Monday, September 14, 2015

BAIK BURUK TAMPIL KELEBIHAN DIRI DI MEDIA SOSIAL

media sosial
Pengguna media sosial perlu menilai terlebih dahulu kesahihan sesuatu
 berita sebelum berkongsi sebarang maklumat.
MEDIA sosial dianggap antara medium terpenting dalam kehidupan hari ini. Sehinggakan mereka yang tidak memiliki akaun laman sosial dianggap ketinggalan zaman!

Tidak kisahlah mempunyai salah satu akaun, sama ada Facebook, Instagram, Blog, Twitter atau aplikasi WhatsApp, sudah memadai untuk berhubung dan mengetahui pelbagai maklumat.

Bagaimanapun, dek kerana kerancakan perkembangan media sosial sekarang, kita menggunakan media sosial untuk update setiap gambar atau status masing-masing dengan tujuan berkongsi dengan ahli keluarga atau kenalan.

Boleh dikatakan apa sahaja yang menarik pasti dimuat naik seperti gambar makanan, gambar jalan-jalan dan paling ramai rasanya sangat suka dan begitu bangga berkongsi gambar comel anak mereka.

Keadaan ini seolah-olah menjadi satu trend tidak kira dalam kalangan remaja mahupun orang dewasa. Masing-masing berasa seronok jika perkara yang dikongsikan itu mendapat Like atau komen positif.

Bagaimanapun dalam keterujaan berkongsi setiap perkara di media sosial, pengguna haruslah berhati-hati dan tidak terlampau ghairah sehingga membuka ruang cemuhan, umpatan, rasa bosan, aneh dan meluat orang lain dengan setiap tindakan kita.

Ini secara tidak disedari kita menjadi 'musuh' atau bahan lawak kepada mereka yang membaca dan melihat. Malah ia menjadi satu keanehan, misalnya si polan yang diketahui bukannya pakar memasak, tiba-tiba seronok melampirkan gambar-gambar kek, kuih-muih taraf hotel 5 bintang yang katanya dibikin sendiri, malah mendapat tempahan lagi. Ayat-ayat show offnya (menunjuk-nunjuk), 'belanja gambar sekeping' dan 'order hari ini'. Tidak kurang juga yang melampirkan gambar-gambar breakfast, lunch, hi-tea dan dinner masing-masing. Ada makanan bersama orangnya, tak kurang makanan sahaja. Pastinya makanan yang mewah-mewah, sedap-sedap dan mahal menjadi pilihan.

Maka muncullah soseh-soseh teman 'bilik sebelah' di aplikasi WhatsApp bertanya kemusykilan... "betul ke minah tu buat sendiri, gambar tu macam ambik di Google jer...". Ada pula yang membalas mesej "sedap ter makan", "wah! makan hotel memanjang". Inilah yang akhirnya menjadi satu kepelikan dan akhirnya kita mengajak grup masing-masing menjadi pengumpat. Walaupun bukan 'berniat' mengata, tetapi dek riak si polan kita mencetuskan dosa 'kering' tersebut.

Hati-hati muat naik gambar

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan sikap terlalu terbuka kita memuat naik gambar-gambar personal boleh membuka peluang kepada individu yang mempunyai niat jahat dan mengambil kesempatan.

Ya! Penjenayah tidak akan memberitahu kita untuk melakukan jenayah, tetapi mereka akan mengintip dan mengambil peluang yang terbuka di depan mata secara senyap tanpa disedari oleh individu itu sendiri.

Jadi ibu bapa yang mempunyai anak yang aktif di media sosial awasilah setiap gerak-geri anak, sama ada dari aspek perkongsian gambar atau status mereka. Jika tersilap langkah boleh membawa padah. Menyesal di kemudian hari sudah tidak berguna lagi. 

Ibu bapa yang suka berkongsi gambar anak-anak, risiko kemungkinan gambar anak-anak dimanipulasikan dalam laman web lucah mungkin lebih mudah. Maksudnya di sini penulis bukan melarang untuk memuat naik gambar si comel tetapi perlulah hati-hati.

Contoh terbaharu yang boleh dijadikan peringatan buat kita semua adalah anak artis-artis seperti Tomok, Erra Fazira dan selebriti terkenal, Harith Iskander yang telah menjadi viral di laman web lucah baru-baru ini. Berikutan itu, Harith telah membuat satu laporan polis dan laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyiasat kes ini serta mencari dalang di sebalik tindakan mereka melakukan perkara tersebut.

Selain menggunakan gambar si comel untuk laman web lucah, ada kemungkinan penjenayah akan mengambil kesempatan untuk menculik. Sekarang ini apa-apa boleh berlaku. Beringatlah dari awal!

Sebelum kongsikan status dan gambar, fikir-fikirkan langkah yang perlu sebelum membuat sesuatu dan jangan mudah untuk mempercayai orang yang tidak dikenali. Setiap pengguna mestilah bijak dalam mengendalikan akaun mereka. Add Friends hanya pada mereka yang benar-benar dikenali.
WOW minggu ini membawa kupasan mengenai sikap show off yang adakala membawa keburukan untuk peringatan semua pembaca.

Serik guna laman sosial

Sejak saya mempunyai akaun Facebook (FB) tiga tahun lalu, saya tidak pernah menjangkakan akan timbul masalah lain di kemudian hari. Pengalaman yang berlaku bulan Januari lalu benar-benar membuatkan saya jadi trauma dan menutup terus akaun FB.

Apa yang membuatkan saya ingin tampil berkongsi pengalaman ini agar menjadi peringatan kepada kita agar berhati-hati di laman sosial.

Semuanya bermula apabila saya suka memuat naik gambar ahli keluarga setiap kali ke mana-mana destinasi. Tidak sangka pula perkongsian itu telah menjadikan orang luar memasang niat jahat sehingga menyebabkan anak saya hampir-hampir menjadi mangsa tebusan.

Buat pengetahuan pembaca, kejadian ini berlaku kepada anak perempuan saya yang berumur sembilan tahun. Sehari sebelum kejadian itu saya sudah rasa sesuatu yang pelik ketika mahu menjemput anak perempuan di sekolah.

Saya berasa seperti ada individu yang mengekori kereta saya. Namun saya tidak menghiraukan kerana tidak syak sesuatu yang buruk bakal berlaku. Namun keesokan harinya ketika menjemput anak di sekolah, salah seorang rakannya memberitahu anak saya telah menaiki sebuah kereta lain.

Waktu itu hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Tidak mahu berlengah saya terus menghubungi suami. Ketika kami berbincang untuk membuat laporan polis, saya menerima panggilan telefon dari seorang individu menyatakan anak saya dijumpai di tandas stesen minyak dalam keadaan ketakutan dan menangis. 

Semasa menemuinya anak memberitahu lelaki yang mengakui rakan saya itu berkata dia dengki dengan kemewahan yang ditunjukkan oleh saya.
Hingga kini saya tidak pasti ia angkara siapa namun saya bersyukur anak selamat dan tidak sempat menjadi mangsa tebusan.

Mulai dari peristiwa itu saya mengambil langkah selamat tidak mahu aktif lagi di laman sosial. Walaupun kita tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk tapi orang lain akan memberi tanggapan lain pula. Lebih baik low profile daripada terus berada dalam keadaan ketakutan sepanjang masa.

No comments: