Wednesday, February 25, 2015

ISTERI PENDAM PERASAAN MUDAH SAKIT JANTUNG



Pasangan yang suka bercakaran dalam institusi perkahwinan sejak bertahun lamanya, lambat laun mudah untuk mendapat penyakit jantung terutama kepada golongan isteri.

Justeru, pakar sains menasihatkan kaunselor perkahwinan sepatutnya turut menawarkan kaunseling kepada pasangan yang telah lama berkahwin.

Ini kerana, kajian menunjukkan hubungan yang buruk dalam rumah tangga antara suami dan isteri boleh mempercepatkan kepada masalah kesihatan. 

Ini termasuklah kemurungan, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti.

Anda mungkin pernah terfikir, bertahun lamanya terperangkap dalam hubungan suami isteri yang ‘teruk’ hanya akan menyebabkan kepada punca perceraian, tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah lebih banyak hati yang terluka.

Kajian menunjukkan individu yang mempunyai pengalaman bertahun dalam konflik bersama pasangan akan mudah mendapat sakit jantung berbanding mereka yang berada dalam perkahwinan yang bahagia. 
Kajian ini dilakukan terutamanya kepada isteri-isteri, kerana dipercayai golongan wanita lebih banyak memendam rasa dan menyimpan perasaan berbanding lelaki.

Penyelidik Sosiologi dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Dr. Hui Lui berkata, selalunya kaunseling perkahwinan dipaksa atau ditujukan kepada pasangan yang baru berkahwin, tetapi berdasarkan keputusan kajian, menunjukkan kualiti perkahwinan adalah sama pentingnya sebagaimana pasangan muda, biarpun usia perkahwinan mereka telah memasuki puluhan tahun.

Penemuan oleh Dr. Lui itu menunjukkan individu atau pasangan yang kahwin dan tidak bahagia akan berhadapan dengan bahaya kemurungan, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.
Sementara itu pakar juga percaya, pasangan yang bahagia menunjukkan tahap kesihatan yang memberangsangkan akibat mendapat sokongan daripada individu yang dipanggil suami.
Pakar percaya perkahwinan yang tertekan akan menyebabkan perkahwinan berada dalam kemurungan dan perhubungan yang tidak menyenangkan, akan membawa seseorang itu kepada perlakuan yang tidak sihat seperti merokok dan minum minuman keras yang pastinya menambah tekanan kepada tahap kesihatan tubuh seseorang itu. 

Kajian juga menunjukkan pasangan yang selalu bergaduh juga mempunyai sejarah obes, akibat proses makanan yang berlemak terganggu.
Dalam kajian yang dilakukan, pasukan Dr. Lui menganalisis data selama lima tahun ke atas 1,200 perkahwinan lelaki dan wanita yang berusia 57 tahun ke 85 tahun bagi permulaan kajian. 

Peserta yang terlibat dalam penyiasatan berkenaan terlibat dalam projek Kehidupan Kesihatan dan Penuaan kebangsaan yang merangkumi soalan-soalan kualiti perkahwinan dan melihat kepada kadar sakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi.


ISTERI sering dipersalahkan sekiranya dingin di tempat tidur. - Gambar hiasan

Kajian yang dijalankan telah disiarkan menerusi talian dinamakan tingkah laku kesihatan dan sosial.
Hanya golongan wanita, yang berhadapan dengan pengalaman penolakan kualiti perkahwinan dan menderita sakit jantung.

Ini mungkin disebabkan isteri selalunya akan menyediakan sokongan dan pembelaan kepada suami yang sakit berbanding sebaliknya. 

Dalam keadaan ini keadaan kesihatan isteri yang lemah akan menyebabkan kualiti dalam perkahwinan menjadi semakin merudum berbanding suami, biarpun kualiti kesihatan buruk, namun tidak menyebabkan kadar penurunan terhadap mana-mana perkahwinan, kata Dr. Liu.



SEJAK sekian lama kaum wanita khususnya isteri telah dimomokkan atau sengaja disalah tafsirkan sebagai golongan yang pastinya akan menjadi dingin dalam soal seks apatah lagi selepas usia mereka menjengah 40-an dan ke atas, seterusnya ke era menopaus. 

Dalam usia sebegini, mereka dikatakan tidak lagi ghairah untuk melakukan hubungan kelamin dengan suami dengan seberapa daya mengelak serta memberikan pelbagai alasan untuk segera tidur akibat kepenatan seharian bertugas di pejabat mahupun melakukan kerja-kerja rumah.

Apabila faktor begini berlaku, golongan lelaki, khususnya suami beranggapan isteri mereka sudah mula bersikap tawar terhadap seks dan enggan melayani kehendak mereka, tidak seperti semasa mereka mula berkahwin dahulu.

Keadaan ini pula dijadikan oleh golongan suami (kebanyakannya yang telah berusia), sebagai alasan untuk kembali berfoya-foya dengan gadis muda atau mendapatkan teman yang baharu.
Dalam permasalahan seperti ini menurut Perunding Urologi, Profesor Madya George Lee Eng Geap, selama ini kita mentafsirkan, golongan lelaki lebih berkeinginan dalam soal seksual berbanding golongan wanita.


Biarpun sering menjadi perdebatan bergenerasi lamanya, sebenarnya faktor membandingkan antara gender adalah perkara asas yang menjadi punca banyaknya berlaku perceraian, perbalahan serta aktiviti di luar batasan rumah tangga berlaku.

