MELABURLAH untuk kesejahteraan para ibu-tiada ruginya. Ini mesej yang disebarkan Women Deliver,
sebuah pertubuhan global, merujuk kepada kesihatan wanita bukan sahaja
ketika mengandung malahan sewaktu melahirkan anak dan tempoh selepas
kelahiran bayi.
Menurut pertubuhan itu, sekitar 350,000 kanak-kanak perempuan dan
wanita meninggal dunia setiap tahun berpunca daripada masalah kehamilan
dan melahirkan anak.
Kebimbangan itu akan ditekankan pada Persidangan Women Deliver 2013 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 28-30 Mei ini.
Women Deliver adalah pertubuhan global yang menyatukan pendapat dari
seluruh dunia demi memperjuangkan tahap kesihatan dan kebajikan gadis
dan wanita.
Lebih 5,000 peserta dari lebih 160 buah negara dijangka hadir pada
persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
itu.
Sekretariat Media Persidangan Women Deliver dalam kenyataan akhbarnya memberitahu, beberapa pemimpin yang berpengaruh mengesahkan kehadiran mereka pada persidangan itu.
Antara penceramah ternama ialah Pengerusi bersama Yayasan Bill and
Melinda Gates, Melinda Gates; Setiausaha Rendah dan Pengarah Eksekutif
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Wanita, Michelle Bachelet;
Pentadbir, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP),
Helen Clark; dan Pengarah Eksekutif Tabung Penduduk Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA), Dr. Babatunde Osotimehin.
Pada Sidang Kemuncak mengenai Perancangan Keluarga London yang
diadakan Julai 2012, pemimpin dunia memberikan komitmen untuk
menyediakan akses pencegah kehamilan kepada 120 juta wanita di
negara-negara termiskin menjelang 2020.
Sesi pleno dan lain-lain akan mengetengahkan kemajuan yang dicapai sejak Sidang Kemuncak London itu.
Kenyataan akhbar itu turut memetik Dr. Osotimehin sebagai berkata,
persidangan itu peluang terbaik untuk meneruskan pencapaian tahun lepas
berhubung kesihatan reproduktif terutama pada Sidang Kemuncak London
mengenai perancangan keluarga.
"Akses kepada kesihatan seksual dan reproduktif serta hak
reproduktif, usia yang sesuai untuk pendidikan seksual, maklumat serta
khidmat akan membantu untuk memastikan semua wanita dan kanak-kanak
perempuan mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan mereka," tambahnya.
Pengasas dan Presiden Women Deliver, Jill Sheffield,
pula berkata, sekarang adalah masa untuk memastikan kanak-kanak
perempuan dan wanita menjadi tunggak utama dalam agenda pembangunan baru
memandangkan sasaran MDG 2015 semakin tamat tempoh.
"Pihak kami telah mencapai banyak kemajuan ke arah meningkatkan
kesihatan dan hak wanita sejak tahun-tahun kebelakangan ini dan usaha
ini perlu diteruskan.
"Women Deliver 2013 akan menjadi forum yang berpengaruh untuk
menjamin kami dapat terus memperjuangkan kepentingan kanak-kanak
perempuan dan wanita pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Beberapa kegiatan telah disusun bersempena dengan persidangan tiga hari itu.
Satu daripada kegiatan itu ialah Forum Menteri, yang akan dianjurkan oleh UNFPA.
Negara yang akan mengambil bahagian termasuk 10 negara yang
menyatakan komitmen pada Sidang Kemuncak Perancangan Keluarga London
iaitu Ghana, Indonesia, India, Benin, South Africa, Ethiopia, Tanzania,
Rwanda, Senegal, Burkina Faso, Niger dan Nigeria.
Turut akan diadakan ialah pameran yang disertai lebih 100 pempamer, pada sepanjang persidangan berlangsung.
Women Deliver juga akan menyaksikan pameran foto yang dihasilkan oleh
beberapa jurugambar serta bahan pameran beberapa organisasi.
No comments:
Post a Comment