UJIAN mamogram perlu dilakukan secara
berkala bagi wanita berusia 40 tahun ke atas manakala wanita muda pula
sesuai dilakukan imbasan ultra bunyi.
MEMANG benar ketulan pada payu dara terutamanya wanita yang masih
muda selalunya bukan kanser. Ia mungkin ketumbuhan tidak berbahaya
(benign), ketumbuhan bukan kanser, jangkitan kuman ataupun sista.
Kanser merupakan pembunuh wanita utama di Malaysia dan sering menyerang wanita berusia 40 tahun ke atas.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (NCR) 2007,
statistik menunjukkan kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap
dalam kalangan wanita selain merupakan nombor satu di Malaysia . Malah
sejumlah 3,242 wanita menghidap kanser payudara dilaporkan pada tahun
2007 yang mana wanita berusia 50 hingga 59 tahun paling tinggi
menghidapinya.
Walaupun paratusan berlakunya kanser payudara pada wanita muda adalah
rendah, tetapi, menurut Pakar Onkologi Klinikal dan Ahli Radioterapi,
Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Ahmad Kamal Mohamed, ia lebih agresif
jika dihidapi oleh wanita berusia 20-an dan 30-an.
"Jika pesakit berusia lingkungan 20-an dan awal 30-an, selalunya
doktor akan lebih agresif dari segi rawatan walaupun tumornya kecil
kerana ia lebih berisiko tinggi.
"Jangan pandang ringan dengan ketumbuhan pada payudara kerana jika
benar ia kanser dan lambat mendapatkan rawatan, ia mungkin sudah berada
pada tahap yang teruk dan boleh membawa maut kerana telah merebak ke
organ penting yang lain seperti jantung dan hati," ujarnya yang turut
terlibat dengan kempen Kesedaran Kanser Payudara yang dianjurkan Pusat
Perubatan Subang Jaya di Subang Parade, hari ini.
Kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih agresif kerana
selalunya mereka mempunyai gen mutasi BRCA1 dan BRCA2. Tambahan,
diagnosis kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih sukar kerana
tisu payudara mereka secara am lebih padat berbanding wanita yang
berusia. Saat ketulan pada payudara wanita muda boleh dirasai, selalunya
kanser sudah merebak.
Selain itu, ramai wanita muda yang menghidapi kanser payudara tidak
mengendahkan simptom yang dialami seperti ketulan pada payudara dan
pengaliran luar biasa menerusi puting kerana merasakan mereka terlalu
muda untuk menghidap kanser payudara.
Tegasnya, pemeriksaan sendiri payudara secara berkala amat penting
kerana rawatan di peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa pesakit namun
ramai pesakit yang hanya bertemu doktor apabila kanser tersebut sudah
teruk kerana sikap sambil lewa dan kurang prihatin dengan perubahan pada
bahagian payudara.
"Bagi penghidap kanser payudara tahap awal, peluang untuk pulih
adalah tinggi. Jika lambat dan telah merebak hingga tahap empat, ia
mungkin masih boleh dikawal untuk tempoh beberapa tahun tetapi tidak
boleh dipulihkan," terangnya.
Punca
Ujar Dr. Ahmad Kamal, kanser payudara berlaku berikutan perubahan sel
kepada sel kanser pada bahagian kelenjar payudara yang menghasilkan
susu atau bahagian tiub iaitu yang mengalirkan susu ke puting.
"Sebanyak 95 peratus kanser berlaku pada bahagian tiub yang dipanggil
invasive ductal carcinoma dan lima peratus pada bahagian kelenjar yang
digelar invasive lobular carcinoma.
"Punca utama masih belum diketahui secara tepat cuma beberapa faktor
menambahkan risiko kanser payudara dilihat ada kaitan dengan hormon
wanita," ujarnya.
Berikut merupakan antara faktor meningkatkan risiko berlakunya kanser payudara.
1 Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun).
2 Lewat putus haid (58 tahun ke atas).
3 Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada usia 30 tahun ke atas.
4 Sejarah keluarga, mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi kanser payudara seperti ibu atau adik-beradik perempuan.