“Apabila kita membicarakan mengenai soal seks, keinginan seksual adalah satu motivasi yang meliputi kehendak, kemahuan atau penggerak untuk mencari objek seks atau yang berkaitan dengan aktiviti seks oleh kedua-dua jantina.

“Sudah tentu kemahuan seksual itu adalah sesuatu yang subjektif, mengandungi pelbagai makna dan maksud yang tersirat bagi setiap individu yang berlainan. Keinginan seksual manusia juga sebenarnya bergantung kepada beberapa keadaan dalam masa-masa yang khusus,” katanya.

Menurut George, realitinya berdasarkan kaji selidik yang dijalankan secara saintifik, pendapat mengatakan kemahuan wanita menjadi dingin dalam soal seksual selepas usia meningkat adalah tidak tepat.

Biarpun ramai dalam kalangan penyelidik sebelum ini mendapati golongan lelaki mempunyai keinginan seks yang tinggi daripada wanita biarpun dalam usia yang telah lanjut, namun sebenarnya, penemuan itu berdasarkan penilaian golongan ini terhadap lelaki yang dilihat daripada cara hidup mereka yang mempunyai ramai pasangan dan berkahwin lebih daripada satu.

“Sebenarnya, perbandingan seperti ini adalah sesuatu yang tidak adil apabila memperkatakan mengenai keinginan seks wanita yang selalunya dipengaruhi oleh status dan nilai-nilai budaya. Kemahuan dan keinginan wanita dalam seks sebenarnya telah diperjudis oleh faktor-faktor lain termasuk dalam hal melibatkan hormon.

“Keinginan untuk mengadakan hubungan intim dalam kalangan wanita sebenarnya banyak dipengaruhi oleh isu-isu seperti masalah prestasi pasangan di atas katil, kurangnya kepuasan emosi dalam hubungan, kesakitan ketika mengandung dan menjadi ‘penjaga’ kepada insan-insan tersayang yang pasti memberi impak negatif dalam keinginan mereka akibat kepenatan.
“Mungkin dahulu ketika baru berkahwin, purata pasangan yang mengadakan hubungan seks sebanyak lapan kali dalam sebulan, selepas itu mungkin menurun sebanyak enam kali dan selepas 40-an menjadi empat kali sebulan. Sekiranya kekerapan melakukan seks dijadikan petunjuk mengenai dinginnya kemahuan wanita itu, adalah tidak tepat sama sekali.

“Selain itu nilai masyarakat seperti pandangan negatif seks terhadap wanita juga menjadi antara pengaruh dalam kemahuan seksual golongan ini. Ini bermakna, keinginan seksual dalam kalangan wanita itu sentiasa ada, tetapi hilangnya keinginan melakukan seks itu dipengaruhi oleh faktor fizikal, psikologi dan persekitaran.

“Masalahnya, golongan lelaki juga ada ego mereka sendiri dengan menyatakan seks adalah bagi mereka sahaja dan urusan rumah tangga diserahkan bulat-bulat kepada isteri, yang menyebabkan tekanan” katanya.

Membicarakan soal seks bagi wanita di negara ini adalah satu yang taboo. Kebanyakan mereka banyak memendam rasa daripada bercerita mengenai masalah seks.

Malah, ada golongan ini yang bermasalah dalam soal seks kerana menghidap FSAD (Female Sexual Arousal Disorder) iaitu masalah dingin bagi mereka yang berusia dalam lingkungan 30 peratus.

“Sekiranya golongan ini berhadapan dengan masalah seks, rawatan yang diberikan kepada mereka bukanlah mudah seumpama menelan pil untuk menambah kekuatan seks (seperti yang dimakan lelaki) bagi merangsang mereka.

“Ini memandangkan kebanyakan krim atau pil yang dibuat khusus untuk lelaki sahaja bagi merangsang daya keinginan seks mereka berbanding dibuat untuk golongan wanita. Malah, sebenarnya tiada pun pil-pil untuk golongan ini yang bersesuaian, kerana selalunya bila mencakupi soal seksual, golongan lelaki nampak lebih diberi ‘keutamaan’,” kata Profesor Madya George Lee Eng Geap.

Biarpun jelasnya, penggunaan krim digunakan secara meluas di bahagian faraj untuk mengatasi masalah kekeringan dalam kebanyakan kes bagi wanita yang telah menopaus, namun golongan ini juga mempunyai tahap hormon tertentu.

Terdapat beberapa terapi tertentu dalam masalah ini yang melibatkan pil testeron atau tampalan di kulit yang direka khusus untuk membantu golongan ini merawat masalah dingin seks, tetapi masih belum terbukti keberkesanannya setakat ini.

Dalam soal ini George menambah, cara terbaik bagi menangani masalah seksual yang dihadapi oleh wanita untuk menaikkan keinginan seksual mereka menerusi berbincang secara terbuka dengan pasangan atau mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya terdapat masalah lain.

Doktor boleh membantu menyelesaikan masalah perubatan malah secara kaunseling terhadap kedudukan dan kesukaran yang dihadapi oleh pasangan dalam melayari kehidupan mereka melibatkan soal intim.

Pasangan perlu bersikap terbuka untuk berbicara mengenai masalah seksual masing-masing, dan bukannya dengan mencari ‘teman lain’ sebagai penyelesai kepada masalah seksual yang dihadapi.
 


No comments: