Mengapakah buku lali dan jari kaki saya mengalami
bengkak ketika kandungan sudah mencecah sembilan bulan? Apakah yang
boleh dilakukan untuk mengurangkan bengkak tersebut?
* Rosiah, Johor.
Jawapan
Apabila bayi anda semakin membesar, rahim memberi tekanan kepada
saluran darah di pelvis. Ini khususnya menjejaskan salur darah besar
yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah. Salur darah
yang dipanggil vena kava bawah ini terletak pada bahagian kanan badan.
Wanita hamil akan mengalami tekanan dan menyebabkan peredaran darah di
bahagian itu menjadi perlahan dan mengakibatkan darah terkumpul.
Tekanan daripada darah yang terkumpul ini memaksa air turun dan
keluar melalui salur darah kecil (kapilari) masuk ke dalam tisu-tisu
pada tapak kaki dan buku lali. Biasanya, air ini akan diserap oleh
badan. Kadang-kala, wanita hamil juga menyimpan lebih banyak air
daripada biasa dan ini menambahkan lagi kebengkakan atau sembap
tersebut. Anda mungkin mendapati kebengkakan ini lebih teruk pada waktu
petang dan malam, sebelum lega sedikit pada waktu pagi setelah anda
tidur sepanjang malam.
Menjelang petang, anda mungkin dapat lihat jika anda tekan kulit di
sekitar buku lali, kulit itu tidak menganjal dengan serta-merta dan
kembali kepada keadaan asalnya. Sementara itu, menjelang penghujung
kehamilan, tangan anda juga mungkin menjadi bengkak dan cincin yang anda
pakai akan terasa ketat.
Edema atau sembap semasa hamil adalah perkara biasa terutamanya dalam
trimester ketiga. Di antara 50 dan 80 peratus wanita hamil yang sihat
akan mengalaminya. Cuaca panas seperti di negara kita juga memburukkan
lagi keadaan ini. Bagaimanapun, jika anda mengalami bengkak yang teruk
pada muka, tangan atau tapak kaki, jumpalah doktor anda. Ini mungkin
salah satu simptom praeklampsia, iaitu satu keadaan yang serius bagi
anda dan bayi.
Kurangkan bengkakUbat-ubatan jenis diuretik tidak
sesuai digunakan semasa hamil yang akan membuatkan buah pinggang
mengeluarkan air dan garam sodium supaya anda kerap membuang air dan
menghapuskan cecair yang berlebihan dengan cara itu.
Anda boleh mencuba cara lain untuk mengawal kebengkakan iaitu dengan
menaikkan kaki untuk membantu melancarkan peredaran darah. Jika di
tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak di bawah meja anda. Di
rumah pula, cubalah baring mengiring ke kiri kerana ini boleh
mengurangkan tekanan. Anda juga perlu mengelakkan duduk atau berdiri
terlalu lama tanpa berehat.
Selain itu, jangan cuba menyilang kaki semasa duduk. Pakailah seluar stoking sokongan (support tights)
sebelum anda bangun dari katil pada waktu pagi supaya darah tidak
berpeluang berkumpul di sekeliling buku lali. Jika ini tidak berjaya,
tanyalah ahli farmasi atau doktor mengenai stoking tekanan (compression stockings). Stoking tekanan boleh didapati di farmasi.
Anda juga dinasihatkan minum banyak air, bersenam selalu terutamanya berjalan, berenang atau menggunakan basikal senaman.
Jika anda membuat perjalanan jauh, berhentilah dengan kerap untuk
meregangkan kaki. Makan makanan berkhasiat dan elakkan makanan yang
tinggi kandungan sodium dan garam seperti kacang masin, jeruk sayuran,
telur masin dan ikan kering. Ingatlah, walaupun buku lali anda yang
bengkak ini mungkin menyebabkan rasa tidak selesa, keadaan ini adalah
sementara sahaja. Ia akan hilang sejurus anda melahirkan anak.
No comments:
Post a Comment