5 Mengamalkan pemakanan tinggi lemak.
6 Menghidapi 'atypical hyperplasia.
Simptom
* Ketulan atau ketebalan pada bahagian payudara yang dirasakan berbeza dengan bahagian lain.
* Cecair seperti darah keluar daripada puting payudara.
* Perubahan saiz atau bentuk payudara.
* Perubahan pada kulit sekeliling payudara seperti lekuk.
* Puting payudara masuk ke dalam.
* Kulit atau bahagian puting mengelupas atau bersisik.
* Kulit payudara kemerah-merahan atau berlekuk-lekuk seperti kulit buah oren.
Pencegahan
Bilakah kali terakhir anda melakukan sendiri pemeriksaan payudara?
Tahukah anda, kebanyakan kes kanser payudara ditemui sewaktu melakukan
pemeriksaan sendiri payudara ketika di rumah?
Digalakkan untuk melakukannya setiap bulan di tengah-tengah kitaran
haid iaitu kira-kira seminggu hingga dua minggu selepas hari terakhir
haid. Waktu terbaik untuk melakukannya ketika sedang mandi kerana sabun
akan memudahkan untuk memeriksa payudara.
"Selain itu, cara pencegahan terbaik ialah mengamalkan cara hidup
yang sihat dengan tidak merokok, tidak mengambil minuman alkohol,
mengurangkan makanan yang berlemak, memperbanyakkan sayur-sayuran, cukup
tidur dan bersenam," ujarnya.
Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas, lakukan mamogram sekali sebulan
dan bagi wanita lebih muda, imbasan ultra bunyi boleh dilakukan.
Rawatan
Menurut Dr. Ahmad Kamal, apabila menemui ketulan pada payudara,
jangan terus berasa resah kerana 70 hingga 80 peratus kes selalunya ia
bukanlah kanser contohnya fibroadenoma. Namun, pesakit perlu segera
bertemu dengan doktor untuk melakukan beberapa ujian bagi memastikan
sama ada ia adalah kanser atau masalah lain.
Pertama, ujian imbasan mamogram dan ultra bunyi dilakukan pada
bahagian payudara. Ujarnya, ia boleh menentukan sama ada sel adalah
benign atau sel malignant tetapi biopsi perlu dilakukan bagi menentukan
jenis sel tersebut.
"Rawatan pertama ialah pembedahan, bergantung pada saiz ketulan. Jika
ia kecil, sekitar tiga hingga empat sentimeter, hanya ketulan tersebut
serta sedikit tisu disekitarnya akan dibuang yang dipanggil eksisi lebar
(wide excision) atau lumpectomy.
"Jika ia besar atau mengambil ruang majoriti saiz payudara,
pembedahan membuang payudara iaitu mastektomi akan dilakukan,"
terangnya.
Selain pembedahan pada bahagian payudara, pembedahan membuang
bahagian kelenjar di ketiak perlu dilakukan yang dipanggil axillary
clearence bagi memastikan tiada sel kanser tersebar.
Namun ujar Dr. Ahmad Kamal, ada sesetengah hospital sudah mula
menjalankan prosedur baru iaitu biopsi nodus sentinel (sentinel node
biopsy) iaitu pewarna akan disuntik ke bahagian kanser dan ia dapat
memastikan sama ada kanser sudah merebak atau belum ke bahagian kelenjar
ketiak.
Selepas pembedahan, beberapa ujian akan dilakukan iaitu imbasan CT,
MRI, imbasan PET CT dan ujian sumsum tulang bagi memastikan ia tidak
merebak ke organ lain.
Rawatan kimoterapi berkemungkinan akan diberikan selepas pembedahan
jika ada kelenjar limfa terlibat, tumor adalah besar, kanser gred yang
tinggi atau ganas atau usia pesakit masih muda.
"Jika pembedahan buang ketulan saja, radioterapi adalah wajib tetapi mastektomi pula bergantung kepada saiz tumor tersebut.
"Penerimaan hormon estrogen dan progesteron turut akan diukur selepas
pembedahan dan jika ia tinggi, pesakit perlu menjalani rawatan hormon
selepas kimoterapi iaitu bentuk pil yang perlu diambil setiap hari
selama lima tahun," terangnya.
No comments:
Post a Comment