Thursday, April 11, 2013

KAWAL SELERA

pix_gal0
Amalan makan buah-buahan sebelum hidangan  bantu kurang 
berat badan, hindari penyakit

MAKAN buah-buahan sebelum makan makanan berat adalah tabiat yang baik, tetapi yang lazimnya berlaku, buah sering dijadikan sajian pencuci mulut atau hidangan terakhir selepas makanan utama. 
 
Hakikatnya, mendahulukan buah-buahan adalah baik berdasarkan konsep mengalas perut kerana ia tidak menjejaskan kepadatan tenaga makanan dan pengambilan tenaga menyeluruh biarpun seseorang itu dalam fasa menyekat pengambilan kalori. 
 
Malah, ada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa penurunan berat badan yang ketara dapat dicapai bila individu dapat mengalas perut dengan tenaga yang rendah kepadatannya (misalnya buah) sebelum makan makanan utama.

Menurut Pakar Khidmat Diet dan Pemakanan Hospital Columbia Asia Cheras, Cindy Chua Shiu Sinn, buah-buahan dapat membantu individu mengisi perut selain mengurangkan jumlah suapan sepanjang waktu makan.

HIDUP SELEPAS 'MATI'

Rahsia Azean terus bernyawa selepas dibayangi maut akibat barah

TERLALU tertekan dan memendam risau memikirkan pelbagai masalah hidup, Azean Irdawaty, 60, atau lebih mesra disapa Kak Yan diuji lagi apabila disahkan menghidap barah payudara pada 2007.

Malah menyebutnya saja pasti mencetuskan kegerunan kerana impak rawatan serta kemungkinan maut akibat barah ini yang ramai dihadapi wanita. Barah payudara adalah sejenis penyakit sel yang mana pembahagian sel-sel akan berhenti pada tahap tertentu. Sel-sel yang tidak normal yang membiak sehingga terbentuknya satu benjolan tisu yang digelar tumor dan boleh merebak ke kelenjar limfa, masuk ke dalam paru-paru. Seterusnya ia menuju ke bahagian sebelah buah dada, masuk ke tulang yang mengakibatkan tulang patah. 


Tidak cukup itu, ia bergerak ke dalam bahagian tulang punggung, paha dan masuk ke dalam hati menjadikan bengkak (jaundis) dan hingga ke peringkat akhir ke bahagian otak yang boleh menyebabkan pesakit menjadi koma.

Namun bagi Kak Yan, dia percaya ada alasan di sebalik statusnya sebagai penghidap barah ini.

“Saya percaya tekanan emosi adalah punca utama barah payudara ini kerana sebagai anak seni pemakanan cukup dijaga. Bukan setakat pemakanan, saya juga mendalami ilmu nutrisi untuk lebih memahami kandungan dan khasiat makanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Aktres veteran itu turut mengakui waktu kerja tidak menentu menyebabkan dia sering kurang tidur dan dihambat tekanan emosi yang bertalu-talu. Akhirnya sel kanser terus merebak dan sebaik disahkan, ia sudah berada pada peringkat empat.

“Lama-kelamaan bila saya menyedari semua yang terjadi, saya mula reda dan muhasabah diri. Perkara pertama yang saya belajar ialah saya mesti serahkan segala-galanya pada yang maha Esa. Mengapa saya perlu mempersoalkan, bimbang, ragu dan risau hingga tertekan perasaan dan jiwa raga dengan ketentuan Allah SWT,” tambahnya yang pernah bergelar primadona drama dan filem Melayu itu.

KERAP DEMAM TANDA SLE

.Nas Norniza juga sering sakit sendi dan lenguh badan

HARI bahagia yang bakal dilalui sebagai pengantin baru akhir bulan ini pastinya menambah tekanan kepada wanita ini selepas disahkan menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus. 
Apa tidaknya, ketika bakal pengantin lain sibuk membuat persiapan, Nas Norniza Nasbah, 26, sebaliknya dikejutkan dengan berita menghidap SLE, April lalu. 
“Bagaikan tidak percaya...rupanya demam yang kerap menyerang tanpa henti awal tahun ini, lenguh badan dan sakit sendi adalah simptom awal menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

SLE adalah penyakit kronik berpanjangan yang berlaku akibat kecelaruan sistem pertahanan tubuh membabitkan sistem auto imun badan apabila sistem pertahanan menyerang tubuh. Sistem pertahanan tubuh adalah rangkaian sel yang bertindak melindungi tubuh daripada serangan benda asing.

Penyakit ini ada kalanya sukar didiagnos pada peringkat awal kerana gejala-gejalanya tidak begitu ketara. Ini adalah kerana gejala awal penyakit SLE tidak spesifik termasuk rasa letih lesu, demam, sakit sendi dan keguguran rambut. Kebanyakan pesakit SLE (70 hingga 80 peratus) mengalami masalah kulit. Selalunya bahagian muka akan terjadi ruam yang dikenali sebagai malar rash atau butterfly rash.
Ruam ini terjadi di bahagian pipi dan hidung dan oleh kerana bentuk ruam ini merupai bentuk sayap rama-rama, ia juga dikenali sebagai butterfly rash.
“Bayangkan jika anda di tempat saya...persiapan hampir siap sepenuhnya. Perasaan sedih menguasai apabila diberitahu saya menghidapi penyakit ini. Pada mulanya, saya tidak risau atau sedih selepas dimaklumkan akan sembuh menjelang hari bahagia.

