Sunday, March 8, 2020

KITA PERLU MINUM AIR SECUKUPNYA

MASIH ramai golongan dewasa tidak mengikuti saranan minum air lapan gelas (2.5 liter) sehari.

MINUM AIR SECUKUPNYA UNTUK SIHAT.
 
 Antara alasan mereka ialah enggan kerap berulang-alik ke tandas setiap 30 minit selepas minum air.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, air ialah bahan kedua penting dalam tubuh selepas oksigen.

Ia dapat memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas.

Beliau berkata, individu dewasa digalakkan minum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari seperti dicadangkan ‘National Academy of Sciences of the United States Food and Nutrition Board’.

“Ketika makan, injap pilorus di hujung perut akan mengecut menyebabkan makanan berada di perut untuk beberapa tempoh bagi tujuan penghadaman.

“Air yang diminum digunakan untuk menukarkan makanan kepada cecair. Setelah makanan menjadi lembut, ia dihantar ke usus bagi tujuan serapan,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, sekiranya air tidak mencukupi, perut akan mengambil cecair daripada darah, perut dan usus supaya makanan yang hendak diproses menjadi lembut serta cair sebelum dihantar ke usus kecil.

“Lazimnya, najis menjadi lembut apabila berada di usus besar.

“Sekiranya air dalam tubuh tidak mencukupi akibat dehidrasi, tubuh akan menyerapkan air daripada najis menyebabkannya mengeras dan seseorang itu mengalami sembelit.

“Kajian ‘Journal of the American College of Nutrition’ mendedahkan, minum air kosong tidak menjadi keperluan selagi meminum air lain (air berperisa) dan memakan makanan berkuah seperti sup dan bubur,” katanya.

Menurut beliau, saintis menyarankan jumlah air yang perlu diminum seorang dewasa ialah segelas air bagi setiap kali makan.

Namun, individu itu perlu minum air yang lebih banyak jika ada keperluan lain.
Jelasnya, air juga digunakan untuk menggantikan peluh yang keluar terutama ketika cuaca panas atau melakukan aktiviti lasak.

“Minum apabila dahaga dan jangan memaksa individu lain minum air lapan gelas sehari, ikut kemampuan masing-masing.

“Minum terlalu banyak air juga boleh membahayakan diri dan menyebabkan hyponatremia (kandungan natrium dalam darah terlalu rendah),” katanya.

No comments: