Thursday, April 4, 2013

BUANG TRAUMA TAKUT BEDAH


pix_gal0

Prosedur VATS guna kamera atasi risau pesakit, tiada kesan sampingan

SEBUT saja rawatan yang membabitkan pembedahan, ramai pesakit menjadi gusar. Mentaliti ini sering menahan mereka daripada mendapatkan rawatan awal hingga semuanya terlambat.

Bagaimanapun, dengan peningkatan teknologi dunia perubatan, surgeri torakoskopik berpandukan video atau video-assisted thoracoscopic surgery (VATS) adalah sejenis pembedahan torasik untuk paru-paru yang boleh mengubah persepsi ini.
Dibangunkan sekitar 1990, prosedur ini secara teknikalnya memasukkan kamera video ke dalam dada pesakit menerusi skop. Kaedah ini membolehkan doktor melihat isi kandungan rongga dada dengan hanya membuat belahan atau bukaan yang sangat kecil.
Proses ini juga membolehkan pakar bedah mengeluarkan bahagian yang berdekatan dengan tepi paru-paru serta mengujinya untuk mengesan kehadiran kanser menggunakan peralatan surgeri yang lebih kecil.

Ketua Unit Surgeri Kardiovaskular Torasik dan Jabatan Surgeri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, berkata prosedur membabitkan VATS berguna untuk mendiagnosa jangkitan pneumonia tertentu, diagnosa jangkitan atau tumor di dinding dada serta merawat paru-paru yang gagal secara berulang.

“Berbanding kaedah thoracotomy yang lebih terbuka, VATS tidak membabitkan banyak otot dinding dada yang dipisahkan manakala rusuk tidak dibuka.

“Ini menyebabkan kurangnya keperitan, tiada kesan sampingan dan tempoh kesakitan pasca pembedahan serta membenarkan pesakit kembali sihat dan aktif lebih cepat,” katanya kepada Sihat ketika ditemui di PPUM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Raja Amin berkata, pembedahan tradisional seperti thoracotomy dan sternotomy memerlukan pakar bedah membuat bukaan 15 hingga 20 sentimeter tetapi menerusi VATS, hanya bukaan kecil diperlukan cukup untuk memuatkan kamera bersaiz lima milimeter atau skop gentian optik berukuran 10 milimeter.

“Berikutan skop yang dimasukkan kecil, kemungkinan dinding dada mendapat jangkitan dan terjejas juga dapat dikurangkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua jenis bukaan insisi berpotensi menyebabkan kesakitan berpanjangan dan boleh menyebabkan tulang retak yang memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk sembuh.

“Sehubungan itu, pesakit juga perlu mengurangkan aktiviti berat serta terlalu aktif,” katanya.

Dr Raja Amin berkata, kelebihan VATS pula, pesakit dapat mengelak daripada masalah otot dan retak tulang sekali gus kurang sakit, tempoh menginap di hospital yang singkat serta sembuh dengan cepat selain mampu kembali kepada rutin harian.

“Bagaimanapun, tidak semua pesakit sesuai menjalani prosedur ini. Antaranya pesakit yang pernah melalui pembedahan paru-paru. Ini kerana prosedur ini mungkin menyebabkan pelbagai komplikasi, selain pesakit yang mampu bertahan dengan satu paru-paru sementara sebelah lagi mengalami kegagalan sewaktu pembedahan.

“Pesakit yang menjalani pasca operasi kemoterapi atau radioterapi untuk paru-paru juga bukanlah calon sesuai untuk VATS,” katanya.

Biarpun kaedah rawatan VATS makin dikenali di Malaysia, masih ramai yang memerlukan latihan bagi membiasakan diri dengan instrumen yang perlu dikendalikan ketika prosedur itu.

Antara punca mengapa masih ramai pakar kurang berminat ialah kerana rasa tidak selesa dengan kaedah berkenaan atau terlalu biasa dengan pembedahan tradisional terbuka yang membolehkan mereka melihat sendiri organ.

“Ketika ini, tidak ramai pakar bedah yang menjalankan VATS. Prosedur ini bagaimanapun sudah dikendalikan di PPUM. Sayangnya, biarpun teknologi sedia wujud di sini, namun masih ramai pesakit yang sesuai menggunakannya, didapati terlewat mendapatkan rawatan,” tambah Dr Raja Amin yang mengakui naluri manusia pasti akan merasa takut dengan sesuatu yang di luar pengetahuan mereka.

Beliau berkata, apa yang dapat dilakukan oleh pakar ialah cuba mengurangkan kebimbangan dan rasa takut pesakit melalui kaedah rawatan yang tidak invasif, kurang sakit dan cepat sembuh.

“Sebaik sembuh, diharapkan pengalaman ini dapat dikongsi bersama lebih ramai insan yang mungkin memerlukan rawatan supaya lebih ramai lagi pesakit boleh mendapat manfaat,” katanya.

No comments: