KHAMIS
ini atau 10 Mac, adalah Hari Ginjal Sedunia. Malangnya, tidak ramai
yang menyedari tarikh yang menjadi sebahagian kempen kesedaran peri
pentingnya organ utama itu kecuali individu itu adalah penghidap atau
mempunyai rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal atau
buah pinggang berkenaan.
Namun berbanding penyakit kronik lain, hakikatnya masih ada
harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan
kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah
pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis,
peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.
Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani
haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain
kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.
Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam
tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza
kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah
jantung.
Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan
fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika
dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan
antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini
bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’
Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan
lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional
tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan
darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari
menaiki tangga.
Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan
apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh
kekurangan dialisis.
Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat
Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional
sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk
pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit
jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung.
“Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan
dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung
dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan
dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang
sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.
Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah
konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis
khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih
diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang
tinggi sukar didapati di negara membangun.
Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional,
ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di
samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water)
berkualiti tinggi.
Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian
yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang
malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar
aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar
aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas
jantung.
Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen
penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah
jantung.
“Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan
kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat
menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya
dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari
segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan.
“Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi
penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak
lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar.
Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan
meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya.
Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan
kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu
ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di
hospital.
“Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki
peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia
menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh
ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya.
Masih tunggu derma buah pinggang
REMAJA comel, Chin Xian Tong, 14, terpaksa akur dengan nasib yang
tersurat baginya sejak disahkan mengidap masalah kegagalan ginjal dan
jantung beberapa tahun lalu.
Bukan saja tidak dapat menjalani kehidupan normal yang aktif
seperti remaja lain, hampir setiap malam dia terpaksa menjadi penginap
setia Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Kia Peng, di ibu negara, bagi
menjalani rawatan dialisis nokturnal untuk memastikan kelangsungan
hidupnya.
Alah bisa tegal biasa, sejak lima bulan lalu, pelajar Sekolah
Menengah Puteri Ampang ini akan dihantar bapa, nenek atau kadangkala
datang sendiri untuk menjalani rawatan dialisis nokturnal yang bermula
dari jam 10 malam hingga 6 pagi keesokan harinya.
“Biasanya sebelum ke hospital saya akan pastikan semua kerja rumah
dan tugasan yang perlu disiapkan lebih awal di rumah. Hanya itu saja
masa yang ada untuk bermain dengan adik lelaki, bersembang dan meluahkan
perasaan dengan anggota keluarga,” katanya yang sebelum ini mendapatkan
rawatan di beberapa hospital lain.
Selepas lima bulan mendapat rawatan di situ, anak sulung dua
beradik ini mengakui keadaan kesihatannya secara keseluruhan bertambah
baik. Malah aktiviti persekolahan juga menjadi lebih teratur berbanding
sebelumnya.
“Dulu saya tidak dapat menumpukan perhatian dan sering
ketinggalan dalam sukatan pembelajaran kerana sesi rawatan dialisis yang
dijalankan tidak menentu dan sering bertembung dengan waktu
persekolahan.
“Kini bukan saja waktu persekolahan terurus, malah saya merasa
lebih sihat, segar dan berat badan juga semakin bertambah,” jelasnya
yang hanya boleh minum 1.5 liter air dan mengelak makan durian, anggur,
belimbing dan kentang.
Chin juga berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan
dan guru-guru di sekolah yang sangat memahami keadaan dirinya selain
sering mendorongnya agar tidak mudah patah semangat.
“Apa yang perlu saya buat ialah menjaga semua aspek kesihatan,
dengan mendisiplinkan diri dan berharap apabila tiba masanya nanti, ada
organ yang sesuai supaya saya tidak perlu bergantung kepada mesin
dialisis lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi chef profesional satu
hari nanti.
Di sebalik harapannya, Chin juga amat optimis apabila enggan menjadikan penyakitnya sebagai halangan meneruskan kehidupan.
“Tidak adil untuk merungut dan menyesali keadaan diri ini.
Mungkin ada sebabnya di atas apa yang berlaku. Apa yang penting, sebagai
peringatan kepada semua, hargailah kesihatan diri dan organ utama
kita,” katanya.
Info: Rawatan haemodialisis waktu malam
- pesakit perlu menginap di hospital dari jam 10 malam hingga 6 pagi
- pesakit juga boleh terus membuka sambungan mesin jika mahu ke tandas dan menyambung semula sebaik selesai.
- pesakit yang punya masalah tidur sebelum ini mengakui tidur lebih nyenyak dan berkualiti selepas menggunakannya.
No comments:
Post a Comment