MAKIN RAMAI HIDAP PARKINSON
PELBAGAI ujian dibuat mengatakan tiada apa masalah pada tangan. Saya
tidak puas hati lalu mendapatkan pendapat kedua dari hospital lain.
Memang langsung tidak terlintas di fikiran bahawa saya sebenarnya
sudah mengalami simptom pesakit Parkinson," cerita Samuel yang ditemui
di majlis minum petang sempena April Bulan Kesedaran Parkinson Dunia
anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Akhirnya, selepas mendapatkan pandangan lebih 10 orang doktor baru Samuel mengetahui dirinya kini penghidap parkinson.
Begitupun Samuel tidak mahu menjadikan penyakit yang dialaminya satu
halangan untuk melangkah ke hadapan. Sebaliknya dia terus menambah
ilmu menerusi bahan bacaan dan Internet.
Parkinson hanya melibatkan kemerosotan pada pergerakan fizikal.
Penyakit ini yang biasa kita dengar melibatkan getaran pada tangan,
tapi pada saya tidak terjadi begitu.
Selepas dua setengah tahun mengalaminya boleh dikatakan amat mencabar minda bukan saja diri saya malah ahli keluarga juga.
Akibat penyakit ini pergerakan saya amat terbatas. Hendak pakai baju
sendiri pun payah. Adakalanya tak boleh dan kaki tidak boleh diangkat
sebab terlalu lemah," ujarnya yang kini menjadi Presiden Persatuan
Parkinson Cawangan Perak.
Samuel tidak berseorangan menghadapi parkinson pada usia 45 yang
boleh dikategorikan agak muda. Ramai lagi yang mengalami masalah
sepertinya. Di Perak sahaja terdapat 40 pesakit yang mendaftar dengan
persatuan dan wanita berusia 35 tahun adalah yang paling muda
menghidapinya.
Dikawal dengan ubat
Pengarah Eksekutif World Parkinson Coalition, Elizabeth Polland (kiri)
bermesra dengan pesakit pada majlis minum petang sempena April Bulan
Kesedaran Parkinson Dunia anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala
Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Perubatan di Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed
Ibrahim berkata, parkinson terjadi apabila satu sel kimia di otak yang
dipanggil dopamin berkurangan.
Sel dopamin menurut beliau, apabila berkurangan akan menyebabkan gangguan pada pergerakan fizikal manusia.
Pada peringkat awal memang tiada gejala yang ketara. Cuma yang
sering diadu pesakit rasa letih, lesu dan sering mengalami kejang pada
waktu malam.
Itu antara simptom dikatakan peringkat awal tanda seseorang mempunyai penyakit parkinson.
Malah ini boleh disalah sangka seakan-akan strok atau slip disc,
kerana pesakit akan berasa seolah-olah urat ditarik-tarik dan mengganggu
pergerakan mereka.
Masalah mungkin menjadi semakin buruk apabila tidak dirawat atau mendapat rawatan yang salah.
Jadi, amat penting untuk didiagnosis dengan teliti bagi memastikan ini adalah parkinson," jelas beliau.
Ditanya apa faktor menyebabkan sel dopamin berkurang, Dr. Norlinah
berkata, sukar dikenal pasti kerana sel tersebut musnah dengan sendiri.
Mungkin juga kerana faktor sekitar atau keturunan. Di Malaysia
sekarang ini usia paling muda menghidapinya ialah sekitar 30-an dan
saringan amat penting untuk memastikan ini memang parkinson," jelas
beliau.
Proses saringan melibatkan imbasan di bahagian otak CT Scan dan juga MRI.
Menurut Dr. Norlinah, ada kalanya ujian MRI juga tidak menemukan
apa-apa, namun ia boleh dikenal pasti apabila ditambah saringan lain
yang mengambil kira faktor usia dan sebagainya.
Punca meningkat
Menurut Dr. Norlinah, kemajuan dalam bidang perubatan dan sikap
rakyat Malaysia yang prihatin dengan tahap kesihatan masing-masing telah
menyebabkan makin ramai yang hidup dalam jangka hayat lebih panjang.
Penyakit parkinson pula berpotensi menyerang mereka yang berusia.
Jadi agak sukar dielak dan menjadikan statistik penghidap parkinson
meningkat saban tahun.
Cuma menurut beliau, keadaan perubatan kini semakin maju dengan
penghasilan ubat yang apabila diambil secara berterusan membolehkan
mereka mengawal penyakit dan pergerakan juga semakin baik.
Sebelum tahun 1960 tiada ubat yang berkesan untuk parkinson.
Sekarang kita ada levodopa, iaitu sejenis ubat yang perlu diambil
pesakit bagi menggantikan dopamin yang berkurangan dalam otak.
Ubat ini akan diserap usus kecil dan perlu diambil seumur hidup.
Ketika mengambil ubat tidak digalakkan serentak dengan pengambilan
makanan yang mengandungi protein kerana akan menyebabkan proses
penyerapan ubat tidak berkesan.
Paling penting selepas makan ubat ialah pesakit perlu melakukan
senaman ringan setiap hari seperti tai chi dan berjalan," jelas beliau.
Ubah persepsi
Dr. Norlinah mengakui stigma masyarakat Melayu yang menganggap
penyakit seperti parkinson sebagai penyakit misteri sememangnya berlaku.
Nasihat beliau: Tidak salah mendapatkan perkhidmatan alternatif
tapi perubatan hospital juga tidak harus diketepikan sama sekali.
Di Malaysia kita mempunyai lebih 80 pakar neurologi yang akan
membantu mendiagnos penyakit ini. Malah pakar neurologi sudah terdapat
di setiap negeri.
Paling utama bagi pesakit ialah bersikap positif, jangan biarkan
penyakit menguasai diri. Kena hadapi penyakit ini dengan sabar dan
semangat memang perlu untuk pulih," ujar beliau lagi.
Sukarelawan
Bagi seorang penghidap parkinson, CHERYL Yong, 60, penyakit itu yang
dihadapinya sejak lapan tahun lalu tidak menjadi penghalang untuk dia
berbakti.
Dia kini berkhidmat sebagai pengajar terapi senaman untuk ahli Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur.
Rutin hariannya dipenuhi dengan jadual senaman ringan seperti qi
gong dan tai chi, malah dia juga bergelar jurulatih untuk ahli
persatuan.
Cheryl berbangga dapat memberikan ilmunya yang tak seberapa pada ramai lagi penghidap Parkinson sepertinya.
Zahirnya dia tidak kelihatan seperti pesakit lagi kerana iltizam
dan komitmennya telah mengubah status pesakit kepada bebas penyakit.
Pun begitu dia mengakui masih mengambil ubat-ubatan kerana ikhtiar
tersebut adalah perlu untuk seorang pesakit parkinson sepertinya.
Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati sepenuhnya tapi ia boleh dikawal dan tahap kesakitan juga boleh berkurangan.
Saya mengambil keputusan menjadi sukarelawan di sini kerana
mengetahui bahawa ramai lagi pesakit yang tidak tahu bahawa menjadi
pesakit parkinson juga boleh hidup seperti biasa.
Senaman adalah perkara paling utama. Tidak kira apa jenis senaman
yang anda mampu buat, jangan biarkan kemurungan menguasai setelah
mendapat penyakit ini.
Kena dapatkan sokongan daripada kumpulan sokongan barulah minda lebih positif dan boleh hadapinya dengan baik," jelas Yong.
- NOOR FAZRINA KAMAL -
No comments:
Post a Comment