Saturday, June 13, 2015

UBAH SIKAP MAKAN BERLEBIHAN - MENTERI KESIHATAN

Ubah sikap makan berlebihan - Menteri Kesihatan
 
Budaya pemakanan tidak sihat perlu dihindari oleh rakyat negara ini. - Gambar fail 
 
Rakyat Malaysia perlu mengubah sikap gemar makan secara berlebihan kepada makan secara sihat, demikian nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Menurutnya, budaya (makan) tidak sihat itu perlu diubah segera memandangkan masyarakat kini menghidap pelbagai penyakit yang mengancam kesihatan.

"Kita perlu menjadi masyarakat prihatin kalori. Maknanya, setiap kali kita makan, kita pastikan jumlah kalori yang kita ambil. Kemudian tahu bagaimana membakarnya.

"Di negara maju, masyarakat cukup prihatin tentang kalori. Sebelum mereka makan apa-apa, mereka akan lihat dulu. Jika mereka dapati ia menambah terlalu banyak kalori mereka akan mengelakkannya," katanya pada sidang akhbar 'Makan Secara Sihat Sempena Deepavali' di sini hari ini.

Saranan pengambilan kalori untuk orang dewasa berumur 18 hingga 59 tahun berdasarkan Panduan Diet Malaysia ialah lelaki, 2000 kcal sehari, manakala wanita 1500 kcal sehari.

Sempena Hari Deepavali yang akan disambut Rabu ini, beliau turut menasihatkan masyarakat India supaya mengawal pengambilan makanan meskipun pelbagai juadah lazat dihidangkan. 

Buku Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali menggariskan tujuh warna-warni hidangan Deepavali sebagai panduan pemakanan sihat.

Garis panduan itu  menghadkan satu hidangan makanan berlemak, berminyak atau bergoreng pada setiap waktu makan, mengambil dua sajian buah setiap hari, ambil tiga sajian sayur setiap hari.

Elak pengambilan makanan empat jam sebelum tidur, hadkan kepada lima gram atau satu sudu teh gula dalam minuman serta melakukan aktiviti fizikal sebaik-baiknya tujuh kali seminggu.

Panduan itu boleh diperoleh melalui buku berkenaan yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang kementerian www.moh.gov.my atau http://nutrition.moh.gov.my.

1 comment:

Farina said...

kita perlu mengambil berat tentang pemakanan kita. makan mengikut waktu dan makan makanan yg seimbang. kalau makanan yg diambil tu tinggi nilai kalorinya, kita juga perlu mengambil masa untuk membakar klori itu dengan bersenam dan lain lain