DAN Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Israa: 82)
Al-Quran merupakan mukjizat umat Islam. Di dalamnya terdapat pelbagai
khazanah dan syifa sehingga para pengkaji kitab suci tidak putus asa
dan berterusan untuk merungkai rahsia isi kandungannya.
Al-Quran bukan sahaja menjadi rujukan pelbagai bidang, malah panduan
utama umat Islam tersebut juga digunakan sebagai perawat kepada penyakit
dalaman dan luaran yang sukar dirawat melalui kaedah perubatan moden.
Bukan sahaja ayat-ayat al-Quran tetapi potongan hadis berbentuk doa
dan zikir Rasullullah juga digunakan sebagai ayat Ruqyah (pengubat)
untuk tujuan seumpama itu.
Maka kaedah perubatan Islam sering digunakan sebagai jalan terakhir
selepas para pesakit gagal menemui penawar kepada penyakit yang dihidapi
mereka.
Malah para pegawai perubatan yang buntu untuk mencari penyelesaian
kepada masalah pesakit mereka akhirnya diserahkan kepada kaedah rawatan
Islam sebagai ikhtiar terakhir.
Pengiktirafan perubatan Islam daripada kerajaan Malaysia baru-baru
ini dengan amalan perubatan alternatif tersebut dimasukkan ke dalam Rang
Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012 menunjukkan kaedah
tersebut diterima baik negara ini.
Bagi Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia
(Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa, perjuangan pihaknya memartabatkan
perubatan Islam di negara ini telah berjaya.
Langkah itu juga untuk membuktikan bahawa kaedah alternatif mampu menyembuhkan penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.
Ujar beliau, dengan sifat Islam yang merupakan agama pembawa rahmat
kepada seluruh alam, maka tiba pada masanya perubatan Islam diiktiraf
seiring menghormati semangat prinsip agama persekutuan Malaysia seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Setakat yang kita tahu, Malaysia salah satu yang mengiktiraf
perubatan Islam dalam penggubalan undang-undang berbanding negara Islam
lain.
"Ini bermaksud kaedah alternatif telah diterima baik. Dalam
perkembangan lain, ia dilihat untuk menyekat perkembangan amalan bomoh
dan khurafat yang berleluasa sejak kebelakangan ini.
"Walaupun perubatan Islam telah lama wujud di negara ini, tetapi
perjuangan Gappima untuk memartabatkan perkara tersebut hampir berjaya
dan banyak tindakan yang perlu dirancang agar ia berada atas sama tahap
dengan kaedah rawatan moden," ujar beliau.
Kewajaran perubatan Islam
Dunia sains pernah dikejutkan dengan penemuan seorang saintis dari
Jepun, Dr. Masaru Emoto yang mendakwa air yang dibaca dengan bacaan doa
membentuk molekul kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul
berkilauan.
Walaupun kajian itu tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, tetapi
ia cukup menggambarkan bahawa perubatan Islam mampu merawat khususnya
penyakit dalaman.
Menurut Fauzi, prinsip perubatan Islam adalah para pengamal cuma
merawat tetapi yang menyembuhkan hanya Allah, sehubungan itu tambah
beliau, ketika merawat mereka menanamkan keyakinan untuk sembuh kepada
pesakit.
"Ketika merawat, kita tanam keyakinan pada pesakit bahawa penyakit
itu boleh diubati. Sebenarnya kita sakit bukannya berpunca daripada
virus atau kuman tersebut kuat tetapi antibodi lemah.
"Contohnya bila dimaklumkan oleh doktor bahawa pesakit mempunyai enam
bulan untuk hidup, semangat itu telah tiada. Tetapi dalam perubatan
Islam, kita berdoa dan berkata insya-Allah penyakit boleh sembuh selain
ditambah dengan ketenangan dan kekuatan oleh bacaan al-Quran.
"Secara saintifik, apabila pesakit diberi harapan, ia seolah
memberikan mereka keyakinan untuk kuat, maka mereka akan melawan kerana
wujud kekuatan," kata beliau.
Jelas Fauzi, kebanyakan doktor yang memahami perubatan Islam akan
menyerahkan kepada rawatan alternatif setelah mereka tidak mampu merawat
penyakit kritikal dan gangguan dalaman.
Fauzi yang juga merupakan perunding motivasi kemudian menjelaskan
bahawa perubatan Islam walaupun selalu digunakan oleh orang ramai
sebagai jalan terakhir maka ia dilihat peluang kedua untuk mereka
kembali sihat.
"Oleh sebab itu kita perjuangkan agar rawatan Islam dimartabatkan dan
diiktiraf agar masyarakat mengetahui bahawa rawatan Islam setaraf
dengan kaedah perubatan lain bahkan lebih daripada itu," tambah Fauzi.
No comments:
Post a Comment