana makanan ini mengandungi vitamin D yang boleh melawan
bakteria yang mengakibatkan nafas berbau.
Walaupun nampak kuno, beliau turut menjelaskan daun sirih juga
sebenarnya mengandungi klorofil yang menyegarkan nafas jika dimakan
secara konsisten, tidak ketinggalan mengunyah beberapa helai daun kari
dan juga daun pudina.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar berkumur dengan air suam
yang telah dicampurkan dengan serbuk penaik (tulen yang tidak dicampur
dengan bahan kimia) selama 30 saat dalam usaha menjaga masalah nafas
berbau ini.
Ini kerana kandungan serbuk penaik mampu menyeimbangkan asid yang
terkandung dalam badan dan seterusnya menyegarkan semula pernafasan.
Apa yang pasti, Dr. Nassem Banu berkata, punca utama yang
menyebabkan masalah nafas berbau bagi mana-mana individu yang tidak
mengalami sebarang penyakit ialah makanan.
"Dalam hal ini (masalah nafas berbau), makanan merupakan punca utama
kepada permasalahan ini kerana makanan harian hari ini terdapat lebih
karbohidrat selain makanan yang berprotein lebih kepada jenis yang
bergoreng.
"Jika kita lihat masyarakat kampung yang hidup dalam suasana yang
tidak tercemar dan makan makanan yang segar dan asli, mereka jarang
mengalami masalah nafas berbau ini.
"Jadi selain penjagaan oral dengan betul, pilihlah makanan yang
betul untuk mengelakkan nafas anda berbau," katanya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment