Surau saya pernah menjemput Al-Fadhil Ustaz Abu bakar Abdul Aziz
untuk menyampaikan ceramah Maulidur Rasul. Saya berkesempatan untuk
berborak dengan beliau ketika kami sama-sama makan setelah selesai
ceramah. Antara topik yang dibincangkan ialah pengalaman beliau ketika
menguruskan jenazah.
Ia berlaku di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan
jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya :-
Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun.
Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu
bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal
dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan
sebagainya.
Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di
sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu,
telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup ‘istimewa’ sepanjang
pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu
dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali
gus menberikan banyak iktibar.
Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum pilihanraya di
Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu tidaklah
dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya
diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya.
Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan
mata ibunya bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu
tadi sembuh dan boleh membaca Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak
pulang, anak Allahyarham datang menemui sahabat saya tadi dan bertanya
sama ada saya mengurus jenazah atau tidak.
Kawan saya kata, “Cubalah tanya dia sendiri.” Kawan saya ada
memberitahu saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan
kursus dalam hal menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya.
Saya beritahu dia bahawa jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.
Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir sampai ke rumah
Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup pelik dan
busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah saya
bertemu dengan mayat yang sebusuk ini.Bila saya tengok wajah
Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya
seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam perasaaan…takut, cemas,
kesal dan bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur
daripada Allah SWT.
Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham
dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang
yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya
ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju.
Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk
makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu
dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut urut untuk membolehkan
najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut Allahyarham.
Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah mengejutkan. Allah itu
Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada
dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. “Lain macam saja ni”, fikir
saya. Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya
urut-urutkan lagi perutnya.
Tapi najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar.
Apa yang sedang berlaku di depan saya ini? Telah dua kali mulut mayat
ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak akan berulang lagi kerana
saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang terakhir. Tiba-tiba ketentuan
Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah daripada mulut mayat
itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah
seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat itu, jangan
tanya saya.
Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu
kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima jam
setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu
singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak
Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib
dengan apa yang berlaku pada bapa mereka.
Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejutdan panik.
Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka
mereka. Saya kata kepada mereka, “Inilah ujian Allah kepada kita”.
Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil
kesemua anak Allahyarham.
Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung kerana mempunyai
tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada di luar negeri dan
enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk, saya
marahi mereka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya
hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan
sepenuhnya tanggungjawab tersebut.
Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal menguruskan
jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak. Saya
kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah
memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa.
Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu.
Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya.
Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah
kipas meja. Subhanallah….suasana menjadi semakin panik. Saya terus
bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih
ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya
ambilkan wuduk.
Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat
tersebut ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat
upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut
perkara-perkara yang lebih aib akan berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di
atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi hujung
kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak ikat kepala
dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain kafan itu
seperti tidak mahu menerima mayat tadi.
Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya
ambil baki kain, saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang
kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa
nak buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan.
Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, “Ya Allah, jangan Kau
hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu
ini”. Selepas itu saya berikan taklimat tentang sembayang jenazah. Tiga
kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.
Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul.
Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak ada
kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan
sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kereta
jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan.
Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan.
Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan dia
mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van.
Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di
kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar.
Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, “Abang, saya
tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu
sebab semasa hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya”.
Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang
wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian.
Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik. Selepas itu
muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mendakwa
dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15
minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang
ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah
kuyup.
Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan lori
itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah,
pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam?
Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua
pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami
menguburkan jenazah tadi.
Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan sahabat mereka, itu
lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peristiwa
ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi – takdir
Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja jenazah tersebut
ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang
lahad dan tiga lagi turunkan jenazah.
Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba
tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang pada
asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana datangnya air
itu? Sukar untuk saya menjawabnya.
Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya sendaikan jenazah bapa
mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan terlangkup….na’uzubillah.
Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi
saw.
Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut.
Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia
tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang
diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan
oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan
anak-anak Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu.
Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan.
Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya,
tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya
hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan
serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung
kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan itu, saya
mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin.
Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang
saya tidak talkinkan.
Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas. Setelah itu
saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya
bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh
Allahyarham semasa hayatnya.
Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta secara
merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri
allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu
untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi
sedihnya, sehingga sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham
menghubungi saya.
Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang
yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan orang
Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya
orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya
menguruskan jenazah tadi menelefon saya.
Mereka kata mereka menyesal membantu saya menguruskan jenazah
Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai
musuh. Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada
masyarakat? Mereka kata ‘TIDAK’. Peristiwa ini akan tetap saya ingat
sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu
peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak kita
atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku
berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat
menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?
"Betul @ disebaliknya....wallahualam!!!!!!hanya allah yg lebih mengetahui...apa-apa pun jadikan lah ini satu ikhtibar untuk diri kita yang masih hidup..."
No comments:
Post a Comment