FIBROID sejenis penyakit yang menyerang wanita tanpa menunjukkan sebarang tanda seseorang itu menghidapnya.
Kebiasaannya mereka hanya mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut pada peringkat fibroid tersebut telah membesar.
Menyerang kaum Hawa yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50
tahun (usia reproduktif), fibroid adalah satu ketumbuhan yang jinak atau
benign tumor yang biasa pada rahim wanita.
Didapati lebih 20 hingga 25 peratus wanita mempunyai fibroid, wanita hamil juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.
Menurut Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Mahkota Medical
Centre, Dr. Ahmad Saifuddin Ahmad Yahaya, fibroid yang ada pada wanita
hamil bukanlah satu perkara luar biasa kerana ibu-ibu hamil akan
menghasilkan lebih estrogen di mana ia akan menyebabkan fibroid tersebut
menjadi aktif.
Katanya lagi, majoriti wanita yang menghidap penyakit ini tidak akan
mengalami simptom-simptom bagaimanapun ia bergantung di mana fibroid itu
berada serta saiznya.
Tambah beliau lagi, individu yang mempunyai fibroid hanya akan berasa
sakit sekiranya fibroid mengalami pendarahan dan jangkitan kuman yang
kebiasaannya pada fibroid yang bersaiz besar.
Fibroid yang bersaiz besar kadangkala menekan pundi kencing
menyebabkan individu mempunyai simptom sering kencing manakala fibroid
di dalam ruang endometrium atau submukosa iaitu pada dinding rahim yang
akan menyebabkan individu tersebut sukar untuk hamil kerana penyempitan
pada salur fallopio boleh berlaku.
Dalam kalangan wanita hari ini, 20 hingga 25 peratus daripada mereka
mempunyai fibroid bagaimanapun daripada jumlah ini 10 hingga 12 peratus
sahaja yang menghidapinya ketika hamil.
"Bagi wanita sedang hamil tidak semua fibroid akan membesar atau aktif .
Fibroid membesar ketika hamil adalah disebabkan hormon estrogen yang
meningkat ketika hamil, begitupun tidak semua fibroid akan membesar
atau aktif ketika hamil.
Kebiasaannya fibroid yang berukuran lebih daripada enam sentimeter
berkemungkinan untuk lebih membesar ketika hamil dan pemantauan perlu
dilakukan secara pemeriksaan klinikal atau imbasan ultrasound untuk
melihat sama ada fibroid membesar serta melihat perkembangan fibroid
ketika hamil," ujarnya.
No comments:
Post a Comment