NONIE BERSAMA IBU TERSAYANG ADZIZAH RAMDZAN KETIKA DIRAWAT SEBELUM INI. 
GAMBAR KECIL ADALAH GAMBAR TERBARUNYA.
NONIE BERSAMA TUNANGNYE SHAHZAROL LATIF (KIRI) AYAH, NASBAH JUSOH 
DAN KAKAK NASLINDA NASBAH (KANAN) KETIKA MENJALANI RAWATAN DI HOSPITAL

MENGUBAH TABIAT MAKAN ANAK ANDA

PERUBAHAN terhadap tabiat pemakanan "Cuba tunjukkan contoh yang baik dengan tabiat pemakanan anda sendiri.

"Hidangkan makanan dan kudapan yang menyihatkan pada waktu biasa untuk mengelakkan "curi makan" sepanjang hari.

"Jangan benarkan anak anda makan sambil menonton TV atau menyiapkan kerja rumah.

"Jadikan waktu makan suasana yang gembira dengan menjamu selera seisi keluarga.

"Galakkan anak anda untuk 'memberi perhatian kepada perut mereka' dan makan hanya apabila lapar dan bukan mengikut tabiat.

"Ajar anak-anak untuk mengunyah makanan dengan lebih perlahan dan nikmati makanan tersebut. Mereka akan lebih cepat kenyang dan kurang kemungkinan untuk terlebih makan pada waktu makan.

"Jangan menyimpan banyak makanan ringan berlemak tinggi yang tinggi kandungan gulanya.

"Jangan jadikan kunjungan ke restoran makanan segera sebahagian daripada rutin mingguan.

"Cuba libatkan anak-anak apabila menyediakan makanan kerana ini akan menyedarkan mereka tentang apa yang dimakan. 

Jangan jadikan makanan sebagai umpan menenangkan anak-anak - sebaliknya beri perhatian, dengar dan dakap mereka.

Elakkan menggunakan makanan sebagai ganjaran kerana ia akan mengukuhkan idea bahawa makanan adalah sumber ketenangan. Contohnya elakkan makan makanan segera untuk meraikan laporan peperiksaan yang menggembirakan, sebaliknya belikan hadiah, tonton wayang, atau jemput rakan-rakan bermalam di rumah.

Apabila kanak-kanak yang perlu memperbaiki tabiat pemakanan meningkat dewasa, mereka digalakkan menyimpan diari makanan, untuk mencatat apa yang mereka makan berserta waktunya. Penting untuk kita menyedari 'waktu bahaya' mengambil makanan ringan dan mencari strategi untuk mengalih perhatian daripada makanan, atau ke arah pilihan yang lebih menyihatkan.

Kajian menunjukkan bahawa menyusukan bayi, walaupun seketika, boleh mengurangkan risiko obesiti pada usia tua.

Ibu bapa yang menggemari diet sihat yang mengandungi banyak buah-buahan dan sayuran segar adalah contoh yang baik untuk anak-anak mereka. Semakin kanak-kanak meningkat dewasa mereka cenderung untuk berpegang pada pola makan yang telah diamalkan di rumah.
Galakkan kegiatan jasmani sebaik sahaja mereka boleh berjalan.

JAGA KEBAJIKAN IBU

Kebajikan wanita di semua peringkat umur menjadi agenda utama dalam Persidangan Women Deliver 2013 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada hujung Mei ini. 
 
MELABURLAH untuk kesejahteraan para ibu-tiada ruginya. Ini mesej yang disebarkan Women Deliver, sebuah pertubuhan global, merujuk kepada kesihatan wanita bukan sahaja ketika mengandung malahan sewaktu melahirkan anak dan tempoh selepas kelahiran bayi. 

Menurut pertubuhan itu, sekitar 350,000 kanak-kanak perempuan dan wanita meninggal dunia setiap tahun berpunca daripada masalah kehamilan dan melahirkan anak. 

Kebimbangan itu akan ditekankan pada Persidangan Women Deliver 2013 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 28-30 Mei ini.

Women Deliver adalah pertubuhan global yang menyatukan pendapat dari seluruh dunia demi memperjuangkan tahap kesihatan dan kebajikan gadis dan wanita. 

 Lebih 5,000 peserta dari lebih 160 buah negara dijangka hadir pada persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu. 

Sekretariat Media Persidangan Women Deliver dalam kenyataan akhbarnya memberitahu, beberapa pemimpin yang berpengaruh mengesahkan kehadiran mereka pada persidangan itu. 

Antara penceramah ternama ialah Pengerusi bersama Yayasan Bill and Melinda Gates, Melinda Gates; Setiausaha Rendah dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Wanita, Michelle Bachelet; Pentadbir, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Helen Clark; dan Pengarah Eksekutif Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA), Dr. Babatunde Osotimehin.