MENGALAMI sakit tekak ketika demam merupakan satu senario biasa yang sering dihidapi orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kerana selain berasa
sakit di bahagian tekak, pesakit juga akan mengalami masalah untuk
menelan.
Lazimnya, jika masalah ini berlaku adalah berkaitan masalah tonsil
membengkak dan selalunya dipanggil tonsilitis kerana disebabkan
jangkitan kuman.
Bagaimanapun menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, tonsilitis di kalangan kanak-kanak boleh membahayakan nyawa.
Ini kerana jelas beliau, apabila sampai tahap kritikal masalah itu
boleh mengganggu sistem pernafasan selain membawa jangkitan ke organ
dalaman lain seperti jantung dan buah pinggang.
"Lazimnya kanak-kanak yang mengalami demam, antara perkara pertama
yang akan diperiksa oleh doktor ialah memastikan sama ada tonsil mereka
membengkak ataupun tidak.
"Sekiranya tonsil membengkak doktor akan mengenalpasti adakah itu jangkitan kuman virus atau bakteria.
"Sekiranya bengkak tersebut disebabkan bakteria pesakit perlu
berhati-hati kerana ia boleh membawa maut," ujarnya ketika ditemui
baru-baru ini.
Secara umumnya semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak.
Bonjolan ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman.
Begitupun kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar
berbanding orang dewasa kerana tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.
Bagaimanapun apabila meningkat dewasa bonjolan ini semakin mengecil
dan fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga
tidak penting lagi.
Tambah Dr. Samril lagi, walaupun pada dasarnya tonsil berperanan
sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya
berfungsi pada tahun pertama kelahiran.
Ini kerana jelas beliau selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi
berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa
yang lain.
Jelas Dr. Samril, pada dasarnya, tonsil akan membengkak akibat daripada jangkitan virus ataupun bakteria.
Begitupun sekiranya hanya jangkitan virus, tonsilitis boleh pulih
sendiri kerana pesakit hanya akan mengalami bersin, hidung tersumbat,
selesema dan juga batuk.
Secara amnya, tonsil membengkak boleh pulih dengan sendiri namun
pengambilan antibiotik membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Katanya, sekiranya masalah tonsil membengkak berulang empat atau lima
kali setahun, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang
tonsil.
Situasi ini perlu sekiranya keadaan menjadi lebih kronik kerana ia
menghalang sistem pernafasan selain tonsil tersebut akan bernanah.
Bagi yang mengganggu sistem pernafasan, ini dapat dilihat apabila pesakit akan berdengkur sewaktu tidur selain mulutnya berbau.
Apabila ditanya mengenai pandangan ramai yang mengatakan pembuangan
organ terbabit akan menjejaskan sistem pertahanan tubuh, katanya, ia
sebenarnya adalah satu kepercayaan yang salah.
Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana
bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.
No comments:
Post a Comment