ADAKAH anda sentiasa memikirkan cara yang menyenangkan untuk menjaga kesihatan? Berita baik ini pasti anda nanti-nantikan.
Anda hanya perlukan secawan teh setiap hari untuk menjana kecerdasan mental dan menjamin kesejahteraan fizikal.
Perkara ini telah dibuktikan oleh pakar teh terkenal di dunia yang
membentangkan hasil kajian terbaru mereka mengenai hubung kait antara
pengambilan teh dan kesihatan.
Kajian itu menumpukan manfaat tianin (theanine: analog asid glutamik
atau asid amino dalam teh) dan flavonoid (vitamin P atau sitrin atau
kelas metabolit sekunder tumbuhan).
Hasilnya menunjukkan manfaat yang menarik, khususnya kelebihan teh
dalam memperbaiki mood, meningkatkan tumpuan dan kecerdasan di samping
menurunkan risiko strok iskemia.
“Teh sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat
Malaysia. Kita menikmati minuman ini dalam pelbagai cara, sama ada teh
kosong, teh susu atau teh hijau.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pengguna kami bahawa mereka
sentiasa menghirup secawan minuman yang berkhasiat,” kata Quah Seng
Khie, Pengurus Jenama Peruncitan Makanan, Unilever (M) Holdings Sdn.
Bhd.
Tambahnya, manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan pengambilan teh
telah menjadi tumpuan penyelidikan saintifik yang dijalankan secara
meluas.
“Simposium ini memberi peluang kepada pakar teh untuk berkongsi
kemunculan kaedah sains baru dan menggalakkan perbincangan mengenai
kebaikan teh kepada fizikal,” ujarnya.
Hasil penyelidikan yang dibentangkan oleh Dr. Georgie Russell
daripada R&D Unilever dan Institut Teh Lipton menunjukkan bahawa
pengambilan teh mempengaruhi mood secara positif.
“Kajian kami menunjukkan bahawa mood sering dianggap kualiti subjektif dan boleh diukur dengan berkesan.
“Ini adalah satu perkembangan yang menarik, ia membolehkan kita
mengukur kesan rangsangan luar ke atas mood kita. Sebagai contoh, kami
dapat mengesahkan bahawa teh susu memberi kesan positif ke atas mood.
“Kesan positif ke atas mood bukan sahaja membuatkan kita rasa ceria,
tetapi beberapa kajian menyarankan bahawa teh dikaitkan dengan manfaat
seperti peningkatan kreativiti dan sokongan kepada sistem imunisasi,”
kata Russell.
Selain kesan psikologi, Dr. Eveline De-Bruin membentangkan bukti baru
yang menunjukkan bahawa pengambilan teh boleh membantu anda memberi
lebih tumpuan dan membaiki kecerdasan subjektif. Mekanisme kajian inilah
yang menjadi tumpuan perbincangan semua saintis.
Kajian memperlihatkan mekanisme di sebalik kesan ini yang menunjukkan
bahawa selepas mengambil satu dos kuat tianin dan kafein, dua bahan
aktif yang terdapat secara semula jadi dalam teh, rangkaian perhatian
otak diaktifkan secara lebih cekap.
“Kajian ini menunjukkan tindak balas bahan aktif dalam teh, tianin
dan kafein mengoptimumkan pengaktifan bahagian otak yang
bertanggungjawab terhadap tumpuan kita seharian,” Eveline De-Bruin.
Dr. Lenore Arab, Profesor di David Geffen School of Medicine di UCLA,
mendedahkan hasil penyelidikan telah mengesahkan bahawa pengambilan teh
setiap hari berpotensi menurunkan risiko strok iskemia sebanyak 21
peratus.
Strok adalah punca kematian ketiga paling tinggi di Malaysia.
Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia menganggarkan terdapat kira-kira
40,000 penghidap strok di Malaysia.
Strok juga merupakan penyebab utama kehilangan upaya fizikal. Strok
iskemia, berlaku apabila saluran darah tersekat, meliputi kira-kira 83
peratus daripada semua kes strok yang dilaporkan.
Dr. Sheila Wiseman dari Institut Teh Lipton, menyokong dakwaan ini
dengan hasil kajian yang berbeza. Beliau menjelaskan bahawa flavonoid
teh membantu menenangkan saluran darah.
“Hanya 100 miligram flavanoid teh sehari iaitu bersamaan dengan
kurang daripada satu cawah teh sehari dapat membantu membaiki kapasiti
keanjalan saluran darah. Ini bermakna kesan positif pengambilan teh ke
atas fungsi vaskular mungkin relevan bagi kebanyakan orang di dunia yang
hanya minum satu atau dua cawan teh sehari,